Apa yang anda perlu tahu mengenai kerugian RM6.3 bil Khazanah.

Oleh : Khairy Jamaluddin

Khazanah Nasional Berhad, syarikat pelaburan kerajaan mencatatkan kerugian RM6.3 bilion untuk tahun 2018. Ini adalah kerugian pertama yang dicatatkan oleh Khazanah untuk tempoh 10 tahun. Pada tahun 2017, Khazanah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.9 bilion.

Perkara ini bukanlah mengejutkan kerana sepanjang tahun 2018, saham-saham syarikat utama milik Khazanah menyaksikan kemerosotan yang sangat ketara yang akhirnya memberikan pulangan dividen negatif kepada Khazanah.

Sebagai contoh, Saham TM dari RM5.00 sebelum PRU jatuh kepada RM3.09 semalam, pernah jatuh ke tahap RM2.15 pada 26 Oktober 2018. Saham CIMB pernah jatuh dari RM6.90 sebelum PRU-14 kepada RM5.30 selepas PRU-14. Saham Axiata juga pernah jatuh dari RM5.49 kepada RM3.25. Dengan kata lain, hampir semua portfolio utama pelaburan Khazanah tidak memberi apa-apa pulangan positif.

Walaupun berlaku kenaikan harga saham selepas beberapa bulan, namun hakikatnya keadaan ketika ini masih lagi buruk berbanding sebelum PRU-14. Ditambah dengan pelbagai keputusan flip-flop dan u-turn kerajaan PH yang akhirnya menyebabkan ketidaktentuan sentimen pelabur memberi kesan kepada Khazanah.

Untuk rekod, sepanjang 10 tahun yang lalu, Khazanah telah berjaya meningkatkan jumlah aset daripada RM34 bilion kepada lebih RM115.6 bilion. Namun individu-individu penting yang membawa kejayaan kepada Khazanah yang diketuai oleh Tan Sri Azman Mokhtar telah ditukar kepada kepimpinan baru pasca PRU-14.

Sehingga kini kerajaan PH masih belum lagi menunjukkan apa-apa pelan konkrit dalam membawa ekonomi Malaysia. Yang kita dengar berulangkali adalah hasilkan kereta terbang yang sekejap bukan untuk dijual sekejap untuk pertanian. Yang kita dengar kerajaan nak menganjurkan semula perlumbaan F1. Tiada langsung halatuju ekonomi yang jelas.

Rakyat Malaysia masih belum lupa bagaimana Azmin Ali sebelum ini mencanang seantero dunia tentang kegagalan pelaburan kecil Khazanah dalam syarikat baju dalam wanita berjumlah RM80 juta. Nah kerugian Khazanah pada tahun lalu adalah 7775% lebih tinggi daripada kerugian RM80 juta tersebut. – TTKM-


Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian TTKM-Editor

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.