Rempuhan Jet: “Siasatan sedang berjalan”- Jawab MAHB kepada Vincent Tan.

PETALING JAYA, 22 Mac: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengeluarkan kenyataan bahawa apa-apa kesimpulan mengenai kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) sekarang ini adalah “terlalu awal”.

Menjawab kenyataan taikun Berjaya Group, Vincent Tan kepada Malay Mail mengenai insiden kemalangan yang berlaku pada Isnin, MAHB menegaskan siasatan sedang dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan polis.

Berikut kenyataan penuh MAHB:

“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Vincent Tan di Malay Mail mengenai kemalangan di landasan Subang, kami ingin menegaskan semula bahawa siasatan sedang dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia. Apa-apa kesimpulan pada peringkat ini adalah terlalu awal dan kami menyeru media dan orang ramai supaya tidak membuat apa-apa spekulasi sehingga penyiasatan itu selesai sepenuhnya oleh pihak berkuasa. ” – MAHB.

Vincent Tan semalam menyalahkan pihak berkuasa lapangan terbang Subang di atas insiden itu.

“Tiada amaran diberikan dan dalam pandangan saya, pihak berkuasa penerbangan adalah cuai” 

“Apa yang saya dimaklumkan,  Berjaya Air dan juruterbangnya adalah tidak salah sama sekali dalam perkara ini. Juruterbang mengikuti semua prosedur penerbangan dan pendaratan yang betul. Mereka memperoleh ‘clearance’ berpatutan dari menara Subang sebelum mereka mendaratkan pesawat. 

 “Malah, sekiranya obstruksi di landasan bukan kenderaan baik pulih kecil tetapi trak atau kenderaan berat ia mungkin akan menyebabkan bencana besar. Seluruh pesawat, krew dan penumpang mungkin akan lenyap dalam kemalangan”  – Tan Sri Vincent Tan 

Dalam kejadian pada Isnin lepas, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, sedang memandu kenderaan kejuruteraan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang ketika terlibat dalam rempuhan di atas landasan dengan pesawat persendirian sekitar jam 3.20 pagi.

Mohd Ruzaimi meninggal dunia akibat kecederaan pada malam Selasa lalu, meninggalkan seorang balu, dan empat orang cahaya mata berumur antara satu ke 13 tahun.

Vincent Tan juga mengumumkan akan memberikan derma peribadi kepada waris Mohd Ruzaimi sebanyak RM50 000.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata siasatan ke atas insiden itu dijangka disiapkan dalam masa 30 hari. – Buletin TTKM-

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.