Hasil cukai gula untuk biaya sarapan percuma murid, beri mereka sihat dan bertenaga – PM.

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Mulai tahun depan, kerajaan akan menggunakan hasil daripada cukai gula bagi menyediakan sarapan percuma dan sihat kepada murid sekolah rendah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata, langkah itu bagi membolehkan kanak-kanak sihat dan bertenaga untuk memulakan sesi persekolahan.

Tegasnya, tidak akan ada cukai baharu untuk tahun ini, kecuali cukai gula yang sudah diumumkan sebelum ini yang ditangguhkan pelaksanaannya.

“Penangguhan pelaksanaan cukai itu bagi membolehkan kerajaan meneliti mekanisme berkesan untuk memastikan pelaksanaan cukai bagi penjagaan kesihatan mencapai objektifnya,” – Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2019 buat kali pertama mencadangkan pelaksanaan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100ml mulai 1 April 2019.

Bagaimanapun, pelaksanaan cukai itu ditangguhkan ke 1 Julai bagi bagi memberi masa cukup kepada pihak industri membuat persediaan.

Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Pembaharuan Cukai (TRC) kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan cadangan dalam meningkatkan hasil cukai negara.

Katanya, cadangan itu dijangka dapat menangani usaha mengurangkan ketirisan cukai, bagaimana untuk mengakses ekonomi bawah tanah, meningkatkan cukai pentadbiran, dan mencari sumber pendapatan baru.

“Kerajaan juga kini merasionalisasikan insentif cukai untuk pelaburan, sebagai struktur pentadbiran dan pentadbiran semasa insentif pelaburan berpecah, mahal, dan tidak berkesan,” -Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tahun lepas, pegawai khas menteri kewangan, Tony Pua berkata kerajaan sedang mengkaji beberapa cadangan cukai baru termasuk cukai soda (gula) untuk menambah kekurangan RM19.4billion dalam bayaran balik GST.

“Cukai-cukai jenis baru memang merupakan antara cadangan yang kita tengah teliti. Kita tengah kaji dan kita telah membuat pengiraan. Berapa (banyak) cukai yang kita kenakan yang akan dapat membawa hasil yang lebih tinggi bagi kerajaan.

So, semua ini  sedang diteliti dan disemak supaya kita dapat laksanakan cadangan yang paling baik” – Tony Pua

Walau bagaimanapun, tambah Tony, langkah memperkenalkan cukai soda itu tidak akan membebankan mereka yang berpendapatan rendah dalam kumpulan B40 kerana mereka tidak perlu minum minuman tersebut.

“Misalnya, jika kita nak laksanakan cukai soda, iaitu seperti cukai kepada Coca-cola lah, ia ada dua kegunaan. 

Nombor satu, ia dapat membawa sedikit hasil bagi kerajaan. Ia tidak membebankan rakyat B40 kerana tak perlu minum Coca Cola. 

Tapi pada masa yang sama kita akan menggalakkan kehidupan lebih sihat. ” – Tony Pua

-TTKM-

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.