Saya okay dengan prestasi kerja Waythamoorthy, terserah kepada saya putuskan- PM

Putrajaya, 20 Dis:  Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berpuas hati dengan prestasi P Waythamoorthy sebagai menteri perpaduan, menurut laporan portal  Malaysiakini.

Beliau menjawab demikian apabila ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi menteri tersebut:

“Saya okay, saya rasa okay”. – Tun Dr Mahathir. 

Beliau juga berkata terpulang kepada dirinya untuk memutuskan sama ada Waythamoorthy akan dipecat atau tidak.

“Orang ramai boleh menyatakan pendapat mereka, tapi terserah kepada saya untuk putuskan,” – Tun Dr Mahathir. 

Anggota parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung memorandum Pemuda Bersatu yang menggesa agar beliau memecat Waythamoorthy.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan salah seorang yang hadir ketika memorandum itu diserahkan kepada perdana menteri.

Gesaan agar pemimpin Hindraf itu meletakkan jawatan semakin kuat susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24 meninggal dunia Isnin lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa susulan kecederaan dipercayai akibat dibelasah perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Waythamoorthy didakwa memburukkan keadaan apabila beliau dan tiga menteri yang lain dalam satu sidang media mengkritik polis dengan mendakwa mereka lambat tiba di tempat kejadian serta menegur kenyataan polis yang mengaitkan insiden berkenaan dengan pergaduhan antara “dua kumpulan bangsa India”. Walaubagaimanapun, kenyataan polis tersebut telah diperbetulkan dengan memetik “dua kumpulan”.

Menteri Dalam Negeri, Muhyidin Yasin menyanggah dakwaan polis lambat tiba di tempat kejadian dengan membentangkan kronologi lengkap kejadian di parlimen .

 

Kronologi kejadian berdasarkan Muhyidin Yasin:

26 November

2.40 pagi – Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan orang awam mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.

Sejurus laporan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya mengarahkan semua unit di lapangan ke tempat kejadian.

2.50 pagi – Empat kenderaan pelbagai guna (MPV) polis tiba di tempat kejadian tetapi dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki India.

Cermin belakang sebuah MPV dipecahkan manakala sebuah treler diletak melintang menghalang jalan menghala ke kuil.

3.30 pagi – Ketua Polis Daerah Subang Jaya menghubungi pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan IPD Serdang untuk mendapatkan bantuan tambahan anggota.

4 pagi – Bantuan IPD Serdang dengan kekuatan seorang pegawai dan 99 anggota tiba di tempat kejadian.

Berlaku pergaduhan di dalam kuil antara kumpulan penganut agama Hindu dan kumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kawasan kuil.

Sebahagian daripada kumpulan lelaki Melayu dikesan melarikan diri dari kawasan kuil.

Kumpulan penganut agama Hindu kemudian membakar beberapa kenderaan dipercayai milik kumpulan lelaki yang menceroboh kawasan kuil.

4.38 pagi – Pasukan bomba menerima panggilan bantuan kebakaran.

5.03 pagi – Bomba tiba di tempat kejadian untuk mengawal kebakaran.

5.30 pagi – Pasukan FRU tiba di tempat kejadian dengan kekuatan dua pegawai dan 201 anggota.

Keadaan di sekitar kuil mulai terkawal dan keadaan kembali tenang.

Susulan pergaduhan ini, tiga lelaki Melayu dan tiga lelaki India tercedera manakala seorang anggota polis turut cedera.

27 November

Awal pagi, dianggarkan 10,000 orang kaum India berkumpul di kawasan sekitar kuil. Selain merusuh, beberapa kenderaan dibakar kumpulan ini.

Anggota bomba yang berada berhampiran kawasan kuil cuba memadam kebakaran kerana rusuhan terhadap kenderaan milik bomba.

Seorang anggota bomba, Mohammad Adib Kassim dicederakan sekumpulan individu tidak dikenali. Beliau mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

Kumpulan perusuh bergerak ke pejabat One City Development Sdn Bhd dan memecahkan dinding cermin bangunan, merosakkan peralatan dalam bilik pameran serta membakar beberapa kenderaan.

Sementara itu, kempen petisyen di media sosial yang menggesa Waythamoorthy meletakkan jawatan kini sudah mendapat hampir 300,000 tandatangan.

Petisyen desak Waythamoorthy letak jawatan kini hampir cecah 300k tandatangan.

Manakala petisyen untuk mengekalkan jawatan Waytha Moorthy pula hanya mendapat 32,627 tandatangan.

Tambah petisyen itu lagi, ia adalah bertujuan untuk “membantu menteri tersebut untuk terus menyambung khidmatnya kepada negara dan melindungi beliau dari fitnah”. – TTKM- 

Sumbangan kepada Buletin TTKM

Portal Buletin TTKM diwujudkan selepas PRU14 untuk memberikan laporan yang lebih adil, bebas dan kritikal. Bantu kami untuk terus melaporkan dan beroperasi dengan dengan melakukan sumbangan ikhlas ke akaun berikut:

No akaun : 8603355994 (Bank : CIMB Bank) 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik:

Exit mobile version