Kes penjawat awam minum ketum di Putrajaya meningkat.

PUTRAJAYA: Kes penyalahgunaan air ketum khususnya di kalangan penjawat awam di Pusat Pentadbiran Kerajaan telah menunjukkan peningkatan, menurut laporan Bernama.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata rekod Ibu Pejabat Daerah Putrajaya menunjukkan sebanyak 58 tangkapan dalam tempoh sembilan bulan pertama pada tahun ini berbanding 30 tangkapan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Bagi tempoh yang sama, beliau berkata polis juga melakukan 29 rampasan pada tahun ini berbanding 16 rampasan pada tahun lepas.

“Siasatan awal polis mendapati mereka mendapatkan daun ketum ketika balik kampung dan diproses di sini untuk kegunaan sendiri atau diagih kepada rakan-rakan, bukan untuk dijual secara besar-besaran.

“Polis Putrajaya akan meningkatkan pemantauan,”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran IPD Putrajaya di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa rampasan terbaru adalah pada dua minggu lepas dimana polis merampas 23 botol (1.5 liter) air ketum siap diproses di sebuah premis di Presint 18.

Rosly berkata rampasan dan tangkapan dibuat di kawasan perumahan dan juga kaunter agensi kerajaan di Presint 1, Presint 9, Presint 11 dan Presint 18 dan suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Khasiat daun ketum disalahguna

DAUN ketum adalah herba yang digunakan secara tradisional untuk memberi tenaga selepas bersalin dan kekuatan melakukan kerja berat atau tugas membosankan dalam rutin seharian. Ia mengandungi mitraginin yang tersenarai dalam Third Schedule of Poisons (Psychotropic Substance) Regulations 1989, Poison Ordinance 1952.

Ia diguna meluas di Malaysia dan Thailand.

Pokok ketum diisytihar bahan terlarang sejak tahun 2003. Daun ketum segar dalam berat purata 2 gram (g) mempunyai 70 mili-gram mitragynine (sejenis opiod). Seseorang individu berupaya makan antara 10 hingga 60 daun sehari.

Daun ini kadangkala dijual setelah dicampur bahan cemar lain termasuk tembakau, alkohol, kafein, pili khayal, ubat nyamuk, ubat demam/tahan sakit (seperti Tramadol/Panadol) dan ubat batuk. Ia dipercayai turut kurangkan rasa mengantuk selain berasa mood keseluruhan menjadi lebih ‘sihat’ selain menyebabkan peminumnya ketagihan.

Penagih ketum biasanya meminum air tersebut untuk memberi rangsangan atau ‘menghilangkan masalah’ tekanan kerana kesan euforia daun ketum.

Tiada kenaikan gaji penjawat awam

Bulan lepas,  Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan belum bersedia untuk menaikkan gaji 1.6 juta penjawat awam namun berjanji untuk melakukannya pada waktu yang berse­suaian.

Perkara ini didakwa telah menyebabkan sebilangan penjawat awam berasa tidak puas hati kerana berdepan dengan tekanan hidup kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kita mesti memastikan produktiviti meningkat. Kita tidak mahu kos sara hidup yang tinggi. Kita juga tidak mahu gaji meningkat dengan cepat kerana ia memberi kesan kepada kerajaan yang terpaksa menanggung hutang.

“Keadaan kewangan negara ketika ini membuatkan kita tidak dapat melaksanakannya. Tambahan pula kira-kira 1.6 juta orang penjawat awam sedang berkhidmat dengan kerajaan, jadi bayangkan kos yang akan terlibat,”– Tun  Dr Mahathir

Pengkritik berkata kaitan  peningkatan penagihan ketum dengan pengumuman tiada kenaikan gaji penjawat awam tidak boleh disangkal begitu sahaja.  – TTKM-

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
%d bloggers like this: