Presiden Majlis Pasir Gudang halang media dari masuk pusat pengurusan bencana.

Ahli-ahli media bekerja di luar premis bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang 19 Mac, 2019. - Gambar oleh Ben Tan, The Malay Mail.

PASIR GUDANG, Mac 19 — Pekerja media yang melaporkan mengenai insiden pencemaran toksik diberitahu supaya meninggalkan pusat pengurusan bencana negeri di Menara Aqabah di bangunan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, MPPG.

The Star melaporkan tiga pegawai penguat kuasa MPPG tiba di pusat media yang berada di tingkat tiga dan menyuruh wartawan supaya meninggalkan premis tersebut atas arahan  presiden MPPG, Zainor Adani.

Arahan tersebut yang dikenakan kepada wartawan dari penyiaran, cetak dan media elektronik yang diarahkan keluar dari pusat media di tingkat tiga Menara Aqabah pada jam 12.30 pm.

Media kemudian diberitahu mereka hanya akan dibenarkan masuk ketika sidang media berlangsung. 

Sebelum arahan pengusiran ini, wartawan bekerja dari Menara Aqabah selama lebih seminggu membuat liputan mengenai insiden pencemaran toksik Pasir Gudang.

Lokasi tersebut juga merupakan tempat di mana menteri yang datang melawat dan kerajaan negeri melakukan ringkasan harian dan sidang akhbar kepada media.

Sementara itu Malay Mail melaporkan Presiden Kelab Media Johor, Mohamd Fauzi Ishak mengkritik pengusiran secara tiba-tiba ini, sambil menggesa jawatankuasa pengurusan dan majlis perbandaran  supaya mengkaji semula keputusan itu.

“Media juga bekerja tanpa henti siang dan malam sejak hari pertama insiden itu.

“Majlis dan pengurusan harus sekurang-kurangnya menjadi lebih akomodatif daripada tiba-tiba kerana media tidak ada untuk mengganggu operasi tetapi bekerjasama,” – Mohamad Fauzi.

Pada perkembangan yang sama, Harian Metro melaporkan  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor JPBNJ yang sering memberikan kerjasama sebelum ini mula menunjukkan perubahan sebaik laporan penemuan lebih 30 tong biru dipercayai berisi sisa bahan kimia disiarkan media semalam.

Malah, beberapa sidang media harian yang dijadualkan tiba-tiba dibatalkan menyebabkan petugas media terpaksa bergantung kepada kenyataan media.

Sejak 7 Mac lalu, enam petugas media termasuk wartawan Harian Metro, Mary Victoria Dass, terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas hidungnya berdarah, sakit tekak, loya dan pening kepala ketika membuat liputan di lokasi itu.

Mary petugas media ketiga yang mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar akibat ‘Simptom Kim Kim’ selepas wartawan Astro Awani, Ernalisa Othman, yang alami loya, pening dan muntah Rabu.

Pada hari sama, Ketua Biro TV3 Johor, Zahir Senapiah turut menjadi mangsa ‘Simptom Kim Kim’, apabila muntah-muntah ketika berehat di rumah selepas pulang dari membuat liputan di sekitar Pasir Gudang.

Dilaporkan bahawa lebih 4,000 orang telah terjejas di mana 111 sekolah ditutup berikutan kejadian sisa kimia di Sungai Kim Kim pada Mac 7.  – TTKM-

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.