BERSIH menasihatkan para menteri daripada berkempen sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan persaingan yang adil, menurut laporan Malaysiakini.
Nasihat itu ekoran ucapan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu di kem tentera di Port Dickson yang dihadiri oleh Anwar yang membayangkan bahawa veteran tentera akan untung jika Ahli Parlimen Port Dickson akan menjadi perdana menteri pada masa akan datang.
Pengarah Eksekutif BERSIH, Yap Swee Seng berkata kenyataan itu tidak sepatutnya dibuat.
“Ia membuat padang permainan yang tidak adil, ia memberikan kelebihan yang tidak adil kepada Anwar apabila menteri pertahanan itu membuat kenyataan sedemikian.
“Saya rasa menteri Pakatan Harapan harus mengelak daripada membuat kenyataan seumpama itu (mengenai Anwar) kerana ia memberi kelebihan yang tidak adil kepadanya berbanding dengan calon-calon lain,” – Yap Swee Seng
Semalam, RTM melaporkan Menteri pertahanan, Mat Sabu sebagai berkata setiap keluhan anggota pasukan keselamatan itu akan menemui jalan penyelesaian selepas Datuk Seri Anwar dipilih sebagai ahli parlimen Port Dickson.
video:
Anwar juga dilihat bersama menteri pertahanan, Mat Sabu menaiki kereta rasmi menteri tersebut.
Mungkir janji?
Pada 21 September lepas, Anwar berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak akan menggunakan aset dan jentera kerajaan bagi Pilihan Raya Kecil di Parlimen P.132 Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan.

Malah, beliau turut berkata pihak yang berkempen dan memberi sokongan kepadanya perlu hadir sebagai pemimpin parti dan bukannya wakil kerajaan.
“Pihak yang berkempen dan hadir untuk memberikan sokongan kepada saya perlu hadir sebagai pemimpin parti dan bukannya wakil kerajaan.
“Saya dimaklumkan Datuk Saifuddin Nasution bahawa terdapat program yang diaturkan oleh kementeriannya di Port Dickson sebulan sebelum ini.
“Namun, beliau menangguhkannya kerana tidak mahu dianggap menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan PRK ini. Saya rasa itu penting. Ia isyarat yang sangat penting supaya kami dapat menghadapi pilihan raya ini melalui proses yang bersih dan bebas,” – Anwar Ibrahim
Selain Anwar, enam lain Port Dickson pilihan raya kecil ialah calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan calon-calon Bebas Mohd Saiful Bukhari Azlan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Chan Keng Leong, Kan Chee Yuen dan Lau Yan Seck.
PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.
(Baca laporan TTKM sebelum ini : Anwar mungkir janji: Guna aset dan jentera kerajaan untuk kempen PRK PD?
PRK ketiga dilakukan untuk Anwar.
PRK Port Dickson merupakan pilihanraya kecil ketiga yang dilakukan oleh PKR bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
Pada 2008, Wan Azizah meletak jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh untuk Anwar kembali bertanding.
Pada 2014, Adun PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai adun Kajang untuk memberi laluan kepada Anwar dalam satu operasi yang dinamakan sebagai Kajang Move untuk menobatkan Anwar sebagai menteri besar Selangor. Tetapi, langkah Kajang tersebut menjadi langkah kejung apabila Anwar didapati bersalah dalam kes Liwat 2.
Sebelum PRU14, Wan Azizah mengakui bahawa sebahagian dari rancangan beliau adalah supaya beliau menjadi pemanas kerusi untuk suaminya. Beliau berkata demikan dalam satu bual bicara program Al Jazeera.
Walau bagaimanapun, setelah PH menang PRU 14 dan Wan Azizah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau melakukan pusingan-U dan tidak mengosongkan kerusi parlimen Pandan tersebut sebaliknya kerusi Port Dickson pula menjadi mangsa.
Jika Anwar menang pada pilihanraya kecil kelak, Malaysia akan mencatat satu lagi sejarah apabila satu keluarga: suami, isteri dan anak (Anwar, Azizah, Nurul Izzah) menjadi ahli parlimen pada waktu yang sama -TTKM-
1 Comment