Mon. May 27th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Putrajaya minta tolong Hishammuddin baiki hubungan dengan Arab Saudi

4 min read

PUTRAJAYA meminta bantuan bekas menteri tugas-tugas khas Hishammuddin Hussein untuk memulihkan semula hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, lapor The Malaysian Insight. 

Memetik sumber, kata laporan tersebut, hubungan itu terjejas kerana beberapa tindakan kerajaan Pakatan Harapan membatalkan keputusan pentadbiran Najib Razak yang melibatkan hubungan dengan Riyadh.

Permintaan Putrajaya itu juga dibuat selepas Arab Saudi dilihat menunjukkan isyarat lebih mengutamakan pemimpin dalam pentadbiran Najib berbanding kerajaan sekarang, kata sumber itu lagi. .

“Selain (bekas perdana menteri) Najib Razak, Hishammuddin juga mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi.“Tidak wajar untuk kita (Malaysia) bermusuhan dengan Arab Saudi kerana ia akan menjejaskan banyak perkara termasuk kuota haji,” kata sumber, yang maklum tentang permintaan Putrajaya kepada Hishammuddin, kepada TMI

 

Arab Saudi yang dipimpin Raja Salman (kiri) lebih gemarkan pentadbiran Najib Razak berbanding Pakatan Harapan yang berkuasa sekarang. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2018.
Arab Saudi yang dipimpin Raja Salman (kiri) lebih gemarkan pentadbiran Najib Razak berbanding Pakatan Harapan yang berkuasa sekarang. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2018.

Laporan tersebut juga mendakwa hubungan Malaysia dengan Arab Saudi “tidak berapa baik” selepas Putrajaya menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) awal Ogos lalu.

“Putrajaya minta Hishammuddin tolong pulihkan hubungan dengan Raja Salman. Perlu pulihkan segera. Hishammuddin ini perahsia. Walaupun nampak senyap, dia ada gerakannya,” kata sumber itu.

Penutupan KSCIP juga menimbulkan dakwaan Arab Saudi akan mengurangkan kuota haji pada musim yang baru lalu. Lembaga Tabung Haji kemudian mengesahkan kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi 2018 kekal 30,200 atau 0.1% daripada jumlah keseluruhan penduduk, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan itu.

KSCIP yang mula beroperasi di Kuala Lumpur pada Mei 2017 adalah idea Raja Arab Saudi, Salman Abdul Aziz Al-Saud bagi mengekang fahaman pelampau dan militan.

Bagaimanapun pada 6 Ogos lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan pusat yang beroperasi di pejabat sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur ditutup serta merta selepas Pakatan Harapan memenangi PRU-14 lepas.

Keputusan Putrajaya menutup pusat itu dikritik oleh bekas anggota pentadbiran BN, termasuk Najib.

Najib berkata keputusan kerajaan Pakatan Harapan itu akan menyebabkan kerajaan Arab Saudi terkilan.

Bekas perdana menteri itu berkata KSCIP, yang mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 30 Mei tahun lepas, dicadangkan oleh Raja Arab Saudi, Salman Abdul Aziz Al-Saud.

“Mereka baik dengan kita, kita dapat layanan dan banyak pertimbangan daripada Arab Saudi. Mereka memilih Malaysia berbanding banyak negara lain,” – Najib Razak.

Tambah Najib lagi. penutupan itu bermakna Malaysia menolak bantuan Saudi dalam kempen memerangi fahaman pelampau dan militan

Hishammuddin pula ketika itu menyifatkan tindakan tersebut akan merugikan Malaysia yang juga berusaha membendung gejala radikal dan pelampau. Katanya, Malaysia terlepas peluang jadi negara strategik untuk memerangi ekstremis dan aktiviti keganasan global bersama negara Arab Saudi.

Beberapa pihak lain turut membangkitkan kebimbangan penutupan KSCIP akan menjejaskan pelaburan RM31 bilion syarikat minyak Saudi Aramco dalam projek loji penapisan minyak di Pengerang.

Arab Saudi memberi isyarat tidak senang kepada pentadbiran Pakatan Harapan baru-baru ini apabila meletakkan Ahmad Zahid Hamidi di kerusi depan majlisnya berbanding Menteri Mujahid Yusof Rawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018.
Arab Saudi memberi isyarat tidak senang kepada pentadbiran Pakatan Harapan baru-baru ini dengan meletakkan Ahmad Zahid Hamidi di kerusi depan majlisnya berbanding Menteri Mujahid Yusof Rawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajid Dusuki pula berkata Putrajaya sepatutnya mengirim delegasi bertemu Raja Saudi untuk membincangkan keputusan menutup pusat berkenaan.

Satu lagi keputusan yang mengeruhkan hubungan dua negara itu ialah keputusan Kabinet pada Jun lalu mahu memanggil pulang tentera Malaysia di Arab Saudi. Keputusan itu dibuat kerana penglibatan tentera Malaysia dalam konflik di Yaman bertentang dengan dasar luar negara yang berkecuali.

Tentera Malaysia dikerah ke Arab Saudi sejak 2015, bagaimanapun bukan untuk terlibat dalam perang yang diketuai negara itu sebaliknya bersiap sedia membawa pulang rakyat Malaysia dari Yaman, kata kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Menurut sumber lagi, Riyadh dilihat memberikan “isyarat” kepada Putrajaya dalam satu majlis rasmi Raja Salman di Arab Saudi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, baru-baru ini. Majlis itu dihadiri antara lain Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ketua Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Najib, ditempatkan di barisan depan sementara Mujahid di kerusi yang lebih belakang, tambah sumber.

Dua minggu lepas, menteri luar, Saifuddin Abdullah berkicau di akaun twitternya menyatakan terdapat 2 negara dimana beliau tidak suka kerajaannya, tetapi terpaksa dilawati kerana usuran agama dan negara.

Walaupun tidak menyatakan nama negara tersebut, umum mengetahui negara yang bisanya dilawati kerana urusan agama adalah Arab Saudi, iaitu untuk urusan ibadah Haji atau Umrah.

20180923-tweet-menteri-dalam-negeri-kontroversi (1).jpg

Tweet tersebut dikecam pelbagai pihak  dan akhirnya Saifuddin yang tidak dapat menahan sagung (sakit punggung aka butthurt) bertindak  memadamkannya. – TTKM

Terkini: Hishammuddin nafi Putrajaya minta bantuan beliau pulihkan hubungan dengan Riyadh


Anda suka laporan Buletin TTKM? Sokong portal kami ini untuk terus melaporkan berita bebas dengan membuat sumbangan ke akaun:

No akaun : 8603355994   (  Bank : CIMB Bank ) 

atau Billplz di sini 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: