Pemilihan PKR: 2 ahli PKR ditahan dipercayai meminta rasuah RM20,000

Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 46 dan 48 tahun yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan parti itu dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, suspek dipercayai meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti kekal dalam sistem pemilihan yang melayakkannya untuk bertanding.

Suspek sebelum ini juga memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada senarai nama calon namun boleh dikekalkan sekiranya membayar suapan berkenaan.

Terdahulu, suspek tiba di perkarangan Mahkamah Alor Setar sekitar jam 9.45 pagi ini diiringi dua pegawai SPRM Kedah sebelum keluar dari kamar mahkamah pada jam 11 pagi.

Suspek berusia 48 tahun ditahan pada jam 12.20 tengah hari semalam di sebuah restoran di Alor Setar sementara suspek kedua berusia 46 tahun ditahan pada jam 3.25 petang di Plaza Tol Pendang Lebuhraya Utara-Selatan.

Berikutan penahanan itu juga, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek.

Pemilihan PKR peringkat negeri dijangka berlangsung pada 22 September ini sebelum diikuti peringkat nasional pada esoknya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika dihubungi, mengesahkan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Pada perkembangan berlainan, presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam ucapan khas beliau sempena Hari Malaysia berkata anak muda perlu mempunyai keberanian untuk melawan perkauman dan rasuah.

“Ada antara kita (rakyat Malaysia) yang telah rosakkan institusi negara ini.(Kini) kita perlu melawan perkauman, rasuah, dan kita perlu mempunyai keberanian dan kekuatan untuk membina semula Malaysia. Ini peranan anak muda.” – Anwar Ibrahim

-TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.