Mon. May 27th, 2019

Buletin TTKM

BERSANDAR FAKTA, BERCORAK SANTAI

Bomba sahkan kewujudan gas hidrogen sianida, selepas 3 hari mengesannya.

2 min read

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq melawat mangsa. Gambar dari FB beliau.

PASIR GUDANG, 16 Mac: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kewujudan gas hidrogen sianida sehingga 4.5 ppm dikesan di kawasan Tanjung Puteri, di sini, pada 13 Mac, Rabu lalu.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahya Madis, berkata ia adalah bacaan gas kimia tertinggi dikesan susulan pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, di sini, sejak 7 Mac lalu.

Tidak dapat dipastikan mengapakah selepas 3 hari gas beracun tersebut dikesan, baru ia diumumkan sekarang.
Untuk rekod, pada 13 Mac jam 10.30pm, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengarahkan semua 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup serta merta.

Katanya, bacaan gas beracun berkenaan bertahan selama dua jam di kawasan itu sebelum pulih seperti biasa, menurut laporan Berita Harian. 

“Terdapat 15 gas kimia berbahaya turut dikesan di sekitar lokasi pencemaran namun bacaannya berada di bawah 3 ppm iaitu paras berjaga-jaga.

“Bacaan gas kimia berbahaya paling tinggi dicatatkan Rabu lalu di kawasan Tanjung Puteri dengan kehadiran gas hidrogen sianida sehingga 4.5 ppm di situ.

“Kami bersiap sedia melakukan kerja pengungsian (pindahkan penduduk) kawasan berkenaan jika gas kimia berbahaya itu bertahan sehingga tiga jam, namun kualiti udara beransur pulih selepas dua jam,” 

Sementara itu, Yahya berkata, keadaan kualiti udara di kawasan Pasir Gudang kini berada pada paras terkawal dan tidak merbahaya.

“Namun kami masih memantau bacaan kualiti udara terutama ketika kerja pembersihan Sungai Kim Kim dijalankan sekarang kerana bimbang pengewapan gas kimia berbahaya.

“Hujan mampu menyebabkan gas kimia berbahaya merebak dan bergerak ke kawasan lebih luas. Kita mengharapkan kerja pembersihan dapat diselesaikan segera sebelum perubahan cuaca,” 

Sementara itu, Yahya berkata, seramai 97 anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) melakukan pencerapan bacaan tahap kualiti udara setiap hari sebanyak tiga kali iaitu

  1. Antara jam 8am-12pm.
  2. Antara 6pm-9pm
  3. Antara 9pm-6am.

Walaubagaimanapun, bacaan-bacaan ini tidak disiarkan kepada awam seperti kebiasaan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar ketika menghadapi kes jerebu suatu ketika dahulu.

TTKM cuba mendapatkan jawapan dari Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dimanakah bacaan-bacaan tersebut boleh diakses oleh orang awam, tetapi setakat ini beliau masih belum memberikan respon. – TTKM-

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Copyright © All rights reserved. Newsphere by AF themes.
RSS
Follow by Email
Facebook
Twitter
%d bloggers like this: