PEMILIHAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-16 MENGIKUT PERLEMBAGAAN, UNDI RAHSIA DAN TRADISI

Oleh: ISHAM JALIL

Di dalam Perlembagaan atau mana-mana dokumen dan peraturan Majlis Raja-raja Melayu tidak dinyatakan turutan penggiliran Yang Di-Pertuan Agong di antara sembilan Duli-duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja-raja Melayu.

Penggiliran yang sedia ada adalah mengikut tradisi, bermula dari tahun 1957 selepas Kemerdekaan.

Pada ketika itu, sistem pemerintahan yang dipilih untuk Tanah Melayu adalah sistem Raja Berpelembagaan seperti di United Kingdom.

Maka dalam Perlembagaan Tanah Melayu yang ditulis pada ketika itu menyatakan keperluan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Dan Yang Di-Pertuan Agong ini perlu dilantik di antara sembilan Raja-raja Melayu untuk tempoh 5 tahun sepenggal.

Untuk pemilihan Yang Di-Pertuan Agong yang pertama, Majlis Raja-raja Melayu pada ketika itu berpendapat dan telah membuat keputusan bahawa baginda dipilih dan dilantik daripada raja Melayu yang paling kanan iaitu raja yang paling lama bertakhta sebagai Sultan, Raja atau Yang Di-Pertuan Besar di sesebuah negeri mengikut tarikh pertabalan.

Maka dengan itu DYMM Tuanku Abdul Rahman, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-raja Melayu sebagai Yang Di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1957 kerana baginda adalah raja yang paling kanan atau paling lama bertakhta pada ketika itu.

Pada ketika itu juga senarai kekananan raja-raja Melayu mengikut negeri telah disediakan berdasarkan kekananan raja atau tempoh raja bertakhta di negeri sejak pertabalan.

Oleh itu penggiliran Yang Di-Pertuan Agong bagi pusingan pertama (1957-1994) telah dibuat mengikut negeri berdasarkan kekananan raja seperti berikut:

1. DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (ditabalkan 1934)
2. DYMM Sultan Selangor (ditabalkan 1939)
3. DYMM Raja Perlis (ditabalkan 1949)
4. DYMM Sultan Terengganu (ditabalkan 1949)
5. DYMM Sultan Kedah (ditabalkan 1959)
6. DYMM Sultan Kelantan (ditabalkan 1961)
7. DYMM Sultan Pahang (ditabalkan 1975)
8. DYMM Sultan Johor (ditabalkan 1981)
9. DYMM Sultan Perak (ditabalkan 1985)

Walaupun turutan penggiliran di atas tidak tercatat di dalam Perlembagaan, dan Majlis Raja-raja Melayu tidak terikat dengan turutan penggiliran tersebut, namun setiap lima tahun sejak 1957 apabila Majlis Raja-raja Melayu bersidang dan membuat undian rahsia untuk pemilihan Yang Di-Pertuan Agong yang baru, keputusan undi rahsia telah setiap kali memihak kepada turutan penggiliran seperti di atas.

Pada tahun 1989, apabila DYMM Sultan Perak menjadi Yang Di-Pertuan Agong ke-9 sehingga tahun 1994, semua negeri yang mempunyai raja Melayu telah mempunyai raja yang menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia.

Oleh itu, pusingan pertama penggiliran mengikut negeri seperti di atas sebenarnya telah tamat pada tahun 1994.

Selepas tahun 1994, apabila pusingan kedua penggiliran Yang Di-Pertuan Agong bermula, sebenarnya Majlis Raja-raja Melayu boleh mencadangkan turutan penggiliran yang baru berdasarkan kepada senarai kekananan raja-raja Melayu terkini pada ketika itu.

Ini memandangkan kekananan raja-raja Melayu mengikut negeri telah berubah kerana kemangkatan dan pertabalan raja-raja yang baru.

Walaubagaimanapun, dalam pusingan kedua ini daripada tahun 1994 sehingga tahun 2016, keputusan undi rahsia Majlis Raja-raja Melayu bagi pemilihan Yang Di-Pertuan Agong sebanyak 6 penggal berturut-turut masih memihak dan mengikut penggiliran yang asal seperti dalam pusingan pertama.

Sebab itu selepas DYMM Sultan Perak menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 1989 sehingga 1994, turutan Yang Di-Pertuan Agong seterusnya yang dipilih dalam penggiliran pusingan kedua oleh pengundian Majlis Raja-raja Melayu adalah daripada Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah dan Kelantan; seperti turutan penggiliran dalam pusingan pertama.

Ini bermaksud, Majlis Raja-raja Melayu dan sembilan Duli-duli Raja-raja Melayu yang mengundi untuk setiap kali pemilihan Yang Di-Pertuan Agong yang baru sejak tahun 1994 telah membuat keputusan untuk mengikut turutan penggiliran negeri yang asal seperti pusingan pertama dahulu walaupun pusingan pertama telah tamat pada tahun 1994 dan senarai kekananan raja-raja telah berubah sejak itu.

Ini juga bermaksud bahawa Duli-duli dan Majlis Raja-raja Melayu memberikan penekanan kepada penggiliran mengikut turutan negeri berbanding penggiliran mengikut kekananan raja terkini.

Sebelum ini DYMM Sultan Muhammad ke-V telah dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-15 oleh pengundian Majlis Raja-raja Melayu pada tahun 2016 walaupun kedudukan baginda dalam senarai kekananan raja adalah bukan antara yang tertinggi memandangkan baginda baru ditabalkan sebagai Sultan Kelantan hanya beberapa tahun sebelum itu.

Dalam pusingan kedua ini, hanya tinggal tiga negeri lagi yang mana rajanya belum menjadi Yang Di-Pertuan Agong iaitu negeri Pahang, Johor dan Perak, mengikut turutan penggiliran asal.

Duli-duli dan Majlis Raja-raja Melayu adalah satu institusi yang amat tertib dalam menjaga tradisi dan ia mempunyai kehalusan yang tinggi.

Memandangkan sejak tahun 1994 sebanyak enam kali berturut-turut sebelum ini Duli-duli dalam Majlis Raja-raja Melayu telah mengundi mengikut turutan asal negeri dan bukan mengikut senarai kekananan raja-raja yang terkini, adalah sukar untuk digambarkan jika pemilihan yang ketujuh daripada sembilan ini tiba-tiba memecah tradisi atau melangkah bendul.

Sekiranya Majlis Raja-raja Melayu ingin menukar turutan penggiliran mengikut senarai kekananan raja terkini, berkemungkinan besar ianya hanya akan dilakukan pada tahun 2034, iaitu setelah pusingan kedua berakhir 15 tahun dari sekarang.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada di atas, saya berpendapat bahawa kali ini Majlis Raja-raja dan Duli-duli akan sekali lagi mengundi dan membuat keputusan mengikut tradisi umpama menarik rambut dalam tepung.

Jika ini berlaku, maka tidak sukar digambarkan sekiranya Duli-duli dan Majlis Raja-raja Melayu akan mengundi dan memilih DYMM Sultan Pahang sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-16 pada 24 Januari 2019 ini, walaupun baginda baru sahaja akan ditabalkan sebagai Sultan Pahang pada hari Selasa 15 Januari 2019 ini.

Sebagai rakyat marhaen, saya dan seluruh rakyat jelata terutama dari negeri Pahang amatlah berbesar hati, menjunjung kasih dan mengucapkan tahniah serta dirgahayu jika DYMM Sultan Pahang yang baru, Tengku (Sultan) Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah diangkat sebagai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-16.

Daulat Tuanku.

ISHAM JALIL
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
13 Januari 2019

Sumber


(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM-Editor)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: