CYBERJAYA – Sebanyak 11 lokasi di beberapa buah negeri diserbu Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) awal minggu ini atas pelbagai kesalahan termasuk perbuatan menghantar kandungan yang bersifat lucah seperti video seks, lapor Kosmo.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, kesalahan lain yang dilakukan menjurus kepada penghantaran perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang jelik dan menghina, serta kandungan mengancam dengan niat untuk menganggu dan menyakitkan hati orang lain.
Menurutnya, operasi serbuan yang mendapat sokongan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu antara lain sebahagian usaha untuk mengekang penyalahgunaan media sosial di negara ini.
“Dalam operasi serbuan itu, rakaman percakapan turut diambil daripada suspek manakala beberapa peranti komunikasi, kad SIM, kad memori, komputer riba dan cakera keras turut dirampas untuk siasatan lanjut.
“Tindakan ini susulan aduan yang diterima daripada mangsa mengenai kandungan yang dilarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Antara lokasi serbuan ialah Putrajaya; Petaling Jaya, Selangor; Perai dan Simpang Ampat, Pulau Pinang; Kerteh dan Kuala Dungun, Terengganu; Pasir Puteh, Kelantan; Kluang dan Indahputra, Johor serta Bachang dan Masjid Tanah, Melaka.
Mohd. Shafie berkata, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi seseorang untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
Katanya, jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya akan dikenakan.
Dalam pada itu, Datuk Shafie turut menggesa pengguna media sosial di negara ini untuk mempertingkat kawalan kendiri ketika mengakses internet.
“Pengguna juga diingatkan tidak menggunakan internet sebagai platform untuk menyebarkan perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang kemarahan orang awam,” katanya – Buletin TTKM –