Apa maksud ‘cash is king’? – Najib Razak

Oleh : Najib Razak

Saya dapati ramai yang memberi komen di laman FB saya tidak mendapat gambaran yang betul tentang frasa “Cash is King”.

Ia benar bahawa saya pernah bercakap frasa ini kepada Tun Mahathir masa hubungan kami baik tetapi maksud frasa itu bukan untuk memberi wang tunai untuk membeli sokongan ataupun untuk merasuah.

Sebenarnya, frasa ini mengambarkan perbezaan pendapat kami berdua tentang halatuju ekonomi.

Pada masa itu, Tun Mahathir tidak bersetuju tentang BR1M, langkah rasionalisasi subsidi, gaji minima dan langkah menaikkan gaji dan bonus penjawat awam.

Beliau percaya bahawa kos pekerja dan kos perdagangan (yang direndahkan oleh subsidi) di Malaysia patut tetap direndahkan kerana jika kos tinggi, maka pelabur-pelabur asing tidak akan melabur di Malaysia.

Manakala pendapat saya adalah sebaliknya.

Saya percaya pelaburan-pelaburan yang memerlukan pekerja bergaji rendah akan memilih negara lain di mana gaji di sana lebih rendah dari Malaysia manakala terdapat banyak ketirisan dan penyeludupan jika subsidi diteruskan.

Saya memilih untuk pelaburan-pelaburan di Malaysia bukan dibuat sekadar mereka mahu pekerja yang bergaji rendah tetapi berdasarkan teknologi tinggi, infrastruktur dan sistem percukaian yang menarik di mana pekerjaan-pekerjaan yang diwujudkan merupakan pekerjaan mahir dan berpendapatan tinggi.

Manakala wang yang kerajaan perolehi dari rasionalisasi subsidi dan GST akan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk BR1M, gaji yang lebih tinggi dan projek-projek pembangunan infrastruktur.

Saya nyatakan bahawa “Cash is King” kepada Tun Mahathir kerana kerajaan tidak sepatutnya menentukan untuk rakyat mendapat pertolongan dalam bentuk subsidi yang mana dan kita pulangkan “cash” dalam bentuk BR1M untuk mereka menentukan sendiri di mana mereka mahu belanjakan wang bantuan ini.

Sebagai contoh, jika mereka mahu menggunakan wang ini untuk membeli petrol, maka rakyat sendiri memilih untuk mendapat subsidi petrol – bukan ditentukan oleh kerajaan.

Bukan semua rakyat akan mendapat manfaat terus jika harga gula murah kerana ada yang memilih tidak mahu mengambil banyak gula dan ada yang tidak akan terima manfaat terus melalui subsidi petrol kerana mereka tidak memiliki kereta.

Oleh itu, kita bagi “cash” untuk rakyat sendiri memilih ke mana ianya patut dibelanjakan.

Pendapat saya ialah gaji dan pendapatan warganegara di Malaysia terlalu rendah setelah sekian lama dan patut dinaikkan. Negara maju mana yang gaji pekerja mereka masih rendah? – TTKM-


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.