Kecedaraan unik itu dikesan oleh pihaknya buat kali pertama semasa proses bedah siasat yang dilakukan ke atas jasad anggota bomba itu pada 18 Disember lepas.

Beliau yang berkhidmat selama 13 tahun di hospital itu berkata mengikut corak kecederaan pada tujuh tulang rusuk kiri mangsa patah yang dalam susunan garis lurus yang menegak, kecederaan itu disebabkan oleh objek tumpul dan nipis.

“Apabila bedah siasat dijalankan, kami menemui buat kali pertama kecederaan yang tidak dimaklumkan kepada kami iaitu (Adib) patah tulang rusuk kiri satu hingga tujuh dan cederanya unik,” – Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood

Beliau yang merupakan saksi ke-27 itu berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah.

Saksi dari Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmud hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi membantu kes prosiding inkues melibatkan kematian Anggota Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam.  GAMBAR UTUSAN.

Kecederaan tidak dimaklumkan terlebih dahulu

Doktor itu berkata, pihaknya tertanya-tanya mengenai kecederaan unik yang dialami anggota bomba itu di mana tiada langsung maklumat diberikan terlebih dahulu mengenai kecederaan tersebut.

Dr. Mohd. Shah yang mengendalikan lebih 1,000 kes bedah siasat sepanjang 13 tahun perkhidmatannya di HKL berkata kecederaan unik itu tidak dilihat ketika pemeriksaan klinikal terhadap mangsa semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN), pada 30 November lalu.

Beliau juga berkata, pihaknya dipanggil bagi membantu polis melakukan rekonstruksi (lakonan semula) insiden berkenaan di tempat kejadian, pada 22 Disember tahun lalu dan pihaknya meneliti enam kemungkinan yang mungkin menyebabkan kepatahan tujuh tulang rusuk kiri pada anggota bomba berkenan.

Dua kemungkinan. 

Katanya dua kemungkinan adalah mangsa terkena bucu kiri dan kanan bahagian belakang Fire Rescue Tender (FRT) dan empat lagi adalah terkena dua tangga di belakang jentera berkenaan.

Beliau berkata pihaknya kemudian mendapati pintu depan kiri van bomba yang dinaiki Muhammad Adib ada terdapat bucu bahagian pintu yang nipis dan menegak dengan anggaran dua milimeter (mm).

“Hanya pada ketika itu, kami berpandangan bahawa objek yang tumpul dan nipis, sangat bersesuaian dengan kecederaan unik tulang rusuk kiri patah secara menegak,” – Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood

Mengulas lanjut, beliau berkata selepas melihat corak kecederaan dialami mangsa, tidak mungkin mangsa tersepit sebab ia akan menyebabkan kecederaan lebih parah.

Beliau juga berkata tiada apa-apa kecederaan yang menunjukkan kecederaan bercorak tangkisan atau akibat mempertahankan diri dilihat pada kedua-dua tangan dan kaki mangsa.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di IJN pada 17 Disember lepas. Prosiding di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner bersambung minggu hadapan. – Buletin TTKM –