BENARKAH ISLAM BENARKAN PUKUL ISTERI?

Independent preacher Wan Ji Wan Hussin speaks during the Islamic Economic Development Foundation, or YaPEIM forum held at Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) on December 02, 2015. The Malaysian Insider/Afif Abd Halim.

BENARKAH ISLAM BENARKAN PUKUL ISTERI?

Oleh : Wan Ji bin Wan Hussin (Pengarah Akademik SAUDARA Research Centre)

Sehari dua ini, berlaku wacana dalam media soal berkenaan dakwaan, kononnya Islam membenarkan suami memukul Isteri. Ia rentetan dari tersebar satu keratan modul pendidikan Islam yang dikeluarkan oleh kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam modul itu, ada tercatat berkenaan soalan yang berkaitan memukul isteri yang nusyuz.

Memukul Isteri yang nusyuz ini, hakikatnya wujud dalam al-Quran dan hadis. Iaitu, dalam surah al-Nisa’ (4), ayat 34, iaitu firman Allah;

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
“Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasehatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan “pukullah” (dharb) mereka”

Dalam ayat ini, dijelaskan bahawa perempuan yang nusyuz terhadap suaminya, si suami boleh melakukan beberapa perkara yang dicadangkan, iaitu (a) memberi nasihat, dan (b) pisahkan mereka dari tempat tidur, dan (c) “pukul” mereka.

Apa yang menjadi perbahasan, apabila dalam ayat ini, digunakan kalimah “dharb” yang rata-ratanya diterjemah sebagai “pukul”. Justeru, ramai menafsirkan bahawa Islam adalah agama yang membenarkan kepada suami memukul Isteri.

Walaubagaimana pun, wacana ringkas ini dibawa kepada dua tajuk besar, iaitu (a) maksud isteri yang nusyuz, dan (b) maksud “dharb” yang diterjemah rata-rata muslim sebagai pukul.

NUSYUZ

Berbagai ulasan dari para ilmuwan muslim berkenaan maksud bagi isteri yang nusyuz yang dimaksudkan dalam ayat ini. Ada sebilangan ulama memaksudkannya sebagai tindakan isteri yang melahirkan kemarahan suami. Sebilangan lain menyatakan, isteri yang buruk kelakuannya terhadap suami[1]. Ada pula menafsirkan, isteri yang tidak mahu bersetubuh ketika diajak oleh si suami.

Walaubagaimana pun, semua pendapat di atas dianggap tidak kuat. Pendapat yang kuat, nusyuz adalah sebarang tindakan si isteri yang melanggar ketaatan kepada suami dalam perkara yang Allah wajibkan isteri lakukan terhadap suami, seperti isteri tersebut telah berzina dengan lelaki yang lain. Pendapat ini disandarkan kepada hadis saheh bahawa Nabi saw ada berkata dalam khutbah Wada’;

فَاتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لَا يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ، فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ
“Takutlah kamu kepada Allah yang bersebabkan wanita (isteri). Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah. Telah halal kepada kamu kemaluan mereka (setubuh) dengan kalimah Allah. Menjadi tanggungjawab kepada mereka bahawa seseorang yang kamu tidak sukai duduk bersama mereka atas tempat tidur kamu. Jika mereka lakukan juga, maka pukullah mereka (dharb) dengan pukulan yang tidak membahayakan[2]”

Dengan maksud, sebarang tindakan si isteri yang tidak taat kepada suami dalam perkara yang tiada kaitan dengan perintah yang Allah wajibkan, maka perempuan tersebut tidak boleh disebut sebagai Nusyuz. Ekoran itu, tidak boleh disebut nusyuz terhadap isteri ke rumah ibu bapanya tanpa persetujuan si suami, Isteri yang menolak bersetubuh dengan suami kerana kepenatan dan sebagainya.

MAKNA “DHARB”

kalimah “dharb” yang diterjemah sebagai “pukul” itu terdapat perbahasan dan perbincangan yang ia adalah seperti berikut;

Tafsiran pertama;
Ini adalah tafsiran yang paling popular dalam kalangan ilmuwan-ilmuwan muslim dalam dunia. Iaitu, ia ditafsirkan sebagai benar-benar memukul isteri. Dalam pada itu, memukul yang dimaksudkan itu, Ibn Abbas menyatakan pukul yang tidak memberi bahaya, seperti memukul dengan menggunakan kayu sugi (berus gigi)[3]. al-Hasan al-Basri pula menyatakan, pukul itu tidak mendatangkan bekas pada kulit[4].

Ini berdasarkan kepada hadis di atas, iaitu memukul yang tidak mendatangkan bahaya. Justeru, andai memukul itu dengan cara tapak tangan yang terbuka dengan menepuk pada badan kecuali muka, maka itu pun sudah memadai.

Dalam pada itu, pukul itu tidak dibenarkan dilakukan di muka. Dalam hadis, daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad saw ada berkata;

إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَّقِ الْوَجْهَ
“apabila seseorang kamu memukul, maka hindari dari muka[5]”

Pendapat ini disandarkan kepada hadis saheh bahawa Nabi saw ada berkata dalam khutbah Wada’ yang telah dinukilkan di atas, iaitu Nabi saw berkata, “maka pukullah mereka (dharb) dengan pukulan yang tidak membahayakan[6]”

Tafsiran kedua;
Andai memukul itu bermaksud memukul secara fizikal, sepertimana dalam penafsiran pertama, didapati ia ada bercanggah dengan satu hadis saheh yang Nabi melarang memukul hamba dengan menggunakan alat.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa seorang sahabat bernama Abu Mas’ud al-Ansari memukul hambanya. Tanpa beliau sedar, bahawa Nabi saw ternampak tindakan beliau. Ketika beliau sedang memukul, kedengaran suara Rasulullah menjerit di belakangnya dengan berkata;

اعْلَمْ، أَبَا مَسْعُودٍ، لَلَّهُ أَقْدَرُ عَلَيْكَ مِنْكَ عَلَيْهِ
“Ketahuilah wahai Abu Mas’ud, Allah lebihberkuasa bertindak ke atas kamu berbanding tindakan kamu terhadapnya”

Dengan itu, dia berhenti dari memukul hambanya, dan terus memerdekakan hamba terbabit. Lalu beliau maklumkan kepada Nabi. Mengetahui Hamba itu dimerdekakan, Nabi terus berkata kepada Abu Mas’ud;

أَمَا لَوْ لَمْ تَفْعَلْ لَلَفَحَتْكَ النَّارُ
“Andai kamu tidak lakukannya (merdekakan hamba tersebut), sudah pasti kamu akan dilahap oleh api neraka[7]”

Melihat kepada hadis ini, makanya kelompok ini membahaskan bahawa kalimah “al-Dharb” yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran bukan bermaksud memukul pada anggota badan isteri nusyus, tetapi cukup sekadar memukul sesuatu yang berada di keliling isteri tersebut dengan tujuan untuk mendidik dan memberi ketakutan agar tidak mengulangi lagu tindakan nusyuz tersebut.

Hujah mereka adalah perbezaan penggunakan kalimah “dharb” yang berbeza dengan makna “jild” yang digunakan dalam al-Quran. Ini kerana, kalimah “Jild” yang diterjemah sebagai “kulit”, digunakan bagi pesalah bagi kesalahan zina, “jilidlah mereka seratus jilid” (surah al-Nur (24), ayat 2), dan bagi kesalahan qazaf, “jilidlah mereka dengan lapan puluh jilid” (Surah al-Nur (24), ayat 4), sedangkan dalam ayat nusyuz ini digunakan kalimah “dharb”

Dari sudut bahasa, kalimah “jild” dan “Darb”, memberi maksud yang berbeza. Ini kerana, jild adalah pukulan yang sehingga kena kulit, sedangkan “Darb”, tidak semestinya kena pada kulit. Justeru itu, berdasarkan ayat ke 34, surah al-Nisa’ yang diterjemah ramai sebagai pukul itu, mereka menafsirkan yang dimaksudkan dalam al-Quran dan Hadis bahawa boleh memukul Isteri yang nusyuz itu, bukan semestinya memukul pada badannya, tetapi jika memukul sesuatu benda yang berada di kelilingnya pun sudah termasuk maksud memukul.

Tafsiran ketiga;
Kalimah “dharb” dalam ayat ke 34, surah al-Nisa’ itu bukan bermaksud pukul secara fizik, sebaliknya dimaksudkan dengan makna “memisahkan atau menceraikan” isteri yang nusyuz itu dengan baik.

Mereka berhujah dengan merujuk kepada ayat-ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimah “dharb” yang bermaksud sebagai “memisahkan”, bukan memukul secara fizik. Contohnya, al-Quran ada menyatakan pemisahan antara orang beriman dan orang munafiq pada hari akhirat kelak. Dalam ayat tersebut, proses pemisahan itu digunakan kalimah “al-Dharb”. Firman Allah;

يَوْمَ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ لِلَّذِينَ آمَنُوا انْظُرُونَا نَقْتَبِسْ مِنْ نُورِكُمْ قِيلَ ارْجِعُوا وَرَاءَكُمْ فَالْتَمِسُوا نُورًا فَضُرِبَ بَيْنَهُمْ بِسُورٍ لَهُ بَابٌ بَاطِنُهُ فِيهِ الرَّحْمَةُ وَظَاهِرُهُ مِنْ قِبَلِهِ الْعَذَابُ
“Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu.” Dikatakan (kepada mereka): “Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu).” Lalu dipisahkan (al-Dharb) di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya dari situ ada siksa” (Surah al-Hadid 57 : 13)

Begitujuga, ayat yang menceritakan tentang Nabi Musa “memisahkan” atau “membelah laut” dengan menggunakan tongkatnya. Dalam ayat itu, proses memisahkan dan membelah laut itu digunakan kalimah “al-Dharb”. Firman Allah;

فَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنِ اضْرِبْ بِعَصَاكَ الْبَحْرَ فَانْفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ
“Lalu Kami wahyukan kepada Musa: “pisahkan (al-Dharb) lautan itu dengan tongkatmu.” Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar” (Surah al-Syu’ara 26 : 63)

Maka dengan itu, surah al-Nisa’, ayat 34 yang menyatakan suruhan “al-Dharb”, bukan bermakna pukul isteri, tetapi ceraikan isteri dengan cara yang baik. Ini bersesuaian dengan maksud ayat al-Quran yang lain. Firman Allah;

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

“Talak (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik” (Surah al-Baqarah 2 : 229)

KESIMPULAN

Dari perbahasan ringkas ini, dapat disimpulkan seperti berikut;

Pertama, seseorang isteri yang telah melakukan maksiat yang berbentuk wajib isteri itu tunaikan terhadap suaminya, disebut sebagai isteri yang nusyuz.

Kedua, dalam al-Quran dinyatakan cara-cara untuk atasi isteri yang nusyuz, iaitu dengan memberi nasihat kepada mereka, dan pisahkan mereka dari tempat tidur, dan “memukul” mereka.

Ketiga, maksud “memukul” isteri dalam aya tersebut didapati ada beberapa tafsiran; iaitu, (tafsiran pertama) pukul secara fizikal, seperti tepuk atau dengan kayu sugi (berus gigi) pada mana-mana anggota badan mereka kecuali muka. Itupun, bersyarat bahawa ia tidak memberi bahaya dan tidak meninggalkan sebarang kesan, dan (tafsiran ketiga) memisahkan isteri dari perkahwinan, iaitu dengan cara menceraikan mereka dengan cara yang baik.

Wallahu ‘Alam.

[1] Al-Qurtubi, al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jld 5, hlmn 171
[2] Muslim, بَابُ حَجَّةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, hadis no : 1218
[3] Al-Tabari, Jami’ al-Bayan fi Ta’wil a-Quran, jld 8, hlmn 314
[4] Ibn Abi Hatim, Tafsir al-Quran al-‘Azim, jld 3, hlmn 944.
[5] Abu Daud, بَابٌ فِي ضَرْبِ الْوَجْهِ فِي الْحَدِّ, hadis no : 4493
[6] Muslim, بَابُ حَجَّةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ, hadis no : 1218
[7] Muslim, بَابُ صُحْبَةِ الْمَمَالِيكِ، وَكَفَّارَةِ مَنْ لَطَمَ عَبْدَهُ, hadis no : 1659

(Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM-Editor)

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.