Mana ada harga telur turun!

KLUANG 23 Dis: Pembekal telur ayam didakwa tidak menurunkan harga walaupun selepas harga baru diumumkan kerajaan, baru-baru ini. Perkara demikian dinyatakan oleh peniaga kedai runcit yang merayu pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan terhadap pembekal terbabit, menurut laporan Harian Metro. 

Tinjauan oleh akhbar terbabit di tiga kedai runcit di Taman Sri Lambak, Taman Sri Impian dan Taman Makmur mendapati harga telur ayam gred A masih dijual antara RM13.30 hingga RM13.90 sepapan, sama seperti sebelum pengumuman penurunan harga dibuat.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Rosnah, 45, berkata, dia masih membeli telur ayam daripada pembekal pada harga 42 sen sebiji dan terpaksa menjual dengan harga 45 sen sebiji iaitu hanya untung sekitar 90 sen sepapan.

Katanya, peniaga hairan mengapa pembekal telur ayam di pasar raya besar boleh memberikan harga lebih rendah namun tidak kepada peniaga runcit sedangkan mereka dipercayai daripada syarikat sama dan menghantar pada jumlah banyak.
“Sebagai peruncit, kami tiada pilihan kerana mendapat bekalan pada harga tinggi dan di sinilah pengguna menjadi mangsa daripada sikap tamak pembekal yang sentiasa mengambil peluang menaikkan harga barang keperluan.

“Berikutan itu, kami merayu kerajaan menangani masalah ini dengan lebih tegas dan jangan hanya seperti melepaskan batuk di tangga sedangkan peruncit dan pengguna khususnya terus tertekan,” -Rosnah

Sementara itu, pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 38, berkata, alasan kenaikan harga telur ayam seperti diumumkan kerajaan amat mengejutkan kerana sejak beberapa bulan terakhir ini, tiada penularan penyakit selesema burung hingga menyebabkan kematian ayam dalam jumlah banyak hingga boleh menjejaskan pengeluaran telur ayam.

“Ada dakwaan kenaikan ini adalah perkara biasa dan dijangka turun semula selepas bekalan pulih namun harga barang keperluan harian seperti telur ayam ini naik setiap minggu dan tidak pernah turun.

“Tidak mustahil harga telur ayam akan dinaikkan lagi menjelang sambutan Hari Natal minggu hadapan selain perayaan lain sepanjang 2019,”   – Halim

Sebelum ini,  KERAJAAN memberi jaminan harga telur ayam yang mengalami kenaikan ketara baru-baru ini akan kembali stabil bermula Isnin 17 Disember.

Untuk rekod, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, harga telur ayam dari setiap gred akan kembali diturunkan sebanyak 2 sen selepas dipersetujui bersama Persekutuan Persatuan Penternak-Penternak Malaysia (FLFAM) pada Jumaat lalu.

“Pengeluar telur ayam bersetuju untuk mengurangkan harga telur di peringkat ladang sebanyak 2 sen bagi menstabilkan harga telur di pasaran.

“Ini juga bagi memastikan bekalan telur ayam di pasaran mencukupi menjelang musim perayaan ini,”  – Datuk Salahuddin Ayub

Beliau berkata, kenaikan sebelum ini erpunca daripada kematian ayam di beberapa ladang yang disyaki dijangkiti virus avian influenze H5 dan H7 (selesema burung).

“Ladang ayam yang berdepan masalah kematian ayam yang tinggi sebelum ini tidak dibenarkan menjual telur sehingga siasatan dan keputusan makmal mengesahkan tiada jangkitan penyakit.

“Keadaan ini menyebabkan berlaku pengurangan bekalan telur 3 peratus, namun siasatan menunjukkan ladang ayam berkenaan bebas dari jangkitan selsema burung seperti yang dilaporkan.

“Kematian ayam yang dilaporkan hanyalah berpunca daripada penyakit ayam yang sering menyerang haiwan berkenaan,”  – Datuk Salahuddin Ayub

Menurut Salahuddin, kenaikan harga bahan mentah itu juga berpunca kepada kenaikan kadar tukaran wang asing pada November lalu.

“Ini memberi kesan kepada kenaikan bahan makanan ternakan yang diimport seterusnya meningkatkan kos pengeluaran telur dan harga naik sebanyak lima peratus,”  – Datuk Salahuddin Ayub

Semalam, bekas perdana menteri, Najib Razak mentroll kerajaan kerana gagal mengawal harga telur dengan memetik teori Tony Pua, pegawai khas menteri kewangan yang mengatakan bahawa SST akan menurunkan harga barang. .

“Peruncit dan pengguna menyanggah pengumuman amat penting dari Menteri PH kita minggu lepas bahawa harga telur telah turun sebanyak 2 sen.

Peruncit dan pengguna kata harga telur tidak turun. Malah, mereka berjangka harga akan terus naik lagi minggu depan.

Tony Pua dengan teori dia bahawa cukai SST akan menurunkan harga barang-barang patut membuat sesuatu.” – Najib Razak. 

-TTKM- 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.