Rumah Tun Rahah, ibu Najib diserbu polis.

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Polis menyerbu kediaman ibu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Tun Rahah Mohammad Noah di Jalan Eaton, Kuala Lumpur, petang tadi, menurut laporan Malaysiakini.

Sumber polis berkata, serbuan yang melibatkan 14 anggota itu dibuat kira-kira pada pukul empat petang – kira-kira waktu yang sama Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Difahamkan polis turut memecahkan siling rumah untuk melihat jika ada wang tunai yang disembunyikan di situ, tetapi pulang dengan tangan kosong.

Sementara itu, FMT mengesahkan perkara tersebut apabila menghubungi Tan Sri Shafee, peguam Datuk Seri Najib Razak.

“Ya, sangat kejam bagi mereka untuk takutkan wanita itu dan tak jumpa apa-apa pun di rumahnya.” Tan Sri Shafee

Sementara itu, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pe­ngubahan Wang Haram ((AMLA), Datuk Khalil Azlan Chik ketika dihubungi Utusan Online, enggan mengulas lanjut serbuan tersebut. 

Serbuan itu berlaku di saat Najib berdepan 25 pertuduhan di mahkamah berkenaan dakwaan penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Najib mengaku tidak bersalah pada semua pertuduhan dan meminta dibicarakan.

Mahkamah membenarkan Najib Razak diikat jamin RM3.5 juta dengan dua penjamin.

Sementara itu, Najib di laman facebooknya berkata bahawa beliau yakin kebenaran akan terserlah dalam kes tersebut.

“Setiap manusia Allah berikan kelebihan dan kekurangan , setiap hari kehidupan ada nikmat dan ujian . Terima kasih kepada semua yang doakan untuk saya . Hanya Allah sahaja mampu membalas , hanya Allah sahaja tahu apa yang saya rasai dan lalui . Saya yakin kebenaran akan terserlah .” – Najib Razak.

– TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.