Putrajaya, 7 Dis: Kerajaan melakukan pusingan U apabila memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan skim pembayaran semula untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik atau lebih dikenali sebagai MasTot berkata skim itu digantung buat sementara waktu melalui akaun twitter beliau tengah hari tadi.
“Skim pembayaran semula PTPTN akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga kami menerima input dan maklum balas secara kolektif daripada semua pemegang taruh,” – Dr Maszlee Malik
The ICLR PTPTN repayment scheme will be suspended for the time being until we receive the collective inputs and feedback from all stakeholders.
— Maszlee Malik 🏴🇲🇾 (@maszlee) December 7, 2018
Semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkeras akan melaksanakan Potongan Gaji Berjadual (PGB) sebagai kaedah bayaran balik bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada tahun hadapan walaupun dikritik hebat pelbagai pihak dari kerajaan dan pembangkang. Beliau berkata perkata itu diputuskan setelah mengambil kira keadaan peminjam sekarang dan generasi akan datang.
Beliau turut berkata pihaknya mengambil maklum suara peminjam yang berdepan kadar pemotongan yang tinggi, namun dalam jangka masa panjang, ia dapat memastikan jutaan generasi muda dapat masuk ke universiti.
“Saya ambil maklum pandangan dan cadangan yang menyusuli pengumuman tersebut. Saya mendengar kegusaran mereka dan saya bersedia mempertimbang rayuan daripada mereka yang memerlukan pertimbangan khas.
“Ada yang menyatakan bahawa mekanisme PGB adalah bertentangan dengan Perjanjian Pinjaman yang telah ditandatangani. Saya ingin nyatakan bahawa melalui perjanjian yang mereka tandatangani tersebut, peminjam telahpun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan oleh PTPTN, termasuk potongan gaji melalui majikan.
“Ada juga yang memberi komen mengenai kuasa majikan untuk membuat potongan gaji. Seksyan 29, Akta PTPTN 1997 telah memperuntukan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan untuk melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam. Maka peruntukan undang-undang telah ada,” – Wan Saiful Wan Jan
Di FB page PTPTN kelmarin, pelbagai komen memaki hamun terhadap kerajaan dilemparkan oleh peminjam PTPTN yang tidak berpuas hati di atas tindakan PTPTN tersebut yang disifatkan tidak berperi kemanusiaan kerana tidak mengambil kira komitmen kewangan peminjam. Ada juga yang menyesal mengundi kerajaan Pakatan Harapan kerana manifesto PH menyatakan peminjam hanya boleh membuat pembayaran apabila gaji mereka mencecah RM4000.
Sejak memenangi PRU 14 lepas, kerajaan kerap melakukan keputusan yang bercanggah dengan manifesto mereka sendiri. -TTKM-