Putrajaya, 8 Okt: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan anggota Kabinet dan anggota politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya tidak menjalankan aktiviti berkempen dalam waktu bekerja dan jangan sekali-kali menggunakan aset-aset ataupun fasiliti-fasiliti kerajaan bagi tujuan berkempen pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam kenyataannya semalam berkata, aktiviti berkempen dalam waktu bekerja merupakan satu penyalahgunaan masa bekerja.
” ..Aktiviti-aktiviti berkempen mereka semestinya tidak dijalankan pada waktu bekerja kerana itu merupakan satu penyalahgunaan masa bekerja. Mereka harus peka dengan perbezaan di antara tugas-tugas mereka sebagai anggota kerajaan / anggota pentadbiran kerajaan dan sebagai ahli ataupun pemimpin parti.” – Azhar Azizan Harun
Beliau turut mengingatkan pengumuman projek kemajuan di Port Dickson secara khusus untuk memancing undi mungkin menjadi satu kesalahan pilihan raya dan boleh dijadikan alasan untuk menidaksahkan pilihan raya dalam apa-apa petisyen pilihan raya yang mungkin difailkan.
“SPR ingin mengingatkan bahawa sekiranya projek kemajuan dilancarkan secara khusus untuk memancing undi, ianya mungkin menjadi satu kesalahan pilihan raya dan boleh dijadikan alasan untuk menidaksahkan pilihan raya di dalam apa-apa petisyen pilihan raya yang mungkin difailkan. Garisan di antara janji membawa kemajuan kepada rakyat di kawasan pilihan raya dan amalan rasuah sebenarnya amat tipis dan perlu diawasi.” – Azhar Azizan Harun
Baca berita sebelum ini : PRK Port Dickson : “Menteri jangan kempen!” – Bersih
Beri peluang masuk kem tentera sama rata kepada semua calon.
Mengenai isu kebenaran kepada calon Pakatan Harapan untuk PRK Port Dickson ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memasuki kem tentera sementara calon Pas tidak dibenarkan, SPR menyarankan agar pihak kem tentera mahupun Kementerian Pertahanan memberikan peluang berkempen yang sama rata kepada semua calon tertakluk kepada apa-apa prosedur keselamatan kem.
“Adalah tidak adil dan saksama sekiranya seseorang calon itu dibenarkan masuk berkempen di dalam kem tentera dan pada yang sama, calon-calon yang lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Itu bercanggah dengan prinsip dan semangat demokrasi dan kewujudan aktiviti berkempen yang adil dan saksama.
Dengan ini SPR ingin menyarankan agar pihak kem tentera ataupun Kementerian Pertahanan memberikan peluang berkempen yang sama rata kepada semua calon, tertakluk kepada apa-apa prosedur keselamatan kem dan negara yang dipraktikkan oleh pihak kem ataupun pihak Kementerian.” – Azhar Azizan Harun
PRK Port Dickson 13 Oktober depan bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara Anwar, calon Pas Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu Anwar yang mendakwa dirinya diliwat oleh Anwar, Saiful Bukhari.
Anda suka laporan Buletin TTKM? Sokong portal kami ini untuk terus melaporkan berita bebas dengan membuat sumbangan ke akaun berikut:
No akaun : 8603355994 ( Bank : CIMB Bank)
atau melalui Billplz di sini
Berikut kami siarkan kenyataan penuh SPR:
SPR GESA SEMUA PIHAK DIBERI RUANG BERKEMPEN SECARA ADIL DAN SAKSAMA
1. SPR telah mengikuti perkembangan aktiviti-aktiviti berkempen di PRK P. 132 Port Dickson sejak bermulanya tempoh berkempen sehingga ke hari ini. SPR mengambil perhatian bahawa terdapat aktiviti-aktiviti berkempen setakat ini yang menimbulkan reaksi negatif di kalangan masyarakat dan boleh mencemar proses pilihan raya serta amalan demokrasi yang baik.
2. SPR berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap calon dan parti yang mereka wakili untuk memastikan bahawa bukan sahaja peruntukan-peruntukan nyata undang-undang (the letters of the laws) dipatuhi dan tidak dicabuli, malah prinsip-prinsip dan semangat demokrasi (the principles and spirit of democracy) dituruti dan diamalkan setiap masa. Ini bermakna bahawa setiap aktiviti berkempen yang tidak beretika, mahupun tidak saksama, semestinya diberhentikan serta merta walaupun aktiviti-aktiviti tersebut berada di dalam lingkaran peruntukan-peruntukan nyata undang-undang yang sedia ada.
3. SPR ingin mengulas mengenai aktiviti-aktiviti berkempen seperti berikut:
i) Penglibatan ahli-ahli kabinet dan ahli-ahli politik yang memegang jawatan di dalam kerajaan di dalam aktiviti-aktiviti berkempen.
• SPR akur bahawa ahli-ahli kabinet dan ahli-ahli politik yang memegang jawatan di dalam kerajaan (kecuali penjawat-penjawat awam (civil servants) mempunyai hak untuk berkempen bagi seseorang calon kerana itu ialah aktiviti parti. Namun demikian, SPR ingin menekankan bahawa sekiranya pihak-pihak tersebut berkempen, mereka tidak seharusnya dan jangan sekali-kali menggunakan aset-aset ataupun fasiliti-fasiliti kerajaan bagi tujuan berkempen. Malah, aktiviti-aktiviti berkempen mereka semestinya tidak dijalankan pada waktu bekerja kerana itu merupakan satu penyalahgunaan masa bekerja. Mereka harus peka dengan perbezaan di antara tugas-tugas mereka sebagai anggota kerajaan / anggota pentadbiran kerajaan dan sebagai ahli ataupun pemimpin parti.
ii) Pengumuman projek-projek kemajuan ataupun janji-janji sekiranya menang.
• SPR ingin mengingatkan bahawa sekiranya projek kemajuan dilancarkan secara khusus untuk memancing undi, ianya mungkin menjadi satu kesalahan pilihan raya dan boleh dijadikan alasan untuk menidaksahkan pilihan raya di dalam apa-apa petisyen pilihan raya yang mungkin difailkan.
• Garisan di antara janji membawa kemajuan kepada rakyat di kawasan pilihan raya dan amalan rasuah sebenarnya amat tipis dan perlu diawasi.
iii) Kebenaran kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memasuki kem tentera sedangkan calon PAS tidak dibenarkan masuk.
• Perlu diingatkan bahawa SPR bukanlah pihak yang mempunyai kuasa di dalam hal ini. Kebenaran untuk memasuki kem ialah di bawah bidang kuasa pihak tentera dan Kementerian Pertahanan. Namun demikian, adalah tidak adil dan saksama sekiranya seseorang calon itu dibenarkan masuk berkempen di dalam kem tentera dan pada yang sama, calon-calon yang lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Itu bercanggah dengan prinsip dan semangat demokrasi dan kewujudan aktiviti berkempen yang adil dan saksama.
• Dengan ini SPR ingin menyarankan agar pihak kem tentera ataupun Kementerian Pertahanan memberikan peluang berkempen yang sama rata kepada semua calon, tertakluk kepada apa-apa prosedur keselamatan kem dan negara yang dipraktikkan oleh pihak kem ataupun pihak Kementerian.
4. Pilihan raya yang adil dan saksama adalah satu proses yang berlanjutan dan mengambil masa. Mustahil proses ini boleh dicapai setelah seminggu Pengerusi SPR yang baru mengambil tugas. Sesetengah proses memerlukan pindaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedia ada. Namun SPR akan berusaha sedaya mungkin, mengikut kerangka perundangan yang sedia ada untuk memangkinkan amalan demokrasi, khususnya pilihan raya yang sihat. Matlamat ini tidak akan dapat dicapai tanpa kerjasama orang ramai dan terutamanya, calon-calon dan parti-parti politik yang seharusnya menyuntik amalan pilihan raya yang beretika, berhemah dan adil. Walau bagaimanapun, SPR komited untuk mewujudkan proses pilihan raya yang bersih, adil dan mengikut lunas undang-undang dan semangat demokrasi yang baik.
Sekian.
AZHAR AZIZAN HARUN
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Tarikh : 7 Oktober 2018 / 27 Muharram 1440H
-TTKM-