Pelantikan Maszlee : Betulkan kesilapan, sebelum ia jadi satu konvensyen.

Gambar Bernama

Oleh : Fuad Syazwan

Pada pandangan aku isu pelantikan Dr Maszlee, Menteri Pendidikan Malaysia sebagai Presiden UIAM perlu dilihat secara objektif. Jadi segala romantika dan sentimental terhadap UIAM sebagai Taman Ilmu dan Budi perlu diketepikan buat seketika.

Dan pada pandangan aku juga sebenarnya sekarang ini kedua-dua belah pihak, yang menentang dan yang menyokong, sedang bercakap dalam bahasa yang berbeza, ibarat ayam dan itik. Jadi sampai bilapun tidak akan diketemui titik pertemuan antara keduanya.

Pertama, yang menentang. Kebanyakan yang menentang, khususnya mahasiswa dan gerakan sivil yang lain melihat isu ini dari sudut pandang kebebasan akademik. Justeru penentangan mereka dipremiskan pada campurtangan kerajaan terhadap pentadbiran universiti.

Apabila Pakatan Harapan membentuk kerajaan, salah satu fokus utama dalam sektor pendidikan adalah bagi membebaskan universiti dan mengurniakan autonomi kepada universiti. Dan sudah tentulah autonomi ini bermaksud bebas dari campurtangan kerajaan terutama dalam isu pelantikan dan kenaikan pangkat, penentuan silibus, kebebasan mengadakan program, dan sebagainya.

Apabila Dr Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM, penentangnya melihat ia sebagai satu halangan terhadap usaha untuk membebaskan universiti dari cengkaman pihak kerajaan. Dr Maszlee, sebagai menteri kerajaan, sudah pasti akan bertindak mengikut apa yang diputuskan oleh kabinet, tidak boleh tidak, kerana beliau sendiri terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility).

Jadi pelantikan ini akan menjejaskan peluang universiti seperti UIAM untuk bebas dan mendapat autonomi. Ini premis yang dipegang oleh kebanyakan yang menentang.

Kedua, yang menyokong. Kebanyakan yang menyokong pelantikan Dr Maszlee adalah warga UIAM, samada yang masih bersama UIAM ataupun yang sudah bergelar alumni. Kebanyakan mereka menyokong pelantikan ini berdasarkan premis Dr Maszlee sebagai individu yang layak untuk memegang jawatan ini.

Tiada siapa boleh menafikan kelayakan dan prestij Dr Maszlee sebagai ahli akademik. Ketokohan beliau bukan sahaja terhad kepada bilik darjah sahaja, tetapi beliau juga diiktiraf sebagai ahli akademik yang bersuara mewakili masyarakat di luar sana khususnya di dalam isu-isu yang menjerat rakyat.

Kelayakan akademik serta pengalaman beliau sebagai pensyarah tidak boleh disangkal dan sememangnya atas faktor ini beliau antara calon terbaik untuk memegang kerusi Presiden UIAM.

Jadi pelantikan seorang tokoh seperti Dr Maszlee sememangnya tidak susah untuk difahami apabila kita melihat kepada latar belakang beliau.

Inilah yang aku maksudkan sebagai bercakap bahasa itik dan ayam. Yang menentang melihat Dr Maszlee sebagai Menteri kerajaan, manakala yang menyokong pula melihat Dr Maszlee sebagai tokoh akademik. Kedua-duanya melihat dari sudut pandang yang berbeza dan sukar untuk diharmonikan.

Walau bagaimanapun aku melihat hujah untuk menolak pelantikan Dr Maszlee sebagai lebih kuat dan baik untuk masa depan institusi pengajian tinggi.

Pelantikan Dr Maszlee akan mengancam kebebasan universiti yang seharusnya bebas dari pengaruh berlebihan kerajaan. Lebih-lebih lagi apabila Dr Maszlee mengumumkan bahawa beliau berhajat untuk menjadikan UIAM sebagai Oxford Dunia Islam, itu juga boleh menimbulkan konflik sekiranya pendekatan beliau tidak dipersetujui oleh Rektor UIAM. Sekiranya berlaku, mampukan Senat Universiti menolak cadangan Presiden UIAM yang juga merupakan Menteri Kanan Persekutuan?

Tiada siapapun yang mempersoalkan ketokohan Dr Maszlee. Tapi isu ini harus dilihat menjangkaui persoalan batang tubuh yang dilantik sahaja. Institusi yang diwakilinya juga harus dilihat sama. Dan sekiranya pelantikan ini diteruskan, dan ianya menjadi satu ‘precedent’, adakah kita boleh bersetuju dengan pelantikan tokoh lain yang juga merupakan Menteri Pendidikan tetapi tidak sehebat Dr Maszlee? Bersediakan kita ketika itu untuk ‘memperkenankan’ pelantikan tersebut?

Kesilapan harus diperbetulkan, sebelum ia menjadi satu konvensyen.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.