SINGAPURA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku ada timbul perasaan bahawa beliaulah yang sepatutnya mengangkat sumpah jawatan selaku perdana menteri pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu, dan bukan Tun Dr Mahathir, lapor Channel News Asia.
Dalam satu sesi dialog bersama penuntut dari pelbagai kolej di Singapura bertempat di Singapore Management University (SMU) pada Khamis, Anwar ditanya seorang pelajar, apa yang berlegar di fikirannya ketika menonton upacara Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri.
“Anda mahu saya jujur atau bercakap secara politik? Secara politik sudah tentu saya gembira, semua orang sangat gembira. Tengok, Mahathir angkat sumpah, era baru untuk Malaysia.
“Saya rasa saya sepatutnya berada di situ. Betul, saya ada rasa begitu. Saya tak berbohong kepada anda, saya ada rasa begitu – sepatutnya saya, bukan kamu (Dr Mahathir),” – Anwar Ibrahim
Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia ke-7 pada 10 Mei lalu.
Anwar, yang pada ketika itu sedang menjalani hukuman penjara, menonton upacara pelantikan itu dari wad hospital selepas menjalani pembedahan.
Parti PKR dimana Anwar kini adalah presidennya, mendapat kerusi terbanyak di dalam kerajaan Pakatan Harapan iaitu dengan 50 kerusi. Manakala parti Bersatu cuma memenangi 12 kerusi tetapi parti tersebut memegang portfolio penting kerajaan seperti perdana menteri dan menteri dalam negeri. – TTKM-