Teks penuh ucapan dasar ketua pemuda umno, Dr Aysraf Wajdi Dusuki.

UCAPAN DASAR, ASYRAF WAJDI DUSUKI. ketua pemuda umno

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,
SIDANG PERWAKILAN PEMUDA SEKALIAN,
1. Alhamdulillah dengan setinggi rasa syukur kepada Allah S.W.T dan
iringan semangat ukhuwwah serta perjuangan, saya mewakili saf
kepimpinan Pergerakan PEMUDA Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO) Malaysia mengalu-alukan kehadiran para perwakilan,
pemerhati dan para jemputan seluruh negara ke Perhimpunan Agong
Pergerakan PEMUDA UMNO 2018.

2. Walaupun parti UMNO bukan lagi berada di puncak kuasa, namun
dengan hati yang tulus ikhlas dari Perlis sampailah ke Sabah, kita hadir
pada hari ini atas nama sebuah perjuangan. Saya merakamkan ucapan
syabas dan tahniah kepada seluruh kerabat PEMUDA terutamanya
Ketua-ketua PEMUDA Bahagian, Naib-Naib Ketua PEMUDA Bahagian
dan saf-saf kepimpinan PEMUDA Bahagian, kerana kalian adalah
pejuang sejati.

 

3. Dalam sejarah dan tradisi UMNO, Perhimpunan Agong bukan sekadar
rutin tahunan, bahkan menjadi medan muhasabah terbesar untuk
menilai prestasi parti dalam menggarap aspirasi rakyat, memperteguh
idealisme Islam, mereformasi kelemahan organisasi dan merangka
garis-garis besar bagi menentukan haluan perjuangan.

 
4. Selepas 7 dasawarsa, kita berhimpun dalam suasana penuh keinsafan
dan kesedaran kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, bahtera
UMNO ini hampir karam, nakhodanya bertukar, layarnya koyak rabak
dan anak-anak kapalnya tidak ketentuan. Malah lebih parah lagi, ada
Juragan yang terjun meninggalkan bahtera.

 
5. Tentu sekali dalam keadaan sebegini, eloklah kita berlabuh seketika
di dermaga, membina kembali barisan kemudi bahtera dan anak-anak
kapalnya. Mengganti dayung yang patah, menampal layar yang carik,
membina kembali kekuatan sebelum meneruskan pelayaran biarpun
kita ketahui badai dan ombak yang bakal melanda cukup hebat.

 
6. Namun percayalah bahtera ini kita warisi daripada sebuah perjuangan
yang ikhlas dan suci, walaupun nakhoda dan kelasinya datang dan
pergi, silih berganti, hakikatnya semuanya ada jasa dan budi. Yang
buruk kita jadikan sempadan, yang baik jadikan azimat untuk kita terus
mengemudi bahtera perjuangan ini.

7. Untuk itu, mewakili seluruh saf kepimpinan Pergerakan PEMUDA,
saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan
setinggi penghargaan kepada YB KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
serta seluruh saf kepimpinan terdahulu atas segala segala jasa dan
sumbangan yang dicurahkan buat parti kita ini.
MUHASABAH DI SEBALIK KEKALAHAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

 
8. Tanggal 9 Mei 2018 pastinya tercatat sebagai sejarah hitam yang
tidak dapat dilupakan. UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima
kekalahan dalam Pilihanraya Umum ke-14. Buat pertama kali sejak
merdeka, UMNO hilang kuasa kerajaan di peringkat Persekutuan dan
negeri-negeri kecuali di Pahang dan Perlis.

 
9. Kita menerima kekalahan ini dengan penuh SEDAR dan INSAF,
sebagai takdir yang telah ditentukan oleh ALLAH ‘AZZA WAJALLA.
Inilah hukuman rakyat kepada kita. Dahulu, mereka mendokong dan
mengangkat kita tetapi kerana sikap kealpaan kita, mereka menolak
dan hilang keyakinan terhadap kita, lantas dengan mudah rakyat
memberikan undi mereka kepada lawan kita.

 
10. Terimalah kekalahan ini. Terimalah kekalahan dengan hati yang
terbuka. Percayalah, kekalahan ini bukan kerana musuh kita kuat dan
hebat. Tetapi kekalahan ini berlaku kerana kesilapan dan salahlaku kita
sendiri. Kita tewas lantaran tingkah kita yang bertentangan dengan
norma hukum dan bercanggah dengan budaya bangsa kita. Maka
Allah SWT menghukum kita dengan balasan kekalahan yang amat perit
sekali.

 
11. Kerana pangkat dan kuasa, kita berantakan sesama sendiri. Kerana
mengejar harta dan khazanah, kita sanggup mencantas sesama ahli.
Akhirnya kita tergelincir hingga perjuangan Melayu dan Islam sanggup
kita perjudi dan khianati.

 
12. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat
16:
وإَذِاَ أرَدَنْاَ أنَ نهُلْكَِ قرَيْةَ أمَرَنْاَ متُرْفَِيهاَ ففَسََقوُا فِيهاَ فحََقَّ علَيَهْاَ القْوَلْ فدَمََّرنْاَهاَ تدَمِْيراً
“Dan jika Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri,
maka Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang yang melampau dengan
kemewahan di antara mereka (supaya mentaati Allah), tetapi mereka
melakukan penderhakaan dan kefasikan, maka berhaklah negeri itu
dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya”.

 
13. Ayat ini umpama “Menepuk Air di Dulang Terpercik ke Muka
Sendiri”. Hakikatnya kitalah penduduk negeri yang digambarkan
Allah dengan limpahan kemewahan dan kemasyhuran selama lebih 60
tahun di puncak kuasa. Malangnya, kita kufur atas nikmat kurniaan Allah
itu, kita ingkar dengan perintahNya, kuasa yang ada digunakan untuk
mewajarkan segala kecurangan dan pengkhianatan tanpa peduli dosa,
naluri dan perasaan rakyat.

 
14. Hakikatnya yang bersalah bukan UMNO. Mana mungkin parti yang
memerdekakan negara ini begitu buruk sekali takdirnya. Mana
mungkin parti yang telah mengangkat martabat Islam begitu hodoh
sekali rupanya. Yang perlu dipersalahkan adalah para pendokong dan
pemegang amanah perjuangan UMNO yang telah mengkhianati dan
menanggalkan idealisme perjuangan serta meleburkan pedoman
Islam.

 
15. Justeru, ini adalah waktu terbaik untuk kita melihat siapakah pemimpin
yang benar-benar setia kepada perjuangan ini? Setia kepada
perjuangan bukan hanya di waktu berkuasa. Setia kepada perjuangan
bukan hanya di saat dilimpahi kesenangan. Tetapi setia yang sejati
adalah di saat UMNO sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan
dugaan.

 
16. Bukan seperti segelintir pimpinan yang telah meninggalkan kita di kala
UMNO dilanda badai. Kononnya lompat kerana prinsip perjuangan,
kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang…kami tahu sebabsebabnya….!
Ingatlah UMNO yang kalian sisihkan inilah, yang pernah
menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak.
Ingatlah jerit perih wanita yang setia memerah keringat turun naik dari
rumah ke rumah, puteri-puteri meninggalkan anak-anak yang masih
kecil di rumah hanya untuk memenangkan kalian

 
17. PEMUDA dengan ini mendesak pucuk pimpinan agar mengambil
tindakan tegas buat petualang-petualang ini termasuklah tindakan
undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti,
memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini,
akhirnya sanggup curang kepada akar umbi.

 
18. Bagi PEMUDA kami tidak sesekali menjadi “Seludang Menolak
Mayang”, melupakan parti yang banyak jasanya kepada kita. Malah
kita akan terus setia bersama wadah keramat ini bak kata pujangga
“Sakit Sama Mengaduh, Luka Sama Mengeluh”. Bahkan jika satu
ketika kita hilang kemudi hatta nakhoda sekalipun, kami PEMUDA
UMNO tidak akan undur walau selangkah meninggalkan wadah.
Sekalipun jika di waktu itu semua beralih arah meninggalkan UMNO
dan kalian terpandang di belakang, hanya seorang sahaja yang tinggal
memegang panji UMNO, maka dialah PEMUDA UMNO.

 
KEMBALI KEPADA AKAR PERJUANGAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
19. Saya yakin, masih ramai yang sayangkan UMNO. Tetapi terlalu banyak
persepsi buruk dicampakkan ke atas UMNO sekaligus terpalit kepada
kita yang masih berada dalam parti. Persoalannya:
• BOLEHKAH KITA MENJERNIHKAN KEMBALI PERSEPSI
BURUK INI?
• MAMPUKAH KITA MEMBERSIHKAN SEGALA IMEJ NEGATIF
TERHADAP PARTI UMNO INI?
• UPAYAKAH KITA MENGEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT
TERHADAP AGENDA PERJUANGAN UMNO?

 
20. Realitinya, generasi PEMUDA mewarisi bahtera UMNO yang hampir
karam. Namun, wahai PEMUDA-PEMUDAKU! Janganlah terus
dirundung kehampaan, janganlah terus diselimuti rasa kekecewaan.
Kita hakikatnya mampu bangkit kembali. Ini bukan omongan kosong.
Kita bukannya “Membakar Air Hendakkan Abu”. Inilah yang selalu
saya tekankan pada setiap kali turun ke lapangan sejak 3 bulan lalu,
bagaimana pengajaran tragedi Uhud yang merakamkan peristiwa
kekalahan tentera Islam, lantaran ingkar perintah Nabi SAW pada
awalnya, namun dijanjikan Allah untuk kembali bangkit memperoleh
kemenangan.
وَلَ تَهِنُوا وَلَ تَحْزَنُوا وَأَنْتُمُ الَْعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ 139
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan
dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap
apa yang telah menimpa kamu), padahal kamulah orang yang bakal
diangkat martabatnya kembali (mencapai kemenangan) jika kamu
benar-benar beriman.”

21. Inilah harapan. Inilah prasyarat kebangkitan. Syarat utama untuk UMNO
bangkit kembali daripada kekalahan, adalah untuk kita PEMUDA
kembali kepada akar keimanan dan tunjang agama.
PENEGASAN IDEALISME PERJUANGAN MELAYU-ISLAM
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

 
22. Selama 7 dekad UMNO di persada politik negara, UMNO tidak pernah
bersifat ekstrim baik KE KANAN (atau istilah popular hari ini; far right/
rightist) mahupun KE KIRI (far-left/leftist). Ertinya parti ini sentiasa
berada di jaluran tengah atau istilah Al-Qurannya: Wasatiyyah yang
membawa makna Adil, Cemerlang dan Seimbang.

 
23. Orientasi Wasatiyyah yang mendasari perjuangan UMNO ini bukan
sekadar retorika slogan. Perjuangan Islam yang dipelopori UMNO juga
bukan hanya sekadar sorakan semangat laungan takbir semata-mata.
Perjuangan Islam UMNO jauh sekali mewajarkan gejala PELAMPAUAN
ektrimisme mahupun perbuatan melonggarkan agama atau liberalisme.

 
24. Sebaliknya orientasi Wasatiyyah yang diperjuangkan UMNO inilah
yang telah diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan
dijadikan asas kepada segala dasar, polisi dan program dalam membina
negara bangsa yang berbilang agama dan kaum. Sehingga negara lain
menghormati Malaysia sebagai negara Islam yang progresif, aman dan
sederhana.

 
25. Semua ini kerana kita memahami ajaran Islam yang sifatnya memberi
kesejahteraan dan rahmat kepada semua tanpa mengira agama dan
bangsa sebagaimana yang terungkap melalui konsep Rahmatan Lil
Aalamin iaitu kesejahteraan kepada seluruh alam. Seiring dengan
firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 107;
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau ( wahai Muhammad), melainkan
untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”

 
26. Sejajar dengan itu PEMUDA menyokong penuh mana-mana pihak
yang ingin mengangkat wacana Rahmatan Lil ‘Aalamin ini. Namun
PEMUDA ingin tegaskan konsep Rahmatan Lil ‘Aalamin mestilah
benar-benar difahami dan diselami maknanya yang asli berpandukan
suluhan ilmu yang benar dan panduan ulamak yang jelas.
27. PEMUDA ingin mengingatkan, jangan sesekali memperdagangkan
konsep ini hanya untuk meraih undi. Jangan berselindung di sebalik
Rahmatan Lil ‘Aalamin demi kepentingan politik parti. Jangan sesekali
mempromosi konsep ini demi menghalalkan dasar kebebasan dan
keterbukaan tanpa batas sehingga menampakkan kerajaan ‘Malaysia
Baharu’ seakan mula lunak meraikan mahupun membuka ruang
kepada ideologi-ideologi songsang seperti Syiah, Qadiani mahupun
kelompok LGBT.

 
AGENDA MELAYU BUKAN RASIS
Sidang Perwakilan Sahabat Perjuangan Sekalian,
28. Yang menyedihkan, Pasca PRU-14, makin banyak suara-suara sumbang
yang meremehkan perjuangan kita berpaksikan Melayu dan Islam.
Seolah-olah keputusan PRU-14 mencerminkan kehendak majoriti
rakyat yang menolak politik berasaskan kaum dan agama. Sedangkan
tidak ada satu kajian yang membuktikan kenyataan itu.

 
29. Sebaliknya, kebanyakan kajian yang dijalankan badan bebas dan
berkecuali menggariskan pelbagai faktor lain yang menyumbang
kepada penolakan rakyat kepada UMNO dan BN, seperti skandal
kepemimpinan dalam kes 1MDB, kelemahan urus tadbir, integriti, kos
sara hidup, dan GST yang menyentuh tentang perasaan dan perut
rakyat yang tiada kaitan sama sekali dengan orientasi perjuangan
memartabatkan Bumiputera-Melayu-Islam.

 
30. Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan pemimpin UMNO sendiri
yang mula rasa bersalah atau “apologetic” apabila berbicara mengenai
agenda Agama dan Bangsa.

 
31. Persoalannya kenapa kita perlu rasa malu dan bersalah dengan
agenda Melayu, Islam dan Bumiputera? Seolah-olah memperjuangkan
Bangsa dan Agama sebagaimana yang terpateri dalam Perlembagaan
ini suatu yang hina dan rasis. Sedangkan bangsa lain yang berjuang
menegakkan hak dan kepentingan mereka, sehingga kadangkala
melangkaui batas Perlembagaan tidak pula dianggap rasis bahkan
dijustifikasi pula atas nama hak asasi.

 
32. RASIS! Kamus Oxford memaknakannya sebagai satu kefahaman
bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga
menebal nilai prejudis yang membawa kepada perlakuan diskriminatif
dan menindas hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah
martabatnya berbanding bangsa mereka.

33. Sekali lagi saya ingin bertanya: Adakah UMNO selama ini bersikap rasis
saudara-saudara? Adakah sepanjang 60 tahun UMNO menakhodai
kerajaan, bangsa lain ditindas dan dinafikan hak mereka? Adakah
agama lain juga diperkotak-katikkan oleh kita?

 
34. UMNO tidak pernah mendakwa Melayu-Bumiputera lebih mulia
daripada bangsa lain. UMNO juga tidak pernah mendesak Kerajaan
melaksanakan dasar menindas sehingga menafikan hak bangsa lain
seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

 
35. Sebaliknya perjuangan UMNO sentiasa bersifat inklusif. Apabila kita
berjuang untuk Melayu, kita juga berjuang untuk bangsa lain. Apabila
kita berjuang untuk Islam, kita juga mempertahankan hak agama-agama
lain. Kerana inilah tradisi kita. Inilah fitrah kita. Fitrah orang Melayu yang
sentiasa menyantuni. Fitrah orang Melayu yang tinggi toleransi. Fitrah
orang Melayu yang diakari oleh ajaran Islam yang menuntut kita untuk
sentiasa menghormati agama-agama dan bangsa-bangsa lain.

 
36. Sebab itulah sepanjang menerajui pemerintahan, UMNO melaksanakan
pelbagai dasar yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan tanpa
mengira agama dan bangsa secara saksama. Bahkan sehingga hari
ini, kekayaan dan kemewahan ekonomi yang dinikmati oleh bangsa
minoriti tidak pernah sesekali dipersoalkan, jauh sekali untuk dizalimi
hak mereka untuk hidup mewah dalam negara ini.

 
37. Cuma saya ingin mengingatkan kepada segelintir puak yang mula
angkuh, jangan sesekali lupa daratan, jangan dijolok sarang tebuan,
diberi betis, jangan pula mengidamkan peha. Ingatlah bidalan
sasterawan negara Almarhum Usman Awang:
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tidak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

KECELARUAN ‘MALAYSIA BAHARU’
Saudara-saudara sidang perwakilan sekalian,
38. Apa yang saya lakarkan ini adalah untuk kita lebih meyakini akan akar
perjuangan parti kita, sekaligus tidak sesekali berkompromi dengan
apa jua bentuk idealogi-ideologi era pasca-moden yang mula berani
menjelmakan wajah-wajah mereka dibawah pemerintahan baru
Kerajaan Pakatan Harapan.

 
39. Hakikatnya, PEMUDA UMNO merasakan bahawa era “Malaysia Baharu”
kini diselaputi dengan pelbagai kecelaruan. Kecelaruan dari segi politik
dan pentadbiran, kecelaruan dalam aspek perundangan, kecelaruan
dalam pengurusan ekonomi negara dan lebih membimbangkan
apabila rakyat turut dicelarukan dengan pelbagai penyimpangan
agama dan nilai.

 
40. Nampaknya Kerajaan hari ini kalau mengikut bidalan Melayu lama
“Agak Lebih, Daripada Agih” iaitu lebih banyak bercakap dan
menyalah daripada bekerja. Lebih banyak berdalih daripada cuba
mengota “Seperti Air Besar Sampah Tak Hanyut” dengan pelbagai
harapan dan janji-janji yang akhirnya dikhianati.

 
41. Kononnya nak hapuskan hutang PTPTN sehinggakan orang muda
berjaya diumpan untuk menukar kerajaan, tetapi bila berkuasa, maruah
mereka pula disergah dengan melabelkan mereka tidak tahu malu
kerana tak bayar hutang.

 
42. Kononnya atas dasar penjimatan, BR1M, bantuan sara hidup nelayan,
kenaikan gaji penjawat awam tidak diteruskan, tetapi pada masa sama
projek-projek yang menguntungkan para kroni dan kapitalis seperti
Projek Kereta Nasional Ke-3 hendak dibangunkan semula.

 
43. Kononnya nak bela warga kota yang terbeban kos sara hidup dengan
menghapuskan tol, tetapi bila sudah menang bagi alasan kerajaan pula
yang terbeban kerana kos pengambil-alihan konsesi tol mencecah
RM400 Bilion.

 
44. Kononnya nak mengangkat “Rule of Law”, tetapi satu persatu norma
perundangan dan kehakiman dicabuli, kes-kes melibatkan kepimpinan
kerajaan digugurkan sesuka hati, pemimpin-pemimpin pembangkang
pula dimalukan sebelum dibicarakan, dihukum sebelum disabitkan. Di
manakah ‘Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang’
yang dicanangkan? Ini semua bukti dendam kesumat, kerakusan
dan keserakahan Sang Penguasa sehingga dirobek ‘Kesopanan Dan
Kesusilaan’. Kita ingat kerajaan Malaysia Baru ini benar-benar nak
angkat “Rule of Law” tetapi rupa-rupanya “Law of the Jungle”.

 
45. Akhirnya rakyat semakin keliru, negara makin celaru. Tidak tahu fakta
mana yang betul. Sekejap kata hutang negara mencecah RM 1 trillion
(berbanding catatan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) RM725.8
billion setakat suku tahun kedua 2018), tetapi setelah berlakunya
aliran keluar modal secara besar-besaran, mencecah RM38.27 billion
lantaran cemas dengan pendedahan ini (hingga menjejaskan Bursa
Saham Malaysia), keluar pula kenyataan yang berbeza.

 
46. Sekejap kata negara akan bankrap, tetapi baru 4 bulan berkuasa YB
Menteri sekali lagi ubah kenyataan asal, mendakwa ekonomi kembali
kukuh. ‘Pelik bin Ajaib’, ‘Jampi Serapah’ apa yang digunakan boleh
merubah negara yang bankrap menjadi hebat dalam tempoh yang
singkat. Itu tidak termasuk salah titik perpuluhan tatkala cuba menyalah
kerajaan lama berkenaan angka baki tabung bayaran balik GST.

 
47. Memang wajarlah kita syorkan Menteri ‘Hentam Saja’ dinobatkan
‘Menteri Kewangan Terbaik Dunia’ kerana tidak pernah dalam sejarah
dunia sebuah negara berubah cemerlang hanya 4 bulan berkuasa.
Cuma sayangnya beliau rupa-rupanya berhati tisu.

 
48. Ini baru karenah seorang Menteri, belum lagi Menteri-menteri
lain yang berterusan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan
memperbodohkan rakyat.

 
49. Ada Menteri yang kononnya tunjuk prihatin kepada kos sara hidup
nelayan setelah dia sendiri mansuhkan segala subsidi dan sara hidup
bulanan, dicadangkan pula menanam nenas dan rambutan di belakang
rumah bagi menambah pendapatan. Inilah agaknya pandangan luar
kotak ‘out of box’ pak menteri, mencetuskan inovasi penanaman
nenas dan rambutan di kawasan tanah pasir.

 
50. Ada pula Menteri yang bangga mendedahkan rahsia keselamatan dan
pertahanan negara kononnya hanya 4 sahaja pesawat pejuang negara
yang boleh terbang. Tapi pada hari sambutan Kemerdekaan kita
dipersembahkan dengan lintas hormat puluhan jet-jet pejuang yang
megah terbang. Namun apabila datang daripada seorang Menteri
daripada sebuah parti yang kuat melaungkan Rahmatan Lil ‘Aalamin,
kita kena bersangka baik, agaknya disewa khas dari Negara Iran.

51. Ada juga Menteri yang begitu teruja untuk menzahirkan keterbukaan,
memperjuangkan kebebasan, meraikan semua kelompok minoriti
walaupun ada yang sesat lagi menyesatkan. Ada yang dilayan bak
raja sehinggakan isu tandas merekapun menjadi agenda nasional.
Dahulu Kerajaan BN mengangkat martabat golongan OKU sehingga
kemudahan tandas mereka kita bela. Datang Menteri Malaysia Baharu,
senang-senang nak menyerahkan hak OKU yang kita bela.

 
52. Ada juga Menteri yang bijaksana dan bernas pandangannya. Status
facebook beliau yang cukup mengesankan saya sehingga hari ini
“Pemimpin Yang Bodoh Lahir Dari Tangan Pengundi Yang Bodoh”.
Tapi jangan salah faham tuan-tuan, itu status tahun 2015, mungkin lain
pandangannya hari ini bila sudah dipilih rakyat dan bergelar YB.

 
53. Ini hanyalah sebahagian koleksi-koleksi kenyataan Anggota
Pentadbiran Kerajaan Baharu yang sempat dikongsikan. Banyak lagi
kecelaruan yang dicetuskan oleh Kerajaan Baharu. Sandiwara yang
mereka persembahkan setakat hari ini tidak ubah seperti “Berlindung
Di Sebalik Telunjuk”, “Sudah Palit, Mudah Pula Mencalit”.

 
54. Mungkin inilah sebabnya Perdana Menteri semacam sudah hilang
percaya dan yakin kepada Memanda Menteri-menterinya sendiri,
sehinggakan terpaksa mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP)
walaupun janjinya hanya untuk 100 hari. Tapi kita sudah tidak hairan
dengan Janji 100 Hari kerana bak kata Perdana Menteri “Manifesto
Bukan Kitab Suci”.

 
55. Namun PEMUDA ingin tegaskan, janji itu adalah sesuatu yang wajib
dipenuhi. Ia adalah tuntutan agama yang tidak wajar dikhianati.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ
“Wahai Orang Beriman, Wajib Atas Kamu Untuk Mengota segala Janji”
(Al-Maidah:1)
Apatah lagi sebagai sebuah kerajaan yang perlu membangunkan nilai
yang betul kepada rakyat. Mandat rakyat kepada kepimpinan bukan
sahaja memenuhi tuntutan pentadbiran tetapi juga menyemai nilai dan
moral untuk diteladani.

 
56. Apa guna mendapat mandat jika berterusan menipu rakyat. Apa guna
di Putrajaya kalau kata tak dikota. Apa guna menabur janji tapi akhirnya
untuk dikhianati. Benarlah peribahasa Melayu yang dipetik oleh Pak
Menteri, “Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong
Lama-Lama…..?”

TERAS KEBANGKITAN PEMUDA
Saudara-saudara rakan seperjuangan
57. Tujuan dibentangkan dan dihidangkan segala kecelaruan dan
kebobrokan Kerajaan yang ada pada hari ini bukan sekadar untuk
dipersendakan. Segala kelemahan Kerajaan Malaysia Baharu bukannya
alasan untuk kita mendabik dada dan memeluk tubuh menantikan
buah jatuh ke tanah atau bulan jatuh ke riba.

 
58. Sebaliknya PEMUDA wajib bangkit. Kita bangkit bukan hanya
memenuhi tuntutan parti, tetapi kita bangkit untuk kembali membela
rakyat, agar rakyat tidak berterusan diperbodohkan. Kita bangkit untuk
memerdekakan minda rakyat, agar rakyat tidak terus terjajah dengan
segala fatamorgana janji-janji palsu yang mengujakan.

 
59. Justeru, saya ingin melakarkan lima (5) TERAS KEBANGKITAN
BUAT PEMUDA yang akan menjadi ‘azimat’ buat kita semua dalam
menggerakkan agenda penting mengukuhkan dan mereformasi parti
sekaligus untuk mendapatkan kembali sokongan dan dokongan rakyat.

 
60. 5 Teras Kebangkitan PEMUDA yang dimaksudkan adalah:
a. Menjuarai Agenda Rakyat
b. Menyantuni Kepelbagaian Anak Muda
c. Memperkukuh Nilai Inklusif
d. Pengislahan PEMUDA
e. Penjenamaan Semula PEMUDA

 
TERAS PERTAMA : MENJUARAI AGENDA RAKYAT
Saudara-saudara sahabat seperjuangan,
61. Sebagaimana di awal bicara, kita dihukum dan ditolak oleh rakyat
lantaran kealpaan dan kelekaan kita tatkala di puncak kuasa. Kita gagal
menyelami suara hati rakyat, kita gagal mendengar denyut nadi rakyat.
Ketika rakyat bergelut dengan kelangsungan hidup, pemimpin angkuh
memperagakan kemewahan diri. Ketika rakyat dilingkari badai dusta
dan fitnah, kita gagal menyanjikan jawapan tuntas akibat dipagari rasa
selesa sesama sendiri.

 
62. Justeru, PEMUDA harus bangkit kembali kepada rakyat. Namun,
pendekatan kita haruslah berbeza sesuai dengan kedudukan kita
sebagai pembangkang. Kalau kita masih mengimpikan untuk kembali
ke puncak kuasa, inilah masa dan ketikanya: ‘Menjadi Juara Rakyat’.

63. Menjadi Juara rakyat adalah menjadi pembangkang berwibawa.
Menjadi pembangkang berwibawa adalah menjadi lidah penyambung
suara rakyat, mata telinga pemelihara kepentingan rakyat.

 
64. Bagi tujuan ini. PEMUDA harus mula memantau kerajaan dari pucuk
pimpinan hinggalah ke peringkat akar umbi. Dari setiap kementerian,
jabatan-jabatan hinggalah ke peringkat agensi-agensi negeri, Syarikat-
Syarikat Milik Kerajaan (GLC) mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Memantau semua polisi, dasar dan projek yang dilaksanakan agar tidak
ada lagi penyelewengan, ketirisan mahupun pembaziran. Setiap salah
laku dan penyimpangan yang dilakukan baik di peringkat Perdana
Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Parlimen hinggalah Ahli-
Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan mestilah
segera dilaporkan dan disuarakan tanpa gusar dan goyah, “without
fear and favour”.

 
65. Pembangkang wibawa juga bukan bermakna kita sekadar
membangkang tanpa arah dan tujuan. Sebaliknya jika kita mahu
menterjemahkan ‘Government in Waiting’, PEMUDA harus mula
menyediakan polisi dan dasar alternatif yang terbaik sebagai ruang
kepada rakyat untuk menilai keupayaan kita untuk kembali memerintah.

 
66. Saya ingin tegaskan menjadi juara rakyat bukan kita menjual-beli
maruah rakyat. Kepercayaan rakyat kepada kita bukan untuk dijaja.
Amanah rakyat kepada kita bukan untuk digadai demi kepentingan
diri.

 
67. PEMUDA ingin ingatkan, dalam keghairahan segelintir yang masih
berkira-kira untuk melompat parti ataupun yang mengintai-ngintai
peluang untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang, ingatlah
parti kita masih bermaruah, jangan sesekali menggadai amanah
rakyat. Sekali rakyat rasa dicurangi, dibimbangi parti akan tertolak buat
selama-lamanya. “Dari Hidup Bercermin Bangkai, Lebih Baik Mati
Berkalang Tanah”

 
TERAS KEDUA: MENYANTUNI KEPELBAGAIAN ANAK MUDA
Sahabat-Sahabat Sidang Perwakilan Sekalian,
68. Seiring dengan iltizam kita untuk menjuarai agenda rakyat, PEMUDA
menyedari komponen rakyat mula didominasi oleh pengundi muda.
Realitinya lebih 14 juta rakyat Malaysia adalah anak muda. Barubaru
ini pula, Kabinet telah memutuskan untuk menurunkan had umur
pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun, sekaligus menjadikan
tambahan lebih 1.5 juta pengundi muda yang layak untuk mendaftar
sebagai pemilih pada PRU akan datang.

 
69. PEMUDA mengiktiraf bahawa anak-anak muda kini empunya pelbagai
recam dan ragam. Dari mereka yang berjanggut tebal hinggalah ke
berseluar ketat, dari mereka yang tradisionalis kampung hinggalah
ke ‘urban-demokrat’, dari mereka yang ‘Hipster Raver’ hinggalah
yang berpencak silat, hatta yang berniaga sendiri hinggalah ke
teknokrat.

 
70. Maka tidak hairanlah jika kerencaman ini melahirkan kepelbagaian
ideologi, pemikiran dan pendirian mereka. Anak muda kini lebih
terbuka pemikirannya, lebih lantang lidahnya dan lebih berani
sikapnya. Pemikirannya juga tidak mahu dikongkong, suaranya tidak
mahu dikekang dan tingkah lakunya tidak mahu ditahan.

 
71. Kepelbagaian ini menuntut kita untuk lebih memahami keperluan
mereka, sensitif dengan kehendak mereka dan juga menjiwai aspirasi
mereka. Akhirnya PEMUDA tidak boleh sewenang-wenangnya
mengikat mereka dengan nilai kita. PEMUDA juga tidak boleh lagi
menggunakan pendekatan tipikal dan tradisional dalam menyantuni
mereka. Justeru bagi memastikan teras ini menjadi keutamaan
PEMUDA saya sarankan dua pendekatan:

 
72. Pertama, PEMUDA harus memaksimumkan penggunaan teknologi
maya untuk berkomunikasi dengan anak muda hari ini, menguasai
whatsapp, facebook, twitter, instagram, tik-tok, wee chat dan
pelbagai media alternatif yang banyak mempengaruhi sikap, mencorak
minda dan membentuk pendirian mereka. Namun, manfaatkanlah
teknologi secara berhemah dan tertib, jagalah adab dan nilai. Pamerkan
dan zahirkan wibawa dan akhlak kita sebagai pemimpin PEMUDA
UMNO di mata rakyat.

 
73. Kedua, PEMUDA perlu keluar mengenalpasti, mencari dan mendekati
anak-anak muda secara fizikal dari kedai mamak sehinggalah ke
starbuck, dari celah-celah pokok getah hinggalah ke bangunanbangunan
pencakar langit berhawa dingin, dari surau dan masjid
ke pusat-pusat karoeke dan hiburan. Bukan untuk kita mencairkan
pegangan kita. Tetapi untuk kita lebih menyelami dan melebarkan
jalan agar mereka dapat memahami nilai yang kita julangi.

74. Bermula hari ini, PEMUDA ingin tegaskan, tiada lagi pintu-pintu
PEMUDA yang ditutup rapi, tiada lagi masalah memohon menjadi ahli
berkali-kali. Jaminan saya, tiada lagi bakat-bakat anak Melayu kita yang
diketepi, syaratnya mesti mahu ikhlas dan tulus dengan perjuangan
UMNO yang kukuh jati diri.

 
TERAS KETIGA: MEMPERKUKUH NILAI INKLUSIF
Saudara-saudara sahabat seperjuangan,
75. Teras ketiga adalah memperkukuh nilai inklusif. Sejak awal
penubuhannya lagi, nilai ini amat sebati dengan orientasi perjuangan
UMNO. Kelahiran UMNO adalah berasaskan ijmak cantuman
41 pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu dan organisasi Islam,
Kemerdekaan Tanah Melayu adalah berasaskan kebijaksanaan
UMNO untuk mempelopori nilai inklusif dengan mengajak parti-parti
lain yang mewakili pelbagai kaum. Malah pembentukan Malaysia
adalah hasil jiwa besar UMNO yang menghayati nilai inklusif untuk
mengajak Sabah, Sarawak dan Singapura untuk sama bercantum.

 
76. Persoalannya, mengapa UMNO hari ini dilihat eksklusif? Parti ini hanya
dipandang mewakili golongan tertentu semata-mata. Sebagai wadah
politik, UMNO perlu realistik betapa kerelevanannya bergantung
kepada nilai kebersamaan dan keterangkuman dengan rakan-rakan
strategiknya. Atas asas itu, UMNO perlu lebih menzahirkan nilai
inklusif ini sebagai bahtera politik yang mewakili kepelbagaian
rakyat Malaysia. Lantaran itu UMNO perlu kembali menyemarakkan
kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dari pelbagai latar.

 
77. PEMUDA berpendirian, kerjasama yang ada dalam bentuk Barisan
Nasional pada hari ini perlu disemak semula. Suatu bentuk gagasan
politik baharu yang melangkaui gabungan Barisan Nasional mesti
segera diusahakan. Gagasan ini tidak hanya diwakili oleh parti-parti
komponen BN yang masih tinggal, bahkan harus disertai parti-parti
lain daripada blok pembangkang. Gagasan ini perlu memfokuskan
kepada usaha untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang yang
kuat dan berwibawa demi menjaga kepentingan rakyat. Bagi tujuan
ini, PEMUDA mencadangkan satu TASK FORCE atau PASUKAN KHAS
mewakili semua parti-parti komponen mestilah segera dibentuk.

78. Sehubungan dengan itu juga, UMNO harus memulakan inisiatif
yang serius bagi menggembeleng seluruh NGO-NGO untuk duduk
bersama berkongsi aspirasi dan harapan. Baik NGO Islam dan adat
Melayu, NGO Pendidikan, NGO Bahasa, Persatuan-Persatuan Belia dan
Mahasiswa, NGO golongan berkepentingan seperti OKU, Persatuan
Penduduk, NGO Alam Sekitar dan NGO-NGO Politik Antarabangsa.
Kita harus melihat mereka sebagai rakan dan taulan bukan musuh
atau saingan. Mereka mempunyai idealisme yang jelas dan jaringan
keahlian yang ramai. Semua ini adalah peluang membina kekuatan
dan menambah kematangan agar PEMUDA boleh bangkit, membela
rakyat.

 
79. Begitu juga dengan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak. PEMUDA
UMNO melihat kewujudan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak dalam
Malaysia sejak 1963 mesti diraikan dengan tepat. Mereka berhak
mendapat kuasa autonomi seperti yang dimetrai dalam perjanjian
Malaysia 1963 (MA63). Buat sahabat-sahabat kita PEMUDA SABAH,
kami menyokong penuh cadangan UMNO Sabah untuk diberikan
‘autonomi’ merangka strategi politik mereka tersendiri, sesuai
dengan keperluan dan tuntutan politik Sabah yang berbeza dengan
Semenanjung baik dari segi etnik mahupun agama.

 
80. Ini sebagai komitmen dan keikhlasan UMNO mengiktiraf status
dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan
Persekutuan. Kita mahu UMNO menjadi parti nasional pertama yang
memulakan langkah pragmatik, memberikan autonomi kepada UMNO
Sabah sebagai citra iltizam tinggi untuk mengiktiraf kedudukan Sabah
sebagai salah satu entiti utama yang membentuk Persekutuan Malaysia.
Ia juga sebagai satu pengiktirafan terhadap hak dan kepentingan
semua ahli UMNO di Sabah sebagai negeri yang mempunyai jumlah
keahlian tertinggi dengan hampir 20 peratus terdiri daripada kalangan
Bumiputera bukan Islam.

 
81. Sifat inklusif UMNO bukan sahaja melibatkan agenda survival politik
1. kuasa, bahkan ia menuntut kita untuk melihat kepada agenda
penyatuan ummah yang lebih besar. Apatah lagi berhadapan regim
pemerintah kini yang semakin mendedahkan ancaman terhadap
martabat Islam yang sekian lama kita bina di negara ini.

82. Inilah sebenarnya terhasrat di sebalik langkah awal untuk kita
menjalinkan semula ikatan ukhuwwah yang lama terlerai dengan
saudara seakidah kita, PAS. Lebih-lebih lagi apabila Allah mentakdirkan
kedua-dua parti ini sama-sama berada dalam blok pembangkang.

 
83. Saya tahu ada yang suka dan tidak kurang juga mereka yang kurang
selesa dek kerana dihantui oleh sejarah lama. Ada juga yang terhiris
apabila masih terhambur kenyataan-kenyataan di kalangan sahabat
pimpinan PAS yang menggambarkan seolah-olah kita yang terdesak,
“Bak Hidung Tak Mancung Pipi Tersorong-Sorong”. Memang
bukan mudah untuk melakar suatu yang besar setelah berpuluh tahun
bersengketa dan beramarah. Apatah lagi ujian persaudaraan adalah
ujian yang paling sulit untuk dihadapi walaupun tuntutannya amat jelas
dalam Syariah.

 
84. Justeru pendirian PEMUDA adalah jelas, kita harus berjiwa besar
demi Islam. Muafakat kita dengan PAS adalah semata-mata memenuhi
tuntutan agama demi mencari rahmat dan keberkatan. Masingmasing
boleh kekal dengan identiti, orientasi dan pendekatan tanpa
perlu meleburkan mana-mana ideaslisme parti. Ini kerana apabila
satu-satu permuafakatan disandarkan kepada kuasa dan kebendaan
semata-mata, ia terdedah kepada risiko wujudnya rasa tidak puas hati
apabila berhadapan dengan realiti sebenar di puncak kuasa ataupun
dihidangkan dengan pelbagai bentuk peluang-peluang bersifat
kebendaan.

 
85. PEMUDA UMNO ingin menegaskan bahawa kami mendokong
sebarang usaha pucuk pimpinan untuk terus mencari formula terbaik
bagi mewujudkan apa jua bentuk kerjasama mahupun gabungan
pelbagai parti-parti politik dalam blok pembangkang. Namun PEMUDA
ingin ingatkan jangan sesekali mengorbankan maruah parti. Kerjasama
dengan sesiapapun jangan sampai mencabut tunjang perjuangan
parti.

 
TERAS KEEMPAT: PENGISLAHAN PEMUDA
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,

86. Semasa pemilihan PEMUDA 3 bulan lepas, saya menawarkan kepada
saudara-saudara Agenda Pengislahan atau Pemerkasaan PEMUDA
berteraskan konsep 5P: Pengkaderan, Pentarbiyahan, Pembudayaan
Ilmu, Pemerkasaan Rohani, dan Pengukuhan Jati Diri.

87. Saya persembahkan 5 Agenda Pengislahan ini kepada sahabat-sahabat
PEMUDA, tidak lain dan tidak bukan berpaksikan kepada satu nawaitu
untuk PEMUDA UMNO kembali kepada akarnya “Back to Basic”.
88. Kembali kepada akar nurani manusia yang secara fitrah amat
bergantung kepada PenciptaNya Yang Maha Berkuasa. Kembali
kepada akar yang membentuk fikrah parti yang memandu setiap warga
dalam misi perjuangannya. Akar yang menunjangi nilai teras anggota
parti untuk terus bersatu, bersetia dan berkhidmat.

 
89. Sebab itulah, perkara pertama yang saya tekankan untuk terus dilaksana
sejurus saya menerima mandat besar ini, ialah siri-siri ‘HALAQAH ILMU
PEMUDA’ bagi setiap negeri, bahagian hinggalah ke cawangan.

 
90. Saya percaya strategi ‘HALAQAH’ ini ada barakah dan rahmatnya.
‘HALAQAH’ sebenarnya hanyalah istilah Arab yang bermaksud
‘Pertemuan dalam kumpulan atau linkungan. Halaqah sebenarnya
bukan sesuatu asing dalam budaya UMNO, malah ia boleh menjadikan
platform untuk kita turun bertemu dengan akar umbi, berbincang
strategi parti, di samping memperkukuhkan ukhuwwah persahabatan
dengan cara yang lebih berstruktur, tanpa melibatkan kos besar, dan
tanpa perlu ke tempat-tempat mewah cara elitis.

 
91. Idea ‘HALAQAH’ ini tercetus sebagai satu manifestasi usaha kita untuk
mengikut model perjuangan Rasul kita, Muhammad SAW tatkala mula
mengatur langkah untuk menggerakkan sahabat-sahabat Baginda
untuk bangkit berjuang setelah menerima amanah wahyu Ilahi. Saya
percaya ini adalah pendekatan pertama kita dalam usaha PEMUDA
memperkukuhkan saf dan mengorak langkah untuk bangkit kembali
dalam agenda perjuangan yang begitu mencabar masa kini.

 
92. Halaqah pertama di rumah Al-Arqam Ibnu Abi Al-Arqam yang hanya
menghimpunkan beberapa sahabat sahaja pada peringkat awal,
ternyata telah menjadi platform penting menyemai budaya ilmu,
menjalinkan ikatan persaudaraan, membentuk jatidiri yang kental
sekaligus medan merencana strategi organisasi. Walaupun nampak
hanya sekadar inisiatif kecil, namun jangan diremehkan usaha kerdil
ini kerana daripada hanya sebuah ‘HALAQAH’lah Islam telah berjaya
tersebar ke seantaro dunia hingga ke hari ini.

 
93. Alhamdulillah, saya melihat perkembangan yang amat positif meneliti
laporan program ‘HALAQAH’ yang dibuat secara berterusan di semua
peringkat cawangan, bahagian dan negeri, melalui ruang-ruang
whatsapp setiap PEMUDA Negeri dan Bahagian. Di peringat Pusat,
saya mengucapkan syabas kepada barisan exco-exco saya, walaupun
baru 3 bulan, pelbagai strategi sudah dirangka bagi menterjemahkan
Agenda 5P melalui sekretariat-sekretariat yang dibentuk. InsyaAllah,
strategi dan gerakkerja yang lebih spesifik, kita akan kongsikan sejurus
selepas Perhimpunan besar ini.

 
94. Sejujurnya, saya ingin nyatakan bahawa saya begitu terharu melihat
semangat juang dan pengorbanan saudara-saudara, kerana saya
cukup memahami bahawa kita semua bergerak dalam keadaan
serba kekurangan dengan pelbagai tekanan. Namun saudara telah
membuktikan bahawa PEMUDA sudah bersedia untuk melakukan
pembaharuan. Inilah sebenarnya makna pengislahan. Ingatlah wahai
sang penguasa, kami pemuda pewaris Agama Bangsa. Makin kami
ditekan, makin kami akan bangkit melawan.

 
TERAS KELIMA: PENJENAMAAN SEMULA PEMUDA
Sahabat-sahabat Sidang Perwakilan Sekalian,
95. Keempat-empat TERAS yang saya bentangkan setakat ini merumuskan
bahawa PEMUDA UMNO selaku pewaris bangsa dan pemimpin masa
depan perlu dipersiapkan untuk suatu penjenamaan baru.

 
96. Penjenamaan baru PEMUDA UMNO bukan bererti kita melupakan
sejarah kegemilangan PEMUDA UMNO yang lalu. Penjenamaan
baru PEMUDA juga bukan bermaksud menafikan sumbangan dan
pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.

 
97. Maksud penjenamaan semula PEMUDA adalah untuk kita memulihkan
kembali wadah kita yang kini mengalami krisis kepercayaan rakyat.
Penjenamaan semula juga menuntut PEMUDA untuk ditampilkan
dengan personaliti baru dan naratif baru yang lebih memikat.

 
98. Analogi mudahnya, UMNO hakikatnya sudah mempunyai produk
yang baik, namun kita bermasalah dengan para jurujual atau salesman
kita. Justeru pilihan kita samaada untuk beri dia motivasi dan nasihat
untuk berubah, atau berikan dia latihan secukupnya agar produk yang
dijualnya mampu menawan pelanggan, atau jika masih susah untuk
berubah, kita ganti sahaja yang baru.

 
99. Demikian juga dengan situasi UMNO hari ini, kita sudah tidak boleh
lagi memejamkan mata, menulikan telinga hatta membisukan bicara
terhadap segala penyimpangan dan penyelewengan. Pokoknya naratif
‘Islam dan Melayu’ yang menjadi produk perjuangan UMNO adalah
yang terbaik. Namun jurujualnya hari ini yang terpalit dengan pelbagai
isu moral, salahlaku dan rasuah, terjerumus dalam masalah integriti
dan tadbir urus, tercalit dengan isu pemborosan dan pembaziran.

 
100. Justeru PEMUDA perlu tampil untuk melayakkan dirinya menjadi
model dan jelmaan sebenar ciri-ciri keunggulan Islam dan Melayu.
Jelmaan ‘Islam dan Melayu’ PEMUDA UMNO; memperjuangkan
nilai-nilai sejagat seperti prinsip keadilan, kesaksamaan, ketelusan,
kepelbagaian, kehormatan insan, sekaligus menolak dengan keras
segala bentuk aspek salah laku, rasuah, kebobrokan, penyimpangan
dan penyelewengan.

 
101. Dengan ini sebagai tanda kesungguhan dan keseriusan kami, PEMUDA
ingin menawarkan secara sukarela untuk bekerjasama dengan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti
Malaysia, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara dan mana-mana
pihak yang boleh membantu PEMUDA UMNO untuk menambah baik
segala aspek tadbir urus dan isu-isu integriti organisasi.

 
102. PEMUDA UMNO juga selepas ini perlu tampil berani mengkritik dan
menegur sesiapa sahaja hatta pimpinan atasan demi memastikan
kita sentiasa berada pada landasan yang betul dan tidak sesekali
mengkhianati agenda rakyat.

 
103. Maka buat pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat,
PEMUDA UMNO pada hari ini ingin berpesan, sesiapa sahaja yang
merasakan dirinya terpalit dengan apa jua bentuk penyimpangan,
undurlah secara terhormat, jangan sesekali menjadikan parti
sebagai perisai kepada segala kedurjanaan diri, janganlah
mengheret parti bersama-sama dengan kecurangan peribadi.

 
PENUTUP
Saudara-saudara Seperjuangan Sekalian,
104. Apa yang telah saya bentangkan selama hampir satu jam ini adalah
suatu agenda besar untuk kita menuju ke arah PRU Ke-15 nanti. 5
TERAS yang saya gariskan merupakan tunjang penting yang akan
menentukan samaada PEMUDA UMNO mampu bangkit kembali.

 
105. Kebangkitan kita akan menentukan jatuh bangunnya Bangsa,
Kebangkitan kita akan menentukan kelangsungan martabat Agama,
Kebangkitan kita akan menentukan masa depan negara. Sebenarnya
misi ini jauh lebih besar maknanya berbanding hanya percaturan
menang kalah pilihanraya.

 
106. Namun percayalah, hanya yang jujur dan benar-benar ikhlas yang
memusatkan sepenuhnya keyakinanan dan tawakkal pada Allah
yang akan merasai keajaibannya. Minda kerdil kita takkan mampu
menggapai segala keajaiban yang Allah tetapkan. Apa yang penting
kita mengakui kekhilafan, menginsafi keterlanjuran, memperbaharui
tekad dan membina keazaman untuk PEMUDA BANGKIT KEMBALI.

 
107. Buat seluruh rakyat Malaysia, kami mengakui bahawa kami
tidak sempurna, sepanjang 60 tahun UMNO menerajui tampuk
pemerintahan, sudah tentu wujud kekhilafan dan keterlanjuran yang
telah kami lakukan. Dengan rasa rendah hati mewakili PERGERAKAN
PEMUDA UMNO, kami ingin memohon maaf.

 
108. Buat penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi UMNO di
segenap peringkat akar umbi, walaupun kami terbelenggu dan terpalit
dengan pelbagai bentuk kekhilafan dan keterlanjuran, kalian masih
setia menerima kami. Daripada lubuk hati yang tulus murni, PEMUDA
UMNO mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih.

 
109. Buat pemimpin-pemimpin dan penggerak-penggerak UMNO, ayuh
sama-sama kita perkukuhkan parti, teruslah setia dengan perjuangan
ini, dokongilah agenda kebangkitan kami.

 
110. Akhirnya buat adinda-adindaku seluruh wira-wira PEMUDA:

Ayuh…Bangunlah! Bangkitlah!
Darah Kalian… Darah Pejuang
Usah Gundah ..Usah Goyang
Kerna Besok…Belum Kiamat
Biarpun Hati Dan Diri Kita Sudah Dilapah
Jangan Sampai Darahnya Tumpah Melimpah
Biarpun Dinding Layarnya Sudah Di Carik
Jangan Sampai Ianya Rabak Dan Robek
Balutilah Lukamu… Jahitilah Yang Robek
Kita Berjanji Dan Bersumpah Setia
Sedia Mengusir Segala Durjana
Sedia Menyingkir Dosa Dan Noda
Ayuh…Kita Buka Langkah
Seluruh Tenaga Kita Kerah
Jangan Gelabah Usah Telagah
Jangan Cepat Berasa Pasrah
Semarak Semangat Menjulang Maruah
Demi Agama… Demi Negara….Demi Ummah
Ayuh…Kita Genggam Tangan Kanan Bersama
Kita Julang Ke Atas Dan Sematkan Di Dada
Launglah….!
Dengan Suara Yang Tegas
Dengan Semangat Yang Keras
Pemuda Bangkit Kembali! (3 X)
HIDUP ISLAM….
HIDUP MELAYU….
HIDUP RAKYAT…
HIDUP UMNO…
ALLLAHU AKBAR!!!!
Wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM- Editor

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.