(video) Dia buat hal lagi. “Kau tau aku siapa?”

Bandar Hilir, 30 Mac ADUN DAP Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee yang pernah tular tahun lalu kerana ‘bertegang leher’ dengan penduduk kampung, kini muncul kembali dalam satu video yang tular di media sosial, kali ini dengan pengayuh beca.

Menerusi sebuah video berdurasi 1 minit 35 saat yang mula tular pada 27 Mac, Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani dilihat sedang berbincang bersama beberapa individu di sekitar Menara Taming Sari, Melaka.

Difahamkan, perbincangan itu adalah mengenai masalah lalu lintas yang berlaku membabitkan pengayuh beca dan pengunjung yang membawa kenderaan ke tempat tarikan pelancong itu.

Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu kemudian memberikan  cadangan supaya pengayuh beca diberikan kursus supaya mereka tidak mengganggu lalu lintas di menara berkenaan.

“Itu sebab lepas ni saya kena hantar diorang pergi kursus. Biar diorang ni sekolah sikit. Kalau tidak suka hati dia je. Kita memang nak membantu,” – Norhizam Hassan Baktee

Bagaimanapun, individu yang merakam video tersebut yang tidak puas hati dengan cadangan itu lalu mengajukan soalan kepada Norhizam.

“Kira YB, orang beca pun  tak sekolah jugak lah macam pakcik yang kat kampung tu? Saya ada hak untuk cari makan dekat sini. Dulu dah buat ni buat lagi sekali. Kita orang beca tak sekolah juga ke?,” soal perakam video.

Norhizam kemudian berang dengan  tindakan individu tersebut merakamkan video perbincangan,

“Yang awak rakam pasal apa? Awak tahu saya siapa? Ha!”  – Norhizam Hassan Baktee

Walau bagaimanapun, beliau segera ditenangkan pegawai berdekatan dan dibawa beredar dari perakam video. 

Video terbabit:

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Norhizam telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Hilir berhubung isu tersebut dan mendakwa video terbabit tidak memaparkan keseluruhan situasi sebenar sehinggakan telah memberi persepsi yang negatif terhadap dirinya sedangkan beliau tidak pernah sama sekali merendahkan golongan pengayuh beca di negeri itu.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba individu itu yang dipercayai seorang pengayuh beca telah membuat provokasi dan merakamkan percakapan saya, kemudian ditularkan sebahagian sahaja video tersebut dalam media sosial” 

“Saya yakin video itu sengaja ditularkan dengan niat jahat untuk memfitnah serta membuat tohmahan ke atas diri saya selain bertujuan untuk menjatuhkan maruah, integriti dan menggugat kerja saya sebagai penjawat awam dan juga sebagai exco” – Norhizam Hassan Baktee 

Menurut laporan MelakaKini pula, beliau tiada mengeluarkan kenyataan bahawa pengayuh beca tidak bersekolah, sebaliknya beliau hanya berkata mahu berbincang hendak “menyekolahkan” mereka.

“Saya tak cakap pun pengayuh beca tidak bersekolah, cuma saya berbincang saya hendak ‘menyekolahkan’ mereka untuk belajar mengenai kaedah terbaik menarik lebih ramai pelancong kerana mereka ini duta kecil,”  Norhizam Hassan Baktee.

Tahun lalu, video Norhizam bertelagah dengan penduduk Kampung Pulau Nibong turut tular di media sosial berhubung isu penutupan jalan.

Pada waktu itu, beliau memberi amaran dan notis 24 jam kepada pihak yang masih terus dengan tabiat menularkan video beliau berkenaan isu penutupan jalan Taman Akasia tersebut, bahawa beliau  akan menyaman mereka dalam masa terdekat.

“Saya bagi notis 24 jam kepada mereka yang viral kepada saya. Jika mereka masih terus dengan viral mereka tabiat mereka, terus nak viralkan saya, saya akan saman mereka dalam masa terdekat. Ini amaran yang saya beri kepada mereka. Kalau tak tahu di mana hujung dan pangkal, jangan cuba nak main viral dengan saya. Ok? ” – Norhizam Hassan Baktee

-Buletin TTKM-

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.