Troll menyalahi syarak: HARAM. Troll sekadar sindiran nasihat: TIDAK MENGAPA – Mufti WP

bottle
bottle

Soalan

Mutakhir ini kita melihat semakin ramai netizen yang menggunakan aplikasi tertentu di media sosial dengan tujuan melakukan troll terhadap orang lain. Kadang-kadang ia membawa kepada perbalahan dan permusuhan serta menjatuhkan maruah orang lain? Apa hukum perbuatan sedemikian tuan mufti?

Jawapan

Pertama sekali, media sosial seperti facebook, instagram, twitter, whatsapp dan lain-lain adalah termasuk alat komunikasi bagi memudahkan perhubungan sesama manusia. Hukum asal menggunakannya adalah HARUS jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak. Ini berdasarkan kaedah fiqh, “Asal pada segala sesuatu itu harus.”

Namun demikian, jika ia digunakan dengan tujuan dan kaedah yang bertentangan dengan hukum syarak seperti menjadikannya sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan sesama manusia apatah lagi sesama muslim, maka hukumnya jatuh haram. Ia berasaskan kaedah, “Jalan-jalan baginya hukum sebagaimana tujuan.”

Dalam isu troll, Wikipedia mendefinisikannya sebagai berikut:

In Internet slang, a troll is a person who starts quarrels or upsets people on the Internet to distract and sow discord by posting inflammatory and digressive, extraneous, or off-topic messages in an online community (such as a newsgroupforumchat room, or blog) with the intent of provoking readers into displaying emotional responses and normalizing tangential discussion, whether for the troll’s amusement or a specific gain.[1]

Dalam bahasa mudah, troll merupakan slanga internet yang merujuk kepada perbuatan individu yang memulakan pertengkaran atau mengalihkan perhatian atau menyebarkan perselisihan dalam media sosial dengan menyiarkan mesej bersifat provokatif, sarkastik dan agresif yang jauh berbeza dengan topik asal perbincangan. Ia bertujuan menghasut pembaca memberikan respon secara emosional sama ada sekadar berjenaka atau dengan matlamat tertentu.

Pelaku troll biasanya membuka akaun palsu menggunakan profil mangsa mereka untuk dijadikan bahan sindiran dan jenaka. Kebanyakan mangsa merupakan golongan ternama terutama ahli politik dan tokoh-tokoh terkenal. Pelaku trolljuga menggunakan nama samaran dan profil palsu (pseudonym) untuk melakukan serangan peribadi ke atas individu lain.[2]

Lebih membimbangkan apabila internet trolling yang dilakukan pada masa kini bukan sekadar dalam bentuk mesej bertulis, tetapi adakalanya dilakonkan dalam bentuk klip video pendek dan gambar yang diubahsuai berserta dialog yang dicipta sendiri menggunakan aplikasi tertentu. Kebanyakannya didapati mengandungi unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku, menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu yang menjadi mangsa troll.

Jika begini yang dimaksudkan dengan troll, maka ia jelas bertentangan dengan akhlak dan adab Islam. Bahkan amat jauh sekali daripada sifat seorang mukmin yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Rasulullah SAW bersabda:

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.

Riwayat al-Tirmizi (1162)

Dalam konteks media sosial, interaksi seseorang menjadi sangat luas dan terbuka. Di dalamnya ada orang yang kita kenal dan ada yang tidak dikenali, begitu jua sebaliknya. Di sini menuntut kita untuk berlaku jujur dan beradab dengan adab Islam yang tinggi. Ia sebagaimana sabda Baginda SAW:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِي جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيسْكُتْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah memuliakan tetamunya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah yang baik-baik atau ia diam.”

Riwayat al-Bukhari (75)

Seseorang tidak sepatutnya bersikap tidak bertanggungjawab dengan melontarkan apa sahaja yang mahu dikatakan atau dikongsikan tanpa berhati-hati. Mungkin ia menyangkakan itu remeh tetapi di sisi Allah SWT ia amat berat. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

Riwayat Ahmad (7215)

Berdasarkan ciri-ciri perbuatan troll yang dinyatakan di atas, jelas ia bertentangan dengan nas-nas syarak yang banyak. Antaranya:

  1. Larangan mengejek atau menggelar dengan gelaran yang tidak baik. Firman Allah SWT:

وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ

Maksudnya“…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…”

(Surah al-Hujurat: 11)

  1. Larangan menghina, merendah-rendahkan, mencaci dan melaknat sesama sendiri.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;”

(Surah al-Hujurat: 11)

Manakala Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

Maksudnya: “Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

Riwayat al-Tirmizi (1977)

  1. Larangan khianat dan berbohong.

Sabda Rasulullah SAW:

يُطْبَعُ الْمُؤْمِنُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ الْخِيَانَةَ وَالْكَذِبَ

Maksudnya“Orang yang beriman boleh jadi melakukan pelbagai kesalahan kecuali sifat khianat dan dusta.”

Riwayat Imam Ahmad (22170)

  1. Larangan menyebar fitnah dan mengadu domba

Firman Allah SWT:

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَّهِينٍ ﴿١٠﴾َمَّازٍ مَّشَّاءٍ بِنَمِيمٍ ﴿١١﴾َّنَّاعٍ لِّلْخَيْرِ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang gemar bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang amat berdosa.”

(Surah al-Qalam: 10-12)

Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga para pengumpat.”

Riwayat Muslim (168)

Demikian juga sabdanya:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَتَّاتٌ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga para pengadu domba.”

Riwayat al-Bukhari (6056)

Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat:

أَتَدْرُونَ مَا اَلْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اَللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ: أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اِغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Maksudnya: “Tahukah kamu apa itu ghibah? Mereka menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Iaitu engkau menceritakan saudaramu apa yang tidak ia suka. Ada yang bertanya: Bagaimana jika apa yang aku katakan benar-benar ada pada saudaraku? Baginda menjawab: Jika padanya memang ada apa yang engkau katakan maka engkau telah mengumpatnya dan jika tidak ada maka engkau telah membuat pembohongan ke atasnya.

Riwayat Muslim (70)

Kesimpulannya, kami menyeru seluruh komuniti netizen, agar bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa. Berakhlaklah dengan akhlak Islam di mana pun keberadaan kita walaupun di alam maya. Jangan dilupa bahawa setiap gerak geri kita ada saksi yang sedang memerhatikan. Biarpun ia bukan percakapan lidah, tapi tangan yang menulis, mengongsi dan menyebarkan, namun yakinlah bahawa ia sendiri kelak akan menjadi saksi atas apa yang diperbuat. Ini digambarkan Allah SWT di dalam al-Qur’an ketika manusia terpinga-pinga kehairanan, mengapa kulit tubuhnya yang suatu ketika dahulu merupakan sekutunya, kelak ia sendiri yang akan menjadi saksi atas perlakuan maksiatnya. Firman Allah SWT:

وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدتُّمْ عَلَيْنَا ۖ قَالُوا أَنطَقَنَا اللَّـهُ الَّذِي أَنطَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).

(Surah Fussilat: 21)

Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa sifat seorang muslim itu adalah sentiasa tidak menyakiti muslim yang lain. Sabdanya:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (10)

Di samping itu, Baginda SAW yang memperingatkan kita betapa perbuatan buruk kita terhadap orang lain boleh menyebabkan kita menjadi muflis di akhirat, biarpun kita seorang yang menunaikan solat, puasa dan zakat. Sabdanya:

أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا : الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ، وَصِيَامٍ ، وَزَكَاةٍ ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا ، وَضَرَبَ هَذَا ، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Maksudnya“Tahukah anda siapa sebenarnya muflis? Sahabat sahabat menjawab: ‘Muflis sepanjang pengetahuan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta. (Nabi SAW bersabda: Bukan muflis harta aku maksudkan) tetapi muflis pahala pada hari Kiamat. Sebahagian umatku pada hari itu datang membawa amalan-amalan solat, puasa dan zakat. Pada masa sama juga dia membawa dosa-dosa mengutuk orang, memfitnah orang, mengambil harta orang, membunuh orang dan memukul orang. Penyelesaian pada hari itu adalah dengan mengambil amal kebajikannya lalu diberi kepada orang yang dizaliminya. Andainya amal kebajikan yang dibawanya belum cukup, akan diambil dosa-dosa mangsa yang dizaliminya, lalu dibebankan di atas kepalanya, kemudian dicampaknya ke dalam neraka.”

Riwayat Muslim (2581)

Justeru, perbuatan troll yang membawa ciri-ciri menyalahi syarak seperti yang dinyatakan di atas adalah DILARANG dan boleh membawa kepada dosa. Namun demikian, jika yang dilakukan hanya sekadar sindiran dengan bahasa kiasan tanpa menjatuhkan maruah peribadi seseorang, tetapi lebih kepada teguran atau nasihat secara berhikmah, maka ia tidak mengapa. Semoga Allah SWT mengurniakan hidayah dan menyelamatkan kita semua daripada terjebak ke dalam hal sedemikian. Wallahu a’lam.

 

Nota Hujung:

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Internet_troll

[2] http://www.utusan.com.my/rencana/utama/cara-tangani-troll-1.375582

sumber:

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.