Lupakan kelapa sawit, tanam kelapa, buluh atau nanas – Menteri

BENTONG 3 Mac: Kerajaan mencadangkan supaya pekebun kecil untuk mula beralih kepada tanaman baharu dan mengurangkan kebergantungan terhadap hasil tanaman kelapa sawit sebagai produk komoditi negara.

Menurut laporan Berita Harian, Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata susulan penurunan harga minyak sawit pada tahun lalu, ramai dalam kalangan pekebun kecil mengalami kerugian, manakala syarikat besar hanya meraih keuntungan yang sedikit.

“Justeru, sudah tiba untuk kita menumpu kepada hasil tanaman lain dan fokus kepada operasi hiliran komoditi negara.

“Beberapa syarikat sudah mula beralih kepada tanaman lain seperti kelapa dan ini adalah langkah yang baik kerana Malaysia mengimport sebanyak sejuta kelapa setiap tahun. Tanaman sedemikian atau nanas dan buluh adalah antara hasil tanaman yang berbaloi untuk diteroka kerana ia mempunyai permintaan tinggi,” – Teresa Kok

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek The Valley, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Kok berkata, kerajaan juga kini tidak membenarkan lagi penambahan ladang kelapa sawit baharu di Malaysia dan menumpu kepada inisiatif penanaman kawasan hutan negara.

“Dalam usaha memikat pasaran global terutama di Eropah, kita perlu mengubah pandangan mereka terhadap Malaysia yang kini dilihat sebagai negara yang menggalakkan aktiviti penebangan hutan disebabkan status kita sebagai negara pengeluar minyak sawit.

“Justeru, sudah tiba masa Malaysia menggiatkan usaha penanaman semula hutan dan menggalakkan peserta industri supaya menyumbang kepada pemulihan hidupan liar. Ini sekali gus akan memberi imej baharu dan lebih baik kepada negara,” – Teresa Kok

Mengulas mengenai isu boikot minyak sawit oleh Kesatuan Eropah, Kok berkata, Malaysia dan Indonesia pada mesyuarat Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) baru-baru ini, bersetuju untuk bekerjasama dalam menyuarakan bantahan terhadap langkah boikot berkenaan.

“Malah, minggu depan, Kementerian Industri Utama dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan menghantar satu pasukan untuk mengadakan pertemuan bersama jawatankuasa EU bagi membincangkan mengenai perkara terbabit.

“Sekiranya EU masih ingin meneruskan boikot, saya bersama pemimpin Indonesia akan berjumpa dengan pemimpin negara-negara Eropah untuk menyuarakan bantahan,” – Teresa Kok

Harga komoditi kelapa sawit jatuh teruk semenjak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan pada PRU 14 yang lalu.

Pada Julai tahun lepas pula, China dan Indonesia menandatangani perjanjian membeli kelapa sawit Indonesia bernilai RM 3 billion menyebabkan berlakunya lambakan kelapa sawit Malaysia. -TTKM-.

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.