Pasir Gudang 13 Mac : Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata penduduk di kawasan perumahan di sini adalah tidak tidak terjejas dengan pencemaran kimia yang berlaku oleh kerana rumah mereka mempunyai pintu yang boleh ditutup dan penduduk pula tidak keluar sewaktu siang hari.
Beliau menjawab sedemikian apabila ditanya oleh wartawan sama ada penduduk di kawasan perumahan yang berhampiran dengan sungai yang tercemar dengan bahan kimia tersebut perlu dipindahkan.
“Saya lihat kawasan perumahan ini tidak terjejas. Hanya sekolah-sekolah kerana sekolah ini ia agak terbuka, terdedah. Rumah ni dia tutup pintu dan sebagainya. Mereka yang duduk di rumah ni biasanya mereka tak akan keluar sewaktu siang hari .. kalau ikutkan kita punya bancian, perumahan ini tidak begitu terjejas hanya yang terjejas sikit adalah sekolah.” – Datuk Osman Sapian
Osman berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor di Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Osman berkata, jawatankuasa turut melantik dua kontraktor tambahan bagi membantu kontraktor sedia ada melakukan kerja pembersihan Sungai Kim Kim dengan dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Kita sasarkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu kerana perlu cepat dilakukan bagi mengelak kesan pencemaran berterusan, ” – Datuk Osman Sapian
Sementara itu, Dr Dzulkefly mengesahkan tiada kematian dilaporkan dalam kes berkenaan.
“Setakat ini, seramai 506 individu dirawat akibat pencemaran sisa bahan kimia berbahaya dengan 166 ditahan di wad manakala sembilan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI).” Datuk Osman Sapian
Mengulas perkara berkaitan, Bee Yin berkata, bantuan peralatan mengesan sisa kimia daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Petronas akan dihantar ke lokasi terjejas bagi membuat bacaan secara terus tahap pencemaran di Pasir Gudang.
“Kita juga menghantar alatan pengesan angin daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) ke lokasi pencemaran, ” – Bee Yin
Sementara itu, Dr Maszlee Malik, menteri pendidikan mengarahkan 34 buah sekolah di sekitar kawasan terjejas ditutup serta merta memandangkan keadaan semakin kritikal. – TTKM-