Kuala Lumpur, 24 sept; BN memutuskan memboikot pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober depan menurut laporan Malaysiakini.
“Maka kami mengambil keputusan bahwa BN akan boikot PRK PD. Ertinya kita tak akan letakkan calon mewakili BN atau atas nama BN,” – Zahid Hamidi, pengerusi BN.
Beliau yang juga presiden Umno berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik di ibu negara sebentar tadi.
Setakat ini hanya parti kecil Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas menyatakan hasrat mencabar Anwar di kerusi itu.
Kerusi Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat kemudian menjadi perdana menteri ke 8.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Port Dickson pada 13 Oktober depan dan hari penamaan calon pada 29 September.
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berpendapat Umno tidak perlu terlibat dalam pilihan raya kecil parlimen Port Dickson.
Ia antaranya bagi menumpukan usaha pemulihan parti dan melakukan kajian mendalam terhadap sokongan terhadapnya di seluruh Malaysia.
PRK Port Dickson merupakan pilihanraya kecil ketiga yang dilakukan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Pada 2008, Wan Azizah meletak jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh untuk Anwar kembali bertanding.
Pada 2014, Adun PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai adun Kajang untuk memberi laluan kepada Anwar dalam satu operasi yang dinamakan sebagai Kajang Move untuk menobatkan Anwar sebagai menteri besar Selangor. Tetapi, langkah Kajang tersebut menjadi langkah kejung apabila Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat 2.
Sebelum PRU14, Wan Azizah mengakui bahawa sebahagian dari rancangan beliau adalah supaya beliau menjadi pemanas kerusi untuk suaminya. Beliau berkata demikan dalam satu bual bicara program Al Jazeera.
Walau bagaimanapun, setelah PH menang PRU 14 dan Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau melakukan pusingan U dan tidak mengosongkan kerusi parlimen Pandan tersebut sebaliknya kerusi Port Dickson pula menjadi mangsa.
Jika Anwar menang pada pilihanraya kecil kelak, Malaysia akan mencatat satu lagi sejarah apabila satu keluarga: suami, isteri dan anak (Anwar, Azizah, Nurul Izzah) menjadi ahli parlimen pada waktu yang sama -TTKM-