Ada yang menuduh saya lebih utamakan pendarahan Umno daripada kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat diserang ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman Seafield 26 November lalu.
Saya menulis mengenainya dalam tampalan 28 November dan menyesali tindakan polis ketika itu yang hanya menangkap dan menahan perusuh Melayu dan Cina tapi tidak seorang pun India. Sejak itu ramai perusuh India/Hindu telah ditahan. Saya pun disentuh perasaan (emosi) tetapi tidaklah sampai hilang akal dan pertimbangan. Tidak wajar membenarkan emosi menguasai diri. Bukan saya tidak mahu keadilan dilakukan. Bukan saya tidak mahu Menteri Wayta Moothy dikenakan tindakan.
Malah sekarang pun saya setuju dengan sentimen umum bahawa Moorthy telah hilang kelayakan dan kedudukan untuk terus menjadi menteri apatah lagi menteri yang menjaga perpaduan nasional.
Sebagai wartawan dan pengarang saya bukan sahaja terpaksa melaporkan peristiwa ini, tetapi memastikan ia tidak menjadi lebih buruk.Jadi bukan saya tidak emosi atau tidak peduli kematian tragis Adib, tetapi saya tidak mahu emosi terus dibakar dan api permusuhan dikipas.
Justeru itu, secara peribadi, saya sarankan agar rancangan memindahkan Kuil Sri Maha Mariamman seperti yang diperintahkan oleh mahkamah diteruskan dengan harapan ia akan meredakan emosi dan mengurangkan ketaasuban.
Wallahuaklam. -TTKM-
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM-Editor)