Pasir Gudang, 16 Mac: SERAMAI 480 mangsa baharu pencemaran Sungai Kim Kim, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, dirujuk ke Pusat Saringan Awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), semalam.
Menurut laporan Harian Metro, maklumat terbaru itu menjadikan seramai 4,035 individu sudah dirujuk untuk mendapatkan rawatan awal sejak kes pencemaran itu dilaporkan, 7 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, daripada 480 yang dirujuk sehingga jam 3 petang itu, hanya 20 orang sahaja yang dirujuk ke hospital.
“Sehingga jam 3 petang tadi (semalam), seramai 480 mangsa mendapatkan rawatan saringan awal di Stadium Tertutup MPPG.
“Daripada jumlah itu, hanya 20 mangsa dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” – Dr Sahruddin Jamal
Dr Sahruddin berkata, seramai 73 pesakit yang sebelum ini dirawat di hospital sudah dibenarkan pulang.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datok Osman bin Sapian berada di Batam bagi mempromosikan program Tahun Melawat Johor 2020, menurut laporan portal berita Indonesia, Infopublik.
“Lawatan saya ini adalah untuk menyatakan bahwa tahun 2020 Johor akan mengadakan program lawat Johor 2020. Saya menjemput semua rakyat masyarakat Kepri dan Batam datang ke Johor pada tahun hadapan. Mohon kerjasama pihak Walikota untuk berikan peluang bagi kita mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020,”
“Kita akan memajukan pertanian di Johor ini menjadi pertanian modern. Kita mencadangkan pembangunan satu juta rumah mampu biaya. Dan kita juga sedang mempromosikan pelancongan” – Dato Osman Sapian.
Pada kesempatan tersebut, rombongan Menteri Besar juga memaparkan destinasi-destinasi pelancongan di Johor. Mulai dari warisan sejarah, alam, MICE (meeting, incentive, convention. exhibition),kesihatan,olahraga, keluarga, belanja, dan sebagainya.
Untuk rekod, Menteri Besar Johor, Osman Sapian pada sidang akhbarnya beberapa hari lepas berkata situasi di Pasir Gudang tidaklah seteruk mana (worst tak worst sangat) kerana tiada kematian dan tiada juga kes yang kritikal.
“Worst tak worst sangat. Tak ada kematian dan tidak ada juga kritikal kes. Just dia rasa muntah, dia rasa pening kepala sahaja.” – Dato Osman Sapian.
Pada perkembangan yang sama, beberapa penduduk di Pasir Gudang dilaporkan mengambil keputusan sendiri dengan meninggalkan kawasan tersebut dengan berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat untuk sementara waktu. -TTKM-