Johor Bharu, 14 Mac: Pendakwaan ke atas seorang pengusaha kilang tayar kitar semula yang dipercayai membuang sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, belum dapat dilakukan hari ini lapor Bernama.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal berkata, pendakwaan belum dapat dilakukan berikutan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu melengkapkan kertas siasatan.
“Kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada pejabat timbalan pendakwa raya dan JAS diminta untuk menambah beberapa lagi maklumat untuk melengkapkan kertas siasatan tersebut.
“Pendakwaan masih belum lagi dapat dilakukan sehingga mendapatkan arahan lanjut daripada pihak timbalan pendakwa raya,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bahru, hari ini. “– Dr Sahruddin Jamal
Terdahulu, lebih 20 pengamal media dari pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah di Johor Bahru seawal 7 pagi tadi untuk membuat liputan mengenai pendakwaan kes tersebut.
Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Yeo Bee Yin berkata kertas siasatan telahpun siap dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa suspek keesokaannya (hari ini) .
“(Dan) kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum lima tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” – Yeo Bee Yin
Beliau juga dilaporkan telah menghubungi Peguam Negara Tommy Thomas mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan terhadap suspek memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan hukuman setakat ini tidak mencukupi.
Pencemaran toksik di Pasir Gudang setakat ini telah menyebabkan 506 pesakit dirawat dan 166 dimasukkan ke dalam wad manakala 9 lagi di bawah unit rawatan rapi (ICU). Keseluruhan pesakit sejak Khamis lepas adalah berjumlah 975 orang. Kesemua 111 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang juga diarah tutup serta merta oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik lewat malam semalam.
Walaupun demikian, Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata situasi pencemaran berikutan pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, setakat ini adalah terkawal dan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan,
Ditanya oleh wartawan sama ada penduduk di kawasan perumahan yang berhampiran dengan sungai yang tercemar dengan bahan kimia tersebut perlu dipindahkan, beliau berkata penduduk tidak terjejas kerana rumah mereka mempunyai pintu yang boleh ditutup dan penduduk pula tidak keluar sewaktu siang hari.
“Saya lihat kawasan perumahan ini tidak terjejas. Hanya sekolah-sekolah kerana sekolah ini ia agak terbuka, terdedah. Rumah ni dia tutup pintu dan sebagainya. Mereka yang duduk di rumah ni biasanya mereka tak akan keluar sewaktu siang hari .. kalau ikutkan kita punya bancian, perumahan ini tidak begitu terjejas hanya yang terjejas sikit adalah sekolah.” – Datuk Osman Sapian
-TTKM-