PILIHANRAYA KAMPUS UTHM : PENSYARAH PERAS UGUT SISWI!

Kenyataan Akhbar

PENSYARAH PERAS UGUT SIWI UTHM

Pihak Gabungan Pembebasan Akademik IPT (GPA) telah diberitahu semalam oleh komrad kami di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia iaitu front Suara Mahasiswa UTHM bahawa seorang mahasiswi UTHM telah diperas ugut oleh pensyarah UTHM semalam (25/9/2018) atas kesediaan siswi tersebut untuk bertanding dalam Pilihan raya Kampus UTHM untuk menjadi wakil pelajar Pusat Pengajian Diploma (Centre for Diploma Studies). Pensyarah tersebut merupakan pensyarah daripada fakulti yang sama.

Siswi tersebut diugut atas alasan bahawa siswi tersebut tidak boleh bertanding dalam Pilihan Raya Kampus di atas tiket Suara Mahasiswa UTHM melawan calon ASPIRASI yang kononnya merupakan parti yang menyokong kerajaan dalam universiti. Beliau juga diberitahu oleh pensyarah tersebut bahawa beliau akan menghadapi masalah dengan biasiswa JPA beliau sekiranya beliau tidak bertanding atas tiket Pro-Aspirasi. Situasi ugut mengugut ini kerap berlaku di zaman kerajaan Barisan Nasional sehingga ia telah mewujudkan culture of fear dalam kalangan mahasiswa.

Budaya ini amat biadap dan tidak seharusnya diteruskan di era Malaysia Baru dimana kerajaan baru sudah menjanjikan ruang kebebasan bersuara untuk mahasiswa. Saya mendesak Vice Canselor UTHM Professor Ts. Dr. Wahid bin Razzaly untuk mengambil serius perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pensyarah yang telah mengugut mahasiswi tersebut. Dr Wahid juga perlu memastikan bahawa budaya keji ini tidak berulang dalam kampus UTHM terutamanya dalam tempoh berkempen Pilihanraya Kampus UTHM yang akan berakhir pada 2 Oktober 2018.

Oleh kerana musim Pilihan raya Kampus sudah bermula, saya juga ingin mendesak Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk bertanggungjawab atas perkara ini dan mengeluarkan Pekeliling Rasmi kepada semua universiti dalam negara ini untuk memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kampus. Perkara terkutuk seperti ini tidak sepatutnya berlaku di era Malaysia Baru. Tindakan yang sewajarnya harus diambil oleh pihak kementerian supaya mahasiswa benar benar dapat kebebasan bersuara yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan. Pelan tindakan untuk mengembalikan autonomi university dan kebebasan mahasiswa harus dibentangkan secepat yang mungkin jika kementerian serius dalam hal ini.

GABUNGAN PEMBEBASAN AKADEMIK IPT (GPA)

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.