“Isytihar darurat hari ini juga!”- Ahli parlimen Pasir Gudang.

Dewan Rakyat, 14 Mac: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini memohon supaya kerajaan pusat mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, Johor susulan pencemaran Sungai Kim Kim di daerah Pasir Gudang, Johor akibat pembuangan toksik, menurut laporan Malaysiakini. 

Kata Hassan (PH-Pasir Gudang), usul yang dipohon kepada Speaker Dewan Rakyat itu adalah bertujuan memastikan bencana pencemaran toksik berkenaan dapat dikawal.

“Sebagai ali parlimen Pasir Gudang saya mohon supaya kerajaan persekutuan isytiharkan darurat di Pasti Gudang mulai hari ini juga.

“YB Menteri tolong saya. Pagi tadi saya hantar surat kepada Speaker supaya usul tergempar dibentangkan di parlimen pada hari ini, bukan hari Isnin!

“Saya minta soal teknikal diketepikan. Ini soal nyawa! Saya minta usul ini dibincangkan dan dibahaskan hari ini,” – Hassan Abdul Karim

Ahmad Maslan (BN-Pontian) juga menggesa kerajaan untuk mengisytiharkan darurat kerana menurutnya, kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim yang tercemar hanya dijangka siap dalam tempoh satu minggu.

 Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan darurat secara unilateral.

“Saya akan panjangkan pandangan-pandangan kepada jawatankuasa. Ini bukan keputusan saya seorang sendiri. Akan buat keputusan secepat mungkin.

“Sebenarnya mengikut EQA semua pengeluaran sisa toksid perlu dilupuskan di tempat berlesen. Tapi apa terjadi sekarang adalah pesalah tidak mengikuti undang-undang.

“Saya harap juga bahawa YB sekalian boleh bertanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat apabila kita menangani krisis ini. Jangan main politik, jangan menuding jari,”  – Yeo Bee Yin

Usul tersebut diluluskan speaker untuk dibahaskan pada jam 4.30 petang ini.

Pencemaran toksik di Pasir Gudang setakat ini telah menyebabkan 506 pesakit dirawat dan 166 dimasukkan ke dalam wad manakala 9 lagi di bawah unit rawatan rapi (ICU). Keseluruhan pesakit sejak Khamis lepas adalah berjumlah  975 orang.  Kesemua 111 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang juga diarah tutup serta merta oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik lewat malam semalam.

Walaupun demikian, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata situasi pencemaran berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, setakat ini adalah terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan,

Ditanya oleh wartawan sama ada penduduk di kawasan perumahan yang berhampiran dengan sungai yang tercemar dengan bahan kimia tersebut perlu dipindahkan, beliau berkata penduduk tidak terjejas kerana rumah mereka mempunyai pintu yang boleh ditutup dan penduduk pula tidak keluar sewaktu siang hari.

“Saya lihat kawasan perumahan ini tidak terjejas. Hanya sekolah-sekolah kerana sekolah ini ia agak terbuka, terdedah. Rumah ni dia tutup pintu dan sebagainya. Mereka yang duduk di rumah ni biasanya mereka tak akan keluar sewaktu siang hari .. kalau ikutkan kita punya bancian, perumahan ini tidak begitu terjejas hanya yang terjejas sikit adalah sekolah.” – Datuk Osman Sapian

-TTKM-

 

 

– TTKM-

 



LIKE us on FACEBOOK



Posting terkini:

Ada lagi berita menarik: