Mon. May 27th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Pencemaran toksik : Penduduk mula pindah

3 min read

Gambar dari NSTP

Pasir Gudang 15 Mac: Walapun tiada pengisytiharan darurat diumumkan di Pasir Gudang, hampir 30 peratus penduduk Taman Pasir Putih, Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi lain untuk sementara waktu, lapor Harian Metro. 

Pengerusi Penaja Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA), Muhammad Fauzi Rohani berkata, pemindahan penduduk berlaku sejak kelmarin dan mula ketara pada pagi hari semalam.

Menurutnya, kebanyakan penduduk berpindah selepas berpendapat keselamatan mereka tidak lagi terjamin akibat kejadian itu.

Penduduk, Izurin Muhammad Amin berkata, anak dan isterinya berpindah ke Iskandar Puteri sementara menunggu krisis berakhir.

“Kami mengambil tindakan sendiri iaitu berpindah secara sukarela biarpun kerajaan negeri menyatakan keadaan selamat.

“Ini kerana, kami yang tinggal di sini merasakan keadaan semakin buruk.

“Perlukah kami menunggu sehingga nasi menjadi bubur? Apabila difikirkan apa yang terbaik, kami mengambil keputusan berpindah bagi mengelak risiko kehilangan nyawa dan sebagainya,”  – Izurin Muhammad Amin

Mahirah Ahmad Helmi, 32, yang tinggal di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pula berkata, dia terpaksa membawa dua anaknya berusia tiga tahun dan lima bulan menumpang di rumah bapa mentua di Kempas sehingga keadaan pulih.

“Sejak beberapa hari lalu, anak pertama saya batuk-batuk, anak kedua pula mengalami mata merah. Saya sudah bawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI) membuat pemeriksaan. Saya tinggal sementara di rumah bapa mentua dan sejak semalam, semua jiran mula meninggalkan rumah masing-masing kerana merasakan kesihatan di sini terancam. Diharapkan pembersihan sungai berjalan cepat dan berterusan”  – Mahirah Ahmad Helmi

Pekerja sendiri, Abdul Rahim Abdul Rahman, 47, memutuskan membawa tiga anaknya tinggal sementara di sebuah hotel kerana memikirkan keselamatan mereka di Pasir Gudang.

Katanya, dia sentiasa meletakkan keselamatan dan kesihatan anak-anak sebagai keutamaan walaupun kerajaan tidak mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang.

“Kami tinggal di hotel sejak malam tadi kerana tidak perlu untuk terus berada di rumah di Taman Bukit Dahlia. Terdapat banyak maklumat mengelirukan mengenai insiden ini,” – Abdul Rahim Abdul Rahman

Abdul Rahim berkata, dia tidak mahu mengambil sebarang risiko membabitkan anak-anaknya kerana sekolah juga sudah ditutup sejak semalam.

Katanya, jika keadaan berpanjangan, dia akan pulang ke rumah keluarganya di Batu Pahat.

Sementara itu, seorang netizen bernama Zulkhairie Khodir menulis di facebooknya mengenai bahaya sianida dimana beliau akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan Pasir Gudang. . Artikel beliau mengenai hal tersebut tular di media sosial dan mendapat  lebih 13 000 perkongsian.

“Bagi aku yang pernah study Kejuruteraan Kimia dulu, perkataan “Acrylonitrile” bukanlah pertama kali aku dengar. Projek final year kami pun ada yang buat plant (kilang) bahan kimia ini. 
Sisa buangan daripada penghasilan Acrylonitrile inilah datangnya si Cyanide tu.
Kalau hangpa nak tahu inilah komponen utama dalam bahan kimia yang dibuang dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. 
Gila betul kan siapa yang buang ini?
Nak bagitau sifat gas Cyanide ini pula, ia akan menghalang sel darah membawa oksigen dalam badan. Tambahan pula ia lebih ringan daripada udara maka sangat cepat menyebar. Kesan dari terhidu gas kimia ini bukan sahaja akan nampak dalam masa sekarang, malah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun akan datang weihhh.” – Zulkhairie Khodir

Jumlah mangsa yang terkesan dengan gas toksik dari pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di sini meningkat kepada 2,775 orang.

Semua pesakit dan operasi agensi kerajaan kini telah dipindahkan ke Stadium Tertutup Dewan Perbandaran Pasir Gudang  yang lebih luas. -TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: