Petrol lebih rendah 1 Januari ini, ikut semula kaedah apungan mingguan.

PUTRAJAYA 24 Dis: Akur dengan tekanan, akhirnya kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari ini berikutan penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara minguan, sejajar dengan trend harga pasaran minyak dunia ketika ini yang semakin menurun.

Untuk rekod, sejak Jun lalu, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan yang mahu menstabilkan harga minyak. Sebelum itu, ketika zaman kerajaan BN yang digulingkan pada PRU 14 lepas, harga petrol dan diesel tersebut disemak setiap minggu.

Menurut kenyataan menteri kewangan, Lim Guan Eng, disebabkan trend harga minyak adalah menurun, maka kerajaan bersedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.

“Ini bermakna kaedah penetapan harga secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) akan digantikan dengan penetapan harga jualan runcit secara mingguan dalam keadaan harga minyak dunia menurun.

“Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2019 bagi membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.

“Justeru, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia berterusan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu,”  – Lim Guan Eng. 

Tambah kenyataan itu, sekiranya berlaku kenaikan harga minyak, harga runcit RON 95 akan dihadkan kepada RM2.20 seliter manakala diesel pada RM2.18 seliter.

“Pengekalan harga ini adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan pada 2019.

“Ini selaras dengan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH) untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat dengan membolehkan rakyat menerima faedah penurunan harga minyak tetapi membantu golongan B40 dengan subsidi bersasar apabila harga minyak naik,” – Lim Guan Eng.

Berikut merupakan kenyataan penuh Lim Guan Eng:

 

Beberapa hari lepas, bekas perdana menteri, Najib Razak mendakwa kerajaan telah mengenakan cukai terhadap RON95 sebanyak 30 sen seliter dan jumlah cukai tersebut adalah sebanyak RM120 juta setiap minggu.

“Belanjawan 2019 diumumkan oleh Guan Eng dengan andaian harga minyak dunia Brent pada harga US$72 satu tong pada awal bulan lepas tetapi selepas itu, harga minyak dunia telah terus jatuh menjunam. Semalam, harga Brent ialah di sekitar US$52 satu tong. Sebagai perbandingan, harga Brent semasa BN kalah ialah US$73 satu tong dan harga RON95 ialah RM2.20 satu liter.Ini bermakna, sejak awal bulan lepas, kerajaan PH telah kenakan cukai sebanyak 30 sen seliter ke atas RON95.Harga sebenar petrol RON95 sepatutnya antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan dahulu berbanding harga RM2.20 sekarang. Kerajaan PH telah mengutip cukai sebanyak RM120 juta dari penjualan RON95 setiap minggu dari rakyat.” – Najib Razak. 

Semalam pula, Rafizi Ramli telah menulis surat kepada Lim Guan Eng merayu supaya harga minyak disemak semula setiap minggu:

 

23 Disember 2018

YB Saudara,

KIRAAN HARGA MINYAK MENGIKUT MINGGU DALAM KEADAAN HARGA MINYAK MENTAH RENDAH

Saya mengikut kenyataan-kenyataan YB Saudara mengenai perkembangan harga minyak mentah dunia yang jatuh menjunam serta kesannya kepada rakyat dan kewangan negara. Saya juga ada berbincang secara berterusan dengan YB Dato’ Saifuddin Nasution Ismail, Menteri KPDNHEP mengenai penetapan harga petrol dan diesel.

2. Daripada kenyataan YB Saudara seperti yang dilaporkan pada hari ini, saya difahamkan bahawa Kerajaan Persekutuan memantau harga minyak mengikut formula APM (Automatic Pricing Mechanism) secara bulanan; iaitu harga minyak dunia dalam bulan Disember hanya akan mempengaruhi formula harga minyak RON95 dan diesel bagi bulan Januari.

3. Saya memahami kaedah ini sesuai dalam beberapa bulan yang lalu iaitu ketika harga minyak mentah dunia naik melonjak. Dalam keadaan harga mentah dunia tinggi, Kerajaan Persekutuan menyediakan subsidi untuk mengekalkan harga pada kadar RM2.20 seliter bagi RON95.

4. Selagi harga minyak mentah dunia kekal tinggi, maka pengiraan formula hanyalah untuk menentukan berapa subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan kerana harga yang dibayar oleh rakyat adalah lebih rendah dari harga formula.

5. Walau bagaimana pun, sejak beberapa minggu yang lalu, harga minyak mentah dunia mengalami penurunan mendadak, terutamanya minggu ini.

6. Rakyat sudah terbiasa dengan pengiraan mengikut minggu seperti yang ditinggalkan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak. Malah, rakyat tidak tahu pun bahawa Kerajaan Persekutuan kini menyemak harga mengikut formula secara bulanan (atas sebab-sebab yang saya sebut di atas).

7. Mengikut formula, harga RON95 sejak beberapa minggu yang lalu telah jatuh di bawah paras RM2.20 seliter, seperti jadual kiraan mingguan di bawah:

8. Oleh kerana kiraan Kerajaan Persekutuan menggunakan rujukan harga bulanan purata bagi November 2018 untuk menetapkan harga RON95 bagi Disember 2018, kiraan Kerajaan Persekutuan akan menunjukkan harga mengikut formula APM masih lagi lebih tinggi dari harga RM2.20 se-liter yang ditetapkan.

9. Saya secara konsisten telah menyuarakan pandangan bahawa kaedah terbaik dan yang paling adil untuk mengelakkan rakyat dari membayar harga minyak yang lebih tinggi dari harga pasaran adalah seperti berikut:

i. Memastikan ada subsidi untuk melindungi rakyat dari harga minyak mentah dunia yang naik melambung, iaitu dengan menetapkan harga siling. Apa-apa harga formula yang lebih tinggi dari harga siling, Kerajaan Persekutuan perlu membayar subsidi untuk mengekalkan harga pada harga siling.

ii. Menyemak harga mengikut formula secara mingguan untuk memastikan jika ada kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia, rakyat akan menikmati penjimatan serta-merta.

10. Kerajaan Persekutuan telah pun melaksanakan langkah (i) dan harga siling telah ditetapkan pada harga RM2.20 se-liter. Walau bagaimana pun, semakan harga mengikut formula adalah mengikut bulanan pada ketika ini (disebabkan keadaan harga minyak mentah pasaran sebelum ini).

11. Oleh itu, untuk memastikan harga yang dibayar rakyat melambangkan keadaan pasaran semasa harga minyak mentah, saya memohon supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menyemak harga mengikut formula secara mingguan.

12. Ini akan membolehkan harga RON95 menyaksikan penurunan 20 sen untuk beberapa minggu akan datang.

Yang benar

RAFIZI RAMLI

-TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.