
BALI, 12 Okt: Tun Dr Mahathir berkata satu-satunya cara untuk mengadakan lebuhraya tidak bertol adalah dengan menaikkan harga petrol. Selain itu, beliau juga mengakui tidak bersetuju dengan ikrar lebuhraya bebas tol dalam manifesto Pakatan Harapan pada PRU lepas kerana tidak memikirkan bahawa Pakatan Harapan akan menjadi kerajaan.
“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini menjadi beban yang besar.
“Pada masa itu saya menentang, saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma…ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” – Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian di akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di sini, semalam, menurut laporan Bernama.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai tol, beliau bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol.
“Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya, mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?” – Tun Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata di England tidak ada jalan bertol tetapi kerajaan negara itu mengenakan cukai yang sangat tinggi ke atas petroleum dan apabila harga petroleum naik, kenaikan cukai lebih tinggi.
“Jadi, mereka menggunakan wang itu. Bagaimanapun, jika anda memperoleh wang daripada hasil jualan petroleum, rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya juga perlu membayar.
“Tetapi di sini, pengguna (lebuh raya) yang bayar. Inilah pegangan kita, bagi mereka yang tidak menggunakan (lebuh raya) mengapa mereka perlu bayar?” – Tun Dr Mahathir.
TTKM mendapati ikrar menghapuskan tol tersebut ditanda tangani oleh Tun Dr Mahathir sendiri di dalam buku manifesto Pakatan Harapan. Perkara tersebut merupakan salah satu sebab utama pengundi memilih Pakatan Harapan pada PRU lepas.
Malah, dalam manifesto tersebut, Tun Dr Mahathir turut merayu kepada pengundi supaya menolak Pakatan Harapan melalui demokrasi sekiranya mereka memungkiri janji manifesto.
“Kami merayu agar rakyat memberi kami peluang untuk membuktikan kebolehan kami untuk memperbaiki negara untuk rakyat. Dengan terbitnya buku ini, kami juga dengan penuh tanggungjawab menyatakan bahawa kami sanggup dihakimi oleh rakyat sejauh manakah kami berjaya memenuhi janjijanji ini. Jika kami gagal atau mungkir janji tolaklah kami melalui proses demokrasi.” – Tun Dr Mahathir.
Janji menghapuskan tol merupakan janji #6 dalam buku manifesto Pakatan Harapan.

Sebelum ini Tun Dr Mahathir mengakui Manifesto Pakatan Harapan bukanlah kitab suci yang wajib dipatuhi, sebaliknya ia hanyalah sebagai panduan. -TTKM-
Portal Buletin TTKM diwujudkan selepas PRU14 untuk memberikan laporan yang lebih adil, bebas dan kritikal. Bantu kami untuk terus beroperasi dengan dengan membuat sumbangan ikhlas ke akaun berikut:
No akaun : 8603355994 (Bank : CIMB Bank)
atau melalui Billplz di sini
Leave a Reply