SETPOL, JUGA CALON MPP PKR DIDAKWA RASUAH, TAWAR KONTRAK.

Putrajaya, 25 Sept: Setiausaha Pengelola Pemuda PKR Ahmad Syukri Razab hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung seorang calon pemilihan yang didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai setiausaha politik (setpol) sebuah kementerian,

Menurut laporan Malaysiakini, Syukri mendakwa individu itu bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ketua cabang dan telah menawarkan kontrak kepada pimpinan tempatan di Pahang.

Beliau yang juga bertanding bagi jawatan naib ketua pemuda mendakwa, individu itu membuat tawaran itu dalam satu mesyuarat yang dipercayai berlangsung pada 1 September lalu di Pahang.

Antara tawaran yang dibuat kepada mereka yang hadir adalah kontrak pembangunan dan baik pulih infrastruktur bernilai RM20,000.

“Beliau juga memaklumkan bakal mendapat peruntukan RM300,000 daripada sebuah kementerian lain yang perlu dihabiskan hujung tahun ini dan meminta pemimpin yang hadir untuk membuat permohonan bagi mendapat kontrak itu.

“Beliau juga berkata bakal mendapat peruntukan daripada satu lagi kementerian yang juga akan diagihkan kepada pemimpin setempat.

“Saya percaya individu ini telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai awam dalam menawarkan habuan berbentuk projek bagi meraih sokongan pemimpin setempat,” – Ahmad Syukri

Syukri berkata demikian  kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

“Audio ini berdurasi 28 minit. Sepuluh minit pertama penting kerana ia mempunyai angka-angka yang disebut sebagai tawaran. Saya akan menyerahkan bukti ini kepada SPRM,” – Ahmad Syukri

Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

Walau bagaimanapun, Syukri enggan mendedahkan identiti individu itu mahupun kementerian yang terbabit.

Parti Keadilan Rakyat ketika ini sedang rancak melangsungkan pemilihan parti.

Buat pertama kalinya parti tersebut menggunakan kaedah e-voting di mana berlaku beberapa kekecohan dan pergaduhan berhubung kaedah pemilihan tersebut sehinggakan beberapa pemilihan terpaksa dibatal dan ditangguhkan.

Malah, di Pulau Pinang berlaku insiden kerusi terbang kerana ahli tidak berpuas hati -TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.