KUALA LUMPUR, 20 Sept — Datuk Seri Najib Razak bakal berdepan 21 pertuduhan berhubung wang US$681 juta (RM2.6 bilion) yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
Bekas perdana menteri itu berdepan sembilan pertuduhan menerima wang haram, lima lagi menggunakan wang haram dan tujuh dakwaan memindahkan wang haram, menurut laporan Malay Mail.
Terdahulu, Najib Razak dibawa ke ibu pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) sekitar jam 9.20 pagi tadi bagi membantu siasatan terhadap dakwaan RM2.6 bilion masuk ke akaun bank peribadinya.
Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira 8.55 pagi hari ini.
Ini merupakan kali ketiga Najib dibawa ke mahkamah, kali pertama pada bulan Julai apabila beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di atas tiga tuduhan pecah amanah dan menerima rasuah RM42 juta.
Bulan lepas, Najib didakwa atas tiga tuduhan pengubahan wang haram. -TTKM-