BERLAKU ADILLAH DALAM MENGHENTAM DATUK DR MUJAHID

Oleh : Dr Kamarul Yusoff

Saya tidak pernah bersetuju dengan sebarang desakan atau pandangan yang mahu memberikan kebebasan untuk umat Islam melakukan dosa peribadi (‘private sin’) yang diutarakan oleh kumpulan seperti G25 dan IRF atau individu seperti Mustafa Akyol.

Sebab itulah saya amat terkejut bila akhbar The Star milik MCA, yang masih merupakan parti komponen BN, meletakkan “No more moral policing” (“Tiada lagi polis moral”), yang didakwa kata-kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, sebagai tajuk muka depannya hari ini.

Tajuk laporan sebenar akhbar ini juga tidak kurang mengejutkan, berbunyi “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims’ private lives says Mujahid” (“Tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam kata Mujahid”).

Isi laporan sebenar akhbar ini juga bermula dengan ayat keras, berbunyi “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” (“Tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki”).

Tajuk dan laporan akhbar The Star ini pula terus sahaja dipetik dan disebarluaskan oleh akhbar-akhbar lain seperti Mstar yang mengeluarkannya semula di bawah tajuk “Tiada lagi operasi khalwat waktu malam – Dr Mujahid”, begitu juga dengan tajuk Sinar Harian dan Astro Awani yang berbunyi “Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat”, tajuk Malay Mail yang berbunyi “Islamic affairs minister vows end to moral policing” dan tajuk Malaysia Kini yang berbunyi “Mujahid sees end to khalwat raids – report”.

Hanya dengan membaca tajuk muka depan, tajuk laporan sebenar dan pembuka kata laporan sebenar akhbar The Star ini sahaja, begitu juga dengan tajuk-tajuk dan laporan-laporan akhbar-akhbar lain yang memetik tajuk dan laporan akhbar The Star ini, maka bolehlah difahami kemeriahan media sosial hari ini, khususnya laman-laman Facebook, yang diisi oleh kritikan dan hentaman keras terhadap Datuk Dr Mujahid di dalam isu ini.

Apatah lagi bila tajuk muka depan akhbar The Star ini sensasi sekali, iaitu “No more moral policing” (“Tiada lagi polis moral”), yang memberikan gambaran bahawa bukan setakat dosa peribadi (“private sin”) sahaja yang tidak akan dikawal, tetapi juga dosa umum (“public sin”).

Bagaimanapun, setelah mendengar sendiri rakaman video wawancara wartawan akhbar The Star, Zakiah Koya, dengan Datuk Dr Mujahid, rupa-rupanya ayat “No more moral policing” (“Tiada lagi polis moral”), ayat “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims’ private lives” (“Tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam”) dan ayat “No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings” (“Tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki”) bukanlah ayat-ayat yang keluar dari mulut sendiri Datuk Dr Mujahid sendiri tetapi hanyalah ayat-ayat yang dimasukkan oleh akhbar The Star.

Sepanjang yang menyentuh mengenai persoalan khalwat, jawapan penuh Datuk Dr Mujahid kepada soalan wartawan akhbar The Star ini hanyalah berbunyi: “This issue of enforcement of what we call khalwat has been misused, not all of it but there are issues or there are events where it has been exploited and misused, miscarry their justice to those who commit sin. That is why we are improving that situation today, and it is important that they first adopt this compassionate Islam as their policy, and in doing their duty I also have to be very careful and wary not to interfere into the individual spheres, which I think today has reduced in, I think, and there is another issue, for your information, when you talk about enforcement of this khalwat prohibition, you will find that it is within the state judiciary, not exactly under my judiciary, because we are bounded by the state legislation or authority and the federal authority, and most of the Islamic judiciary would come under the state authority, not on myself, but we can have a platform where we will meet all the state directors of Islamic affair where we can discuss and share the concerns of the federal government on all these issues.”

Terjemahan kepada jawapan penuh Datuk Dr Mujahid ini adalah berbunyi: “Isu perlaksanaan khalwat telah disalahguna, bukan semua tetapi ada isu-isu ada ada tempat-tempat di mana ia dieksploitasi dan disalahguna, tidak memberi keadilan kepada mereka yang melakukan dosa. Sebab itu kita sekarang sedang memperbaiki keadaan, dan adalah penting bahawa mereka menerimapakai Islam penyayang sebagai dasar mereka, dan dalam melaksanakan tugas mereka saya juga perlu sangat teliti dan berhati-hati untuk tidak mencerobohi hak-hak individu, yang saya fikir sekarang telah berkurang dalam, saya fikir, dan ada isu lain, untuk maklumat anda, bila anda bercakap mengenai perlaksanaan pencegahan khalwat, anda akan mendapati bahawa ia berada di dalam kehakiman negeri, bukan di bawah kehakiman saya, kerana kami terikat dengan undang-undang atau kuasa negeri dan kuasa persekutuan, dan kebanyakan daripada kehakiman Islam adalah berada di bawah kuasa negeri, bukan kuasa saya, tetapi kita boleh ada platform di mana kita akan berjumpa semua pengarah hal ehwal Islam negeri di mana kita boleh berbincang dan berkongsi pandangan-pandangan kerajaan persekutuan mengenai semua isu ini.”

Berdasarkan kepada kefahaman saya kepada jawapan penuh Datuk Dr Mujahid ini, maka bolehlah disimpulkan bahawa perkara-perkara ini adalah tidak tepat:
(1) Bahawa tiada lagi polis moral di Malaysia selepas ini.
(2) Bahawa tiada lagi tangkapan khalwat malam atau pencerobohan ke atas kehidupan peribadi orang Islam.
(3) Bahawa tiada lagi ketukan di pintu pada tengah malam dan tiada lagi pemecahan pintu oleh pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat atau lain-lain kesalahan yang disyaki.

Walau apa pun perbezaan pendapat antara kita dan Datuk Dr Mujahid, kita perlu ingat bahawa kata-kata ini bukanlah kata-kata yang keluar dari mulut sendiri Datuk Dr Mujahid sendiri tetapi hanyalah kata-kata yang dimasukkan oleh akhbar The Star.

Malah, Datuk Dr Mujahid sendiri menyebut bahawa perkara-perkara ini adalah di bawah kuasa negeri, bukan di bawah kuasa beliau, di mana apa yang boleh beliau lakukan hanyalah “berbincang dan berkongsi pandangan-pandangan kerajaan persekutuan (dengan negeri) mengenai semua isu ini.”

Saya memilih untuk menunggu sehingga perjumpaan dengan “semua pengarah hal ehwal Islam negeri” ini berlaku dahulu sebelum membuat ulasan lanjut ke atas isu ini. – TTKM –



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version