(VIDEO) KHALWAT: “DALAM RUMAH PERIBADI JIKA TIADA ADUAN, TAK JADI KESALAHAN DALAM BIDANG KUASA KAMI” – Mujahid.

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Pihak berkuasa agama boleh membuat serbuan di hotel bajet atau hotel lima bintang, asalkan ada aduan menggambarkan perbuatan maksiat itu menceroboh ketenteraman awam. Tetapi jika ia dilakukan di dalam rumah peribadi, dan tiada aduan mengenainya, ia tidak menjadi kesalahan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa,

“Jika (khalwat dan aktiviti maksiat lain) dibuat di dalam rumah peribadi, yang mana perbuatan itu salah, tapi tiada aduan, maka ia tidak menjadi satu kesalahan di bawah bidang kuasa kami,”  – Dr Mujahid Yusof Rawa

Dr Mujahid berkata demikian ketika memberi penjelasan berhubung laporan The Star yang memetiknya sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk operasi khalwat dan aktiviti maksiat lain, yang mencetuskan polemik, menurut laporan Berita Harian. 

“Bagi pihak berkuasa, sebarang penguatkuasaan terhadap nilai moral perlu dilaksanakan secara berhati-hati dan memastikan sama ada ia dilakukan dalam ruangan peribadi atau awam.

“Sebagai kerajaan, apa yang kamu lakukan dalam ruang peribadi bukan urusan kami, namun sebagai orang Islam yang melihat jirannya melakukan kesalahan, adalah tanggungjawab kamu untuk menasihati jiran itu,” – Dr Mujahid Yusof Rawa

Mujahid juga  berkata, pihak berkuasa agama masih boleh membuat serbuan di kawasan peribadi, sekiranya ada aduan perbuatan maksiat itu mengganggu ketenteraman awam, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan jabatan agama.

SOP Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), katanya, tidak membenarkan penguat kuasa menceroboh, menendang atau memecahkan pintu rumah dan ia adalah kesalahan jika ada yang melakukannya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menambah baik SOP penguatkuasaan supaya tidak disalah guna kerana pernah serbuan khalwat dieksploitasi untuk merosakkan imej orang lain.

Katanya, satu pertemuan antara ulama, ahli akademik, pihak pelaksana dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang dan menambah baik penguatkuasaan dalam kerangka rahmatan lil alamin (rahmat buat seluruh alam) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, Khamis ini.

Sebelum ini, laporan The Star memetik Mujahid berkata, apa yang dilakukan orang Islam di sebalik pintu tertutup bukan urusan kerajaan, mencetuskan polemik dengan pelbagai pihak termasuklah ahli politik, mufti dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil mengkritik serta menyokong kenyataannya.

Antara yang menentang keras kenyataan itu termasuklah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula mempertahan dan senada dengan kenyataan Mujahid, manakala Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar pula, mengambil pendekatan mahu menunggu kenyataan lanjut daripada Mujahid sebelum mengulas isu berkenaan.

Bagaimanapun, Mujahid kelmarin tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan mahu menghentikan ‘ketukan pintu pada waktu malam’ ketika ditemu bual wartawan The Star dan mendakwa perkara itu dirumus sendiri media berkenaan.

Setiausaha akhbar beliau,  turut memberi kata dua kepada The Star untuk memohon maaf dalam 24 jam jika tidak, tindakan lebih tegas akan diambil. Setakat berita ini ditulis, The Star masih tidak memberi sebarang respon terhadap permintaan tersebut. – TTKM-

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.