Dewan Rakyat, 19 Mac: MP Kimanis Anifah Aman menyarankan Malaysia supaya mencipta kereta terbang yang dibuat daripada buluh supaya wang tidak perlu dibelanjakan untuk memperbaiki jalan-jalan yang buruk di Sabah dan Sarawak, lapor Malaysiakini.
“Saya juga tertarik cetusan idea menteri untuk bina kereta terbang kalau sekiranya benar kalau kita tak dapat salurkan kewangan untuk membaik pulih dan bina jalan raya untuk Sabah dan Sarawak.
“Saya rasa rakan-rakan dari Sarawak akan setuju dengan saya, projek kereta terbang haruslah dimajukan untuk Sabah dan Sarawak dan boleh dibuat gunakan buluh agar ringan dan boleh terbang.
“Saya harap ia (kereta terbang) boleh dibina.
“Kalau ia dibina rakyat Sabah dan Sarawak tak perlu jalan-jalan kita diperbaiki, jalan lumpur, jalan batu kerikil, dan ada kalanya anak-anak kita jalan kaki ayam ke sekolah,” – Anifah Aman
Anifah berkata jika kereta terbang itu dapat dibina, beliau akan memberi tabik hormat kepada Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Othman, yang sebelum ini membangkitkan isu prototaip kereta terbang boleh dilancarkan pada tahun ini.
“Jika kereta terbang ini boleh dibina saya akan salute menteri, dan ia akan selesaikan masalah Sabah.
“Bukan perli kalau sekiranya seorang menteri apabila berucap harus buat kajian yang terperinci,” – Anifah Aman
Terdahulu, Anifah menegur Putrajaya yang terlalu memfokuskan kepada projek mega seperti Projek Landasan Keretapi Pantai Timur di Semenanjung Malaysia, manakala Sabah dan Sarawak masih berjuang untuk mendapatklan kemudahan asas.
“Projek (ECRL) ini menelan belanja berpuluh-puluh bilion.
“Saya selaku rakyat Malaysia dari Sabah amat dukacita dan sedih apabila jalan-jalan kampung kita, air bersih tak sampai kepada rakyat kita tapi di semenanjung ada projek-projek gergasi sedangkan di Sabah belum dapat kemudahan-kemudahan asas yang sangat-sangat diperlukan,” – Anifah Aman
ECRL merupakan projek kerajaan BN sebelum ini yang disokong China yang dianggarkan memakan belanja RM55 bilion. Kerajaan PH dilaporkan membatalkan projek ini, tetapi kemudian melakukan pusingan U dengan mengatakan rundingan dengan pihak China masih diadakan.
Ketika dalam kerajaan BN, Anifah Aman merupakan menteri luar negeri dan merupakan ahli majlis tertinggi UMNO. Beliau mengumumkan keluar dari UMNO pada September 2018 beberapa bulan selepas BN tewas dalam pilihanraya umum ke 14. – TTKM-