Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat

KUALA LUMPUR – Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

Beliau berkata demikian dalam satu temuramah dengan akhbar The Star. 

“Katakanlah kamu melakukan sesuatu secara peribadi, dalam kawasan persendirian, saya tidak akan masuk campur.

“Contohnya, Islam melarang minum arak tetapi jika kamu melakukannya di dalam kawasan kamu sendiri, maka sebagai kerajaan, saya tidak akan masuk campur.

Dalam temubual itu, Mujahid turut dilaporkan mengutuk tindakan memecahkan pintu untuk menahan pesalah khalwat dan berharap ia tidak akan berlaku dalam pembaharuan yang akan dilakukan nanti.

“Isu penguatkuasaan khalwat ini telah disalahgunakan dan dieksplotasi untuk sesetengah kes. Adalah sangat penting mereka (pegawai penguatkuasa) tidak terlibat dalam lingkungan persendirian,” – Mujahid Yusof Rawa

Mujahid yang memegang potfolio Hal Ehwal Agama Islam mengakui beliau berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengubah imej jabatan itu.

Beliau sebelum ini berdepan dengan beberapa isu panas sebaik menjejakkan kaki ke jabatan itu termasuk kes melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), perkahwinan bawah umur, penipuan awam di mahkamah syariah dan gangguan seksual di sekolah tahfiz.

Mujahid juga berkata, beliau juga sedang mencuba untuk mengubah minda penjawat awam yang digambarkan sebagai konservatif agama yang mahu menegakkan kesucian Islam dengan pemahaman mereka sendiri. -TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.