
IPOH, 9 NOV : Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), YB Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim atau lebih dikenali sebagai Senoi akhirnya mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden persatuan itu, malam semalam.
Menurut laporan Berita Harian, pengumuman mengejutkan itu dilakukan Senoi, yang juga merupakan adun Titi Serong dari parti serpihan PAS, Amanah, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat eksekutif PAFA, namun surat perletakan jawatan itu masih belum diserahkan.
Kata Senoi, beliau akan menyerahkan surat tersebut kepada Menteri Besar Perak,Datuk Seri Ahmad Faizul Azumu dalam tempoh sehari dua lagi dan hasratnya meletakkan jawatan sudahpun diketahui Ahmad.
Pada sidang media itu juga, beliau sempat juga angkat bakul dengan memuji diri beliau sendiri berhubung kejayaan Perak muncul juara Piala Malaysia.
“Jika masih ingat masa sidang media pertama saya (selepas memegang jawatan Presiden PAFA), saya menyatakan ingin membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, saya berjaya membawanya sehingga Perak muncul juara.
“Saya menilai dalam tempoh seminggu dua ini, kerja saya sedikit terganggu (selepas kes cara mengendalikan trofi Piala Malaysia), bagaimanapun saya terus beri fokus pada PAFA” – Senoi.
Ketika ditanya sama ada keputusan dibuatnya itu atas faktor menjadi mangsa buli siber apabila Facebooknya diserang dengan pelbagai komen netizen selepas berlakunya isu itu, Hasnul mengakui faktor itu turut menjadi punca fokusnya terganggu hingga menyebabkan mengambil keputusan meletakkan jawatan.
Hasnul berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatannya itu adalah muktamad dan tidak akan mengubah fikiran walaupun ia tidak diterima mana-mana pihak.
Selepas sidang media itu, Hasnul dilihat menitiskan air mata dan berpelukan dengan barisan EXCO PAFA serta bersalaman dengan pihak media sebelum meninggalkan pejabat persatuan itu.
Video penuh sidang media:
Senoi mencetuskan kemarahan peminat berikutan caranya mengendalikan Piala Malaysia yang dimenangi pasukan Perak selepas menumpaskan Terengganu di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu.
Beberapa keping gambar yang dimuatnaik di media sosial miliknya menunjukkan Senoi tidak menghormati trofi berprestij itu seperti meletakkannya di celah kangkang beliau sehingga dikecam pelbagai pihak.
Selain itu, kegagalan beliau merancang perarakan gilang gemilang trofi tersebut seperti kebiasaan yang dilakukan oleh negeri-negeri lain yang menjadi juara sebelum ini turut dikritik hebat.
Penyokong The Bos Gaurus (TBG) Sabtu lalu turut mengumpulkan petisyen bagi mendesak Hasnul meletakkan jawatan sebelum menyerahkan memorandum kepada Ahmad Faizul.

“Trofi itu piala keramat. Satu Malaysia tahu keunggulannya. Tapi, tindakannya (Hasnul Zulkarnain) itu memalukan sekali gus mencemarkan ‘kesucian’ piala berkenaan,” – Mohd Jeffery Amin Abd Hamid , Penasihat Yellow Mobs dan penyokong The Bos Gaurus.
Terdahulu pada selasa 6 November, Senoi bertegas tidak mahu meletakkan jawatan.
“Untuk mendesak saya meletakkan jawatan, saya sesekali tidak akan meletakkan jawatan kerana ada misi besar yang hendak saya laksanakan” – Senoi.
Pengumuman perletakan jawatan Senoi boleh meletakkan beliau dalam Malaysia Book Of Record kerana menjadi presiden PAFA paling singkat, iaitu selama lima bulan sahaja selain orang pertama disingkir dari jawatan tersebut akibat tekanan oleh penyokong bola sepak Perak dan troll di media sosial.-TTKM-
Sumbangan kepada Buletin TTKM:
Portal Buletin TTKM diwujudkan selepas PRU14 untuk memberikan laporan yang lebih adil, bebas dan kritikal. Bantu kami untuk terus beroperasi dengan dengan melakukan sumbangan ikhlas ke akaun berikut:
No akaun : 8603355994 (Bank : CIMB Bank)
atau melalui Billplz di sini
Leave a Reply