PASIR GUDANG: Jumlah mangsa yang terkesan dengan gas toksik dari pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di sini kinga meningkat kepada 2,775 orang.
The Star melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata sehingga jam 12pm Khamis ( Mac 14), terdapat 1,906 kes di dua pusat perubatan di Pasir Gudang, dan 869 mangsa lagi mendapatkan rawatan di hospital dan klinik di Johor Baru.
Dari 1906 kes di Pasir Gudang, 1,483 mangsa ditempatkan di tapak rawatan Dewan Taman Pasir Putih, dimana 224 daripadanya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail.
Sementara itu, difahamkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah menutup pusat rawatan Dewan Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar sekitar jam 7.30 malam semalam.
Semua pesakit dan operasi agensi kerajaan kini telah dipindahkan ke Stadium Tertutup Dewan Perbandaran Pasir Gudang yang lebih luas.
Setiausaha Pasukan Bantuan Kecemasan bersama Pasir Gudang (Pagema), Sharif Idrus berkata, perpindahan itu syor Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atas faktor keselamatan.
“Ya, dewan akan tutup dan dipindah ke stadium. Di stadium akan mula operasi jam 8 malam ini.
“Pindah operasi sebab arahan bomba kerana kerja pembersihan Sungai Kim Kim sedang berjalan lagipun berlaku pertambahan katil dan petugas,” – Sharif Idrus
PM: Belum sampai tahap perlu isytihar darurat
Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana di Pasir Gudang memandang situasi pencemaran ekoran pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim di Johor dalam keadaan terkawal, lapor Bernama.
Bagaimanapun, perdana menteri mengingatkan semua pihak untuk terus berhati-hati memandangkan situasi pencemaran masih belum berakhir.
“Tidak..belum sampai tahap itu (darurat). Kita tidak perlu isytihar darurat, tidak perlu pemindahan, tetapi kita perlu berhati-hati.
“(Dan) mereka yang ditugaskan untuk mengawal keadaan ini mesti bersedia menangani masalah (kesan pencemaran) yang berlaku,” – Tun Dr Mahathir Mohamad
Ketika ditanya sama ada yang terburuk berakhir berdasarkan bilangan mangsa akibat kesan pembuangan kimia secara haram Khamis lepas, Dr Mahathir berkata:
“Kita tidak boleh mengatakan yang terburuk sudah berakhir.
“Sebaliknya, kita tidak fikir ia akan menjadi lebih serius daripada sekarang. Tetapi yang penting ialah mereka tahu bagaimana menangani masalah ini, “ – Tun Dr Mahathir Mohamad
-TTKM-