Kuala Lumpur, 20 Dis: Pekerja wanita pusat edaran Honda Malaysia yang digantung kerja baru-baru ini ekoran komen beliau di facebook yang memperlekeh Tuhan dan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, telah dipecat serta-merta.
Menurut pengarah pusat edaran Honda itu, Wong Chee Keong, tindakan memecat pekerja terbabit diambil setelah siasatan dalaman dijalankan beliau didapati melanggar dasar syarikat.
“Kami ingin memberi makluman bahawa selepas siasatan dalaman dijalankan dan pekerja itu didapati melanggar dasar syarikat dengan salah lakunya, khidmat pekerja itu dengan Sri Utama Auto Sdn Bhd sudah ditamatkan serta-merta,”-
“Kami sekali lagi ingin memohon maaf atas kesan yang berpunca daripada komennya. Kami akan lebih memberi perhatian dalam melatih dan mendidik pekerja kami dengan nilai moral dan sikap hormat kepada semua pihak pada setiap masa,” – Wong Chee Keong
Surat pemecatan
Pada 18 Disember lalu, tangkap layar komen pekerja wanita pusat edaran Honda itu tular di media sosial, menyebabkan syarikat itu menggantung tugasnya dan mengadakan siasatan dalaman.
“Bukan kerajaan gagal, tuhan you yang gagal tak sembuhkan Adib” – komen pekerja tersebut
Sementara itu, menurut laporan harian Metro, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, ketika dihubungi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap netizen yang cuba membakar api perkauman menerusi media sosial susulan kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib.
“Kami (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap sebarang penularan laporan atau berita berbentuk hasutan atau provokasi.
“Serahkan tindakan memburu individu yang menyebabkan kematian Muhammad Adib kepada polis,” – Tan Sri Noor Rashid Ibrahim
Allahyarham bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam, Isnin lalu.
Allahyarham cedera parah akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November lalu sebelum ini bertarung nyawa hampir tiga minggu di (IJN). – TTKM-