Azwanddin direman 4 hari

SHAH ALAM, 27 Dis – Mahkamah Majistret Klang di sini mengeluarkan perintah tahanan reman empat hari bermula hari ini ke atas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah bagi membantu siasatan berhubung kenyataan beliau yang didakwa berunsur ugutan, pada satu perhimpunan di Klang, Selasa lepas.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Azwanddin yang juga merupakan Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) diwakili peguam Datuk Imran Tamrin.

Pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy’ anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, Klang dekat sini Selasa lepas, Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur provokasi antara lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terlibat dalam kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Susulan itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan Azwanddin ditahan petang semalam di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan tersebut.

Muhammad Adib yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara, selepas bertarung nyawa kira-kira tiga minggu susulan kecederaan parah yang didakwa dibelasah kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lepas. -TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: