Kuala Lumpur, 5 Jan: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengesahkan anaknya, Ahmad Saiful Islam, 31 ditahan polis tengah malam tadi selepas didapati positif ganja, lapor Malaysiakini.
Beliau juga berkata turut komited dengan prinsip tiada sesiapa mengatasi undang-undang dan semua tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.
“Saya komited pada prinsip tiada sesiapa mengatasi undang-undang. Tetapi saya juga menjunjung prinsip semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan salah oleh mahkamah undang-undang.”
“Saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak atas proses undang-undang sedia ada.
“Anak saya sama seperti anak orang lain juga, tertakluk kepada undang-undang negara,” – Mat Sabu.
Anak Mat Sabu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang pada pukul 12.30 tengah malam.
Walau bagaimanapun, beliau sebentar tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan keluarga Mat Sabu terkejut besar apabila anak lelaki beliau ditahan atas dakwaan penyalahgunaan dadah semalam, sementara pemimpin Amanah itu merayu orang ramai tidak membuat penilaian terhadap dirinya dan isteri.
“Kami kini melalui waktu paling sukar dalam hidup. Kami tidak menjangka ini akan berlaku. Sebagai ayah, saya juga mahu tahu perkara sebenar,” – Mat Sabu.
Anak Mat Sabu adalah antara 2 lelaki yang dilaporkan positif ganja dalam satu serbuan polis yang turut memeriksa lebih 100 orang.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. -TTKM-