MengUMNOkan parti Bersatu

Oleh : Abdul Azim Bin Roslan

Semakin ramai wakil rakyat UMNO yang mengistiharkan keluar parti dan menunjukkan kecenderungan untuk menyertai parti BERSATU atau parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH). Ada juga sebahagian daripada mereka yang telah pun diterima masuk dan menjadi sebahagian daripada ahli parti BERSATU.

Fenomena ini telah menimbulkan keresahan politik dan majoriti rakyat dilihat menolak perbuatan wakil rakyat UMNO yang keluar parti dan melompat kepada parti pemerintah. Jika yang keluar melompat parti itu ahli biasa UMNO atau sekadar pemimpin kecil di peringkat Bahagian, maka impaknya tiada siapa yang peduli.

Tetapi apabila yang melompat keluar itu wakil rakyat yang telah dipilih menggunakan logo parti BN-UMNO, maka tindakan ini boleh dibaca sebagai mengkhianati amanah rakyat yang telah memilih mereka atas kapasiti wakil kepada parti UMNO ketika pilihan raya berlangsung.

Dua pertiga Parlimen

Antara alasan yang digunakan untuk menghalalkan acara melompat parti secara berjemaah ini adalah dengan membawakan hujah bahawa ianya penting bagi mendapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen agar dapat dilaksanakan segala agenda reformasi seperti mana yang tertulis di dalam Buku Harapan.

Jika ahli Parlimen “katak” itu benar-benar percaya dengan agenda reformasi, sokongan ini boleh sahaja dilakukan tanpa perlu melompat parti atau menjadi daripada ahli parti pemerintah. Sokongan di dalam dewan rakyat tidak dikira berdasarkan keahlian parti, tetapi melalui penyataan sokongan di dalam dewan!

Bekas pengerusi BERSIH, Ambiga Srenevasan dilaporkan berkata, “Reformasi perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat patut didapatkan melalui kerjasama dwipartisan dan bukanlah dengan MP berpaling tadah menyokong parti pemerintah”.

Mereka telah insaf

Demi mempertahankan tindakan melompat parti ini, ada yang menyatakan bahawa mereka telah insaf dan sedar dengan kesilapan yang telah mereka lakukan sebelum ini ketika bersama dengan UMNO. Tindakan mereka melompat kepada parti BERSATU atau mana-mana parti komponen di dalam PH adalah tanda mereka sedang menjalani proses “taubat” dengan kembali kepada kebenaran.

Jika mereka benar-benar telah insaf, sepatutnya mereka menumpukan kerja-kerja pemulihan parti dengan melakukan agenda reformasi dalaman parti. Pemulihan UMNO harus segera dilakukan agar parti ini kekal kuat, relevan dan mampu menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti.

Pakatan Harapan selaku kerajaan perlu mempunyai pembangkang yang kuat dan boleh berfungsi agar proses semak dan imbang dapat dilaksanakan dengan baik. Jika semua wakil rakyat yang “baik-baik” dan yang telah “insaf” melompat di blok kerajaan, maka siapakah yang mahu mengambil peranan untuk semak dan imbang? Adakah kita akan bergantung harap kepada ahli Parlimen Pasir Salak dan Kinabatangan?

Menghalang Anwar Ibrahim
Ada sebahagian penganalisis politik membaca tindakan melompat parti ini sebagai satu usaha untuk memperkuatkan parti BERSATU dan cubaan untuk menggagalkan rancangan Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Tun Mahathir.

Tidak dapat dipastikan sama ada hal ini benar atau sekadar cakap-cakap, tetapi ada hal yang perlu diperingatkan kepada semua pemain politik.

Krisis Mahathir-Anwar telah menyebabkan negara berpolemik selama 20 tahun. Banyak tenaga dan masa telah dibazirkan dengan fokusnya berulang kali membincangkan isu Mahathir melawan Anwar dan Anwar melawan Mahathir. Selama 20 tahun politik Malaysia tidak pernah letih mempolemikkan hal ini.

Jika memang benar wujud perancangan ini, dan dengan kuasa Allah ia berhasil. Maka politik Malaysia akan mengulangi kitaran 20 tahun lepas. Kita akan kekal membincangkan isu sekitar Mahathir melawan Anwar dan sebaliknya. Politik Malaysia tidak akan dapat berganjak lagi. Percayalah, ianya sangat memenatkan dan menjengkelkan. Politik Malaysia kini sepatutnya sudah melihat apa selepas Mahathir dan Anwar.

Belajar dari sejarah

Pada tahun 2009, telah berlaku krisis di negeri Perak dimana terdapat 3 wakil rakyat DUN Pakatan Rakyat (PR) keluar parti dan menyebabkan tumbangnya kerajaan negeri ketika itu.

Apabila hal ini berlaku, kita sibuk memperkatakan soal prinsip, amanah rakyat dan cadangan untuk memperkenalkan undang-undang anti lompat parti. Lebih daripada itu, pada tahun 1976, Lim Kit Siang pernah mengusulkan bil menghalang ahli Parlimen melompat keluar daripada parti. Jika mereka melompat atau dipecat daripada parti, ahli Parlimen terbabit diminta mengosongkan kerusi mereka dan pilihanraya semula perlu dilakukan.

Kita pernah bercakap soal ini kerana ketika itu kita berada dipihak yang kalah. Tetapi apabila kita telah menang, semua prinsip, amanah rakyat dan perjuangan untuk memperkenalkan undang-undang anti lompat parti ini kita campak jauh ke dalam lubang jamban.

Kita merasa “OK” untuk parti lawan melompat ke dalam parti kita, tetapi tidak “OK” untuk wakil rakyat parti kita melompat ke parti lawan. Apa jenis prinsip dan perjuangan yang kita pegang sebenarnya? Kita tidak konsisten di dalam mempertahankan kebenaran kerana dalam tidak sedar, kita merasa kebenaran itu mutlak milik kita.

Kekuatan sedia ada

Harus diakui, PH tidak akan berwenang-wenang menerima wakil rakyat yang melompat dari UMNO. Dimaklumkan akan berlaku proses saringan dan hanya mereka yang melepasi proses saringan ketat ini akan diterima masuk.

Tetapi, jika PH tidak menerima masuk mereka ini, apakah akan ada kerugian dipihak kita? Apakah kekuatan sedia ada yang mampu menumbangkan rejim UMNO-BN selama 60 tahun ini tidak cukup kuat? Mengapa kita tidak menambah baik kekuatan sedia ada? Kita bina kekuatan akar umbi.

Apakah kita mahu bergantung harap kepada mereka yang berdiam diri ketika negara dirobek-robek sang pencuri? Menegur Presiden parti sendiri pun tidak berani. Apakah tersisa keberanian dalam diri mereka untuk membela rakyat nanti?

Maafkan penulis kerana terlalu naif untuk memahami semua ini. -TTKM-

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM-Editor)

Oleh: Abdul Azim Bin Roslan

Author: Buletin TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.