
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Alister Cogia, 22,pemilik akaun Facebook ‘Ayea Yea’, semalam dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun 10 bulan atas 10 pertuduhan memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, lapor Berita Harian.
Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak, yang membuat keputusan itu mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998, turut mengarahkan hukuman penjara itu dijalankan secara berasingan.
Alister Cogia, 22, mengaku bersalah di atas 10 pertuduhan ke atasnya yang dibacakan oleh Ketua Pendakwa Raya Sarawak, Isa Hassim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof.
Hakim Jason Juga ketika menjatuhkan hukuman itu turut selepas mengenakan denda RM50,000 sekiranya mahu mengurangkan hukuman penjara 10 bulan ditetapkan mahkamah sebelum itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 7.11 malam, 9 Februari lalu, diikuti 12.56 tengah malam (10 Februari); 1.28 pagi (14 Februari) dan masing-masing pada jam 10 malam serta 10.05 malam (24 Februari).
Lima pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan dan denda mengikut Seksyen 298A(1) Kanun Keseksaan.
Sementara, pertuduhan lain dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya turut memfailkan pertuduhan terhadap tiga lagi pemilik akaun media sosial semalam kerana memuat naik komen berbentuk penghinaan terhadap agama Islam serta Nabi Muhammad SAW, semalam.
Ketiga-tiga mereka itu adalah pemilik akaun twitter @alvinchow33, pemilik akaun facebook “Danny A’antonioJr.” dan “Yazid Kong”.
“Semua pertuduhan itu juga dibuat dengan mengguna pakai peruntukan Seksyen 298A dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 AKMM1998.
“Bagi pemilik akaun Twitter ‘@alvinchow333, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 298A dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Sekyen 233 AKMM 1998 dan mengaku tidak bersalah bagi lapan pertuduhan yang dibacakan.
“Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019,” – Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

Mohamad Fuzi berkata, pemilik akaun Facebook ‘Danny A’antonioJr.’ pula dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.
“Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang dibacakan dan tiada jaminan ditawarkan, sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April 2019.
“Bagi pemilik akaun Facebook ‘Yazid Kong’, dia dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 233 AKMM, tertuduh mengaku salah dan pendengaran fakta kes serta hukuman akan ditentukan pada 11 Mac 2019,” – Tan Sri Mohamad Fuzi Harun
Beliau berkata, butiran peruntukan yang diguna pakai adalah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
“Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan pula merujuk kepada kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.
“Seksyen 233 AKMM 1998 pula berkait penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain,” – Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

Terdahulu, Bernama melaporkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf berkata, pihak pendakwaan membantah sebarang permohonan jaminan terhadap semua tertuduh atas alasan mereka menghina agama, nabi dan anggota keselamatan yang meninggal dunia semasa bertugas.
Hujahnya lagi, pihak pendakwaan komited untuk menyelesaikan kes dalam masa yang singkat kerana ia membabitkan kepentingan awam, mengambil kira faktor hampir 1,000 laporan polis mengenai kes itu dibuat di seluruh negara.
“Keadaan ini boleh mengundang kemarahan dan sekiranya tidak dikawal dengan baik, boleh menjejaskan keselamatan negara. Saya mohon tiada jaminan dibenarkan,” – Muhamad Asyraf, Timbalan Pendakwa Raya,
Katanya, semua tertuduh perlu diasingkan sementara dari masyarakat dan akses internet kerana risiko adalah tinggi untuk mereka mengulangi kesalahan sama sekiranya jaminan dibenarkan.
Beliau turut memaklumkan, Mun Fan pernah didakwa sebanyak dua kali di Kuala Lumpur dan Muar, Johor atas kesalahan sama yang berunsur penghinaan, namun dilepas tanpa dibebaskan kerana tidak hadir ke mahkamah sehingga ada beberapa waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Mohd Sophian, Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pula berhujah, tertuduh memuat naik hantaran itu secara terancang dan menggunakan perkataan jelik dan keras dengan tujuan ingin meletakkan nabi dan Islam pada tempat yang serendah-rendahnya.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes. – TTKM –
Leave a Reply