“Tanpa Tun, PH tak mungkin menang PRU14”- Kata SetPol Tun kepada Nurul Izzah

Kuala Lumpur, 26 Mac: Setiausaha politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata tanpa Tun Dr Mahathir bersama dalam Pakatan Harapan, adalah mustahil bagi pakatan tersebut untuk menang PRU14 serta mampu membentuk kerajaan pada hari ini, lapor Bernama.

“Saya juga percaya Nurul Izzah faham serta akui bahawa tanpa YAB Tun, mustahil PH menang PRU14 serta mampu membentuk kerajaan pada hari ini,” – Abu Bakar Yahya

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nurul Izzah yang mengkritik Tun Dr Mahathir sebagai bekas diktator dalam satu wawancara dengan media Singapura, Straits Times.

“Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah,” – Nurul Izzah.

Tambah setiausaha politik Tun Dr Mahathir itu lagi, Nurul Izzah yang arif dalam arena politik, masih belum cukup matang, tidak rasional serta emosi dalam memahami pendirian Dr Mahathir serta kerajaan, dan tidak sepatutnya mengeluarkan komen tidak baik terhadap Dr Mahathir Mohamad

“Apa yang dilakukan oleh perdana menteri dan kerajaan ketika ini tidak harus dilihat secara peribadi oleh Nurul Izzah, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara.

“Sebagai seorang daripada anggota parlimen dan bekas Naib Presiden PKR, saya yakin Nurul Izzah tidak lupa bahawa kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri adalah keputusan sebulat suara majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH), manakala segala keputusan membabitkan hal ehwal pentadbiran kerajaan diputuskan bersama oleh jemaah menteri,”  – Abu Bakar Yahya

Nurul Izzah juga merupakan anak perempuan Anwar Ibrahim, sosok yang disebut-sebut akan menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Walau bagaimanapun, tiada tarikh yang jelas untuk Dr Mahathir melepaskan jawatannya itu menyebabkan Anwar diberi jolokan oleh netizen sebagai “Bakal PM-ke8 paling lama”

-Buletin TTKM-

 

Author: TTKM

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.