Pasir Gudang, 15 Mac: Bahan kimia acrylonitrile yang dikesan antara lapan sebatian kimia berbahaya yang disahkan dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, boleh menyebabkan keracunan sianida, lapor Berita Harian.

Malah, pendedahan berterusan dalam tempoh lama boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru dan prostat.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Che Puteh Osman, berkata penemuan bahan kimia itu merisaukan kerana ia memberi kesan buruk kepada manusia.
Beliau yang juga penyelidik dan banyak menulis untuk mendidik dan menangkis isu mitos kesihatan di Facebook dengan nama Ini Sains Beb, berkata acrylonitrile adalah sejenis sebatian kimia yang mempunyai fungsi nitrile CN dengan ikatan berganda tiga.
Katanya, bahan itu menjadi bahan yang digunakan dalam industri pembuatan plastik seperti getah sintetik.
“Dalam banyak bahan kimia yang disenaraikan, yang paling merisaukan adalah acrylonitrile. Apabila kita terdedah kepada acrylonitrile, badan kita akan menukar sebahagian acrylonitrile kepada sianida.
“Kepekatan yang tinggi menyebabkan keracunan sianida. Sianida merencat beberapa enzim, menyebabkan pengasfiksian (sesak nafas) selular.
“Kesan toksik yang tidak berkaitan pembentukan sianida adalah disebabkan pembentukan kumpulan vinil yang reaktif dan perantara epoksida dan berisiko menyebabkan kerosakan hati,” – Dr Che Puteh
Dr Che Puteh berkata, acrylonitrile adalah cecair berwarna jernih dan kekuningan dengan bau sangat kuat seakan-akan bawang atau bawang putih.
Katanya, bahan itu adalah cecair mudah meruap dan mempunyai takat didih pada suhu 77 darjah Celsius.
“Pendedahan melebihi 85 ppm boleh membahayakan nyawa. Antara kesan daripada pendedahan acrylonitrile adalah pening kepala, muntah, hilang keupayaan berfikir, susah bernafas, lemah anggota badan, kulit berubah biru (sianosis), sawan, lepuh pada kulit, mata kemerahan dan pengsan.
“Pendedahan tinggi menyebabkan kesan toksik akut, antaranya kecederaan hati akut, iritasi mukosa saluran pernafasan dan keracunan sianida,” – Dr Che Puteh
Dr Che Puteh berkata, dalam makanan seperti kacang badam, ubi kayu dan biji aprikot mengandungi sebatian kimia dengan fungsi nitrile, badan manusia menukarkannya kepada sianida tetapi tidak menjejaskan kesihatan kerana dos yang rendah tidak akan membahayakan manusia.
“Bahan kimia ini menjadi kawan pada kepekatan rendah dan menjadi lawan pada kepekatan yang tinggi. Bahan kimia adalah kawan kita dan ia selamat kalau kita tahu memanipulasinya mengikut pengetahuan yang betul,” – Dr Che Puteh
Ambil keputusan keluar dari Pasir Gudang.
Sementara itu, seorang netizen bernama Zulkhairie Khodir menulis di facebooknya mengenai bahaya sianida dimana beliau akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Pasir Gudang. . Artikel beliau mengenai hal tersebut tular di media sosial dan mendapat lebih 13 000 perkongsian.
“Bagi aku yang pernah study Kejuruteraan Kimia dulu, perkataan “Acrylonitrile” bukanlah pertama kali aku dengar. Projek final year kami pun ada yang buat plant (kilang) bahan kimia ini.
Sisa buangan daripada penghasilan Acrylonitrile inilah datangnya si Cyanide tu.
Kalau hangpa nak tahu inilah komponen utama dalam bahan kimia yang dibuang dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Gila betul kan siapa yang buang ini?
Nak bagitau sifat gas Cyanide ini pula, ia akan menghalang sel darah membawa oksigen dalam badan. Tambahan pula ia lebih ringan daripada udara maka sangat cepat menyebar. Kesan dari terhidu gas kimia ini bukan sahaja akan nampak dalam masa sekarang, malah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun akan datang weihhh.” – Zulkhairie Khodir
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10218070361766531&set=a.1279641027079&type=3&theater
Jumlah mangsa yang terkesan dengan gas toksik dari pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di sini kini meningkat kepada 2,775 orang.
Semua pesakit dan operasi agensi kerajaan kini telah dipindahkan ke Stadium Tertutup Dewan Perbandaran Pasir Gudang yang lebih luas. -TTKM-